Pada enam bulan pertama kelahiran, makanan bayi yang terbaik ialah susu ibu. Ia dilengkapi dengan pelbagai nutrien yang mencukupi untuk keperluan badan bayi pada umur ini. Dalam tempoh enam bulan pertama, pertambahan berat badan bayi berlaku dengan cepat.
Akan tetapi, selepas enam bulan, pertambahan ini akan berkurangan kerana pergerakan bayi semakin ligat. Dalam memantau tumbesaran bayi anda, kadar pertambahan berat badan mereka boleh dijadikan sebagai kayu ukur yang utama.
Kadar yang normal ialah antara 150 hingga 250 gram seminggu untuk tempoh tiga bulan yang pertama. Manakala untuk empat hingga enam bulan, ia meningkat kepada 350 hingga 450 gram sebulan. Jika bayi anda mengalami pertambahan berat badan yang kurang dari kadar ini, tinggi kemungkinannya bayi anda kekurangan susu.
Pada sudut yang lain, ramai para ibu dan bapa berpandangan bahawa bayi yang montel itu sihat. Ini adalah salah sama sekali. Bayi yang montel tidak semestinya mempunyai berat badan yang ideal. Malah, ada yang boleh dikategorikan sebagai obes dan ini berpotensi untuk menimbulkan pelbagai masalah kesihatan pada bayi anda.
Para ibu dan bapa harus faham bahawa bayi yang sihat kebiasaannya adalah bayi yang tumbesarannya berada di tahap kadar pertambahan berat badan yang normal. Di samping itu, terdapat banyak tanda-tanda lain juga yang para ibu boleh perhatikan untuk memastikan kesihatan bayi anda di tahap yang ideal.
Tanda-tanda Bekalan Susu untuk Bayi Mencukupi
- Bayi membuang air besar dalam kiraan 4 hingga 8 kali sehari. Perhatikan lah juga warna dan tekstur najis bayi anda
- Bayi membuang air kecil melebihi 6 kali sehari. Warna dan bau air kencing bayi juga harus dipantau
- Kulit bayi kelihatan sihat
- Mood bayi ceria dan tampak gembira
- Otot bayi sihat
- Bayi anda kelihatan puas
Harus diingatkan, walaupun anda merasakan kesihatan bayi anda berada di tahap yang sesuai, para ibu dan bapa hendaklah mendapatkan pemeriksaan dan nasihat doktor mengenai bayi anda dari masa ke semasa.
Sememangnya susu ibu mampu memberikan zat yang secukupnya untuk enam bulan pertama. Namun, dengan meningkatnya usia bayi, dari enam bulan hingga ke atas, bayi anda akan memerlukan makanan pelengkap untuk mendapatkan segala nutrien yang diperlukan untuk tumbesarannya.
Kebiasaannya, para ibu akan perasan beberapa perubahan pada tabiat makan bayi. Perubahan-perubahan ini menunjukkan bahawa bayi anda sudah bersedia untuk menerima makanan lain selain dari susu ibu. Apakah tanda-tandanya?
Tanda-tanda Bayi Anda Bersedia untuk Menerima Makanan Tambahan
Highlighted
- Bayi anda suka memasukkan sesuatu ke dalam mulutnya
- Bayi melakukan beberapa pergerakan mulut seperti mengunyah dan menggerakkannya ke atas dan ke bawah
- Walaupun baru disusui, bayi akan meminta susu lagi dan kerap lapar
- Ketika anda memakan sesuatu, bayi akan menunjukkan minat seperti membuka mulutnya dan cuba mengambil makanan itu
Tanda-tanda ini kebiasaannya adalah perubahan positif pada pola pemakanan bayi. Ia menunjukkan bahawa bayi anda sedang membesar secara normal. Mereka kini memerlukan makanan tambahan lain untuk menampung perkembangan badan mereka.
Sebagai permulaan, para ibu hendaklah mengenalkan makanan pelengkap ini kepada bayi secara berperingkat. Ini untuk membiasakan deria bayi dengan makanan baru dan memudahkannya menerima perubahan dalam corak pemakanannya.
Untuk memudahkan urusan anda, para ibu bolehlah mengamalkan cadangan dan beberapa tips di bawah sebagai panduan dalam pengenalan makanan tambahan kepada bayi anda.
Cadangan dan Tips untuk Pengenalan dan Pemberian Makanan Pelengkap pada Bayi
1. Dalam penyediaan makanan bayi, para ibu tidak disarankan untuk menambah sebarang gula, garam atau bahan perasa. Bayi hendaklah didedahkan dengan rasa sebenar makanan itu.
2. Sebagai permulaan, perkenalkan lah kepada bayi anda sejenis makanan pada satu jangka masa, seeloknya selama beberapa hari. Perhatikanlah reaksi bayi anda sama ada dia gemar atau pun tidak pada makanan itu. Tindak balas negatif seperti alahan pada makanan itu haruslah dititik beratkan.
3. Sebelum menyuap bayi anda, selesakan lah bayi anda terlebih dahulu sama ada anda ingin meribanya atau pun meletakannya di dalam kerusi bayi atau walker. Kedudukan bayi yang tidak selesa boleh menjejaskan aktiviti makan.
4. Mulakan lah suapan pertama dengan menyudukan makanan dalam kuantiti yang sedikit dahulu di celahan bibir bayi. Biarkan bayi anda merasa dan menyedut makanan itu. Para ibu tidak seharusnya memaksa tetapi biarlah bayi anda sendiri yang menerimanya. Berikan peluang kepada mereka untuk bekerjasama dengan anda.
5. Jika bayi anda menolak, usahakan lah memujuknya dengan bercakap dan melakukan perbuatan yang memberi galakan padanya. Lakukanlah percubaan ini selama beberapa kali.
6. Antara cara lain untuk menarik minat bayi anda ialah dengan cara menyelup jari anda ke dalam makanan itu dan membiarkan bayi anda menghisapnya.
7. Elakkanlah sebarang gangguan yang dapat mengalih tumpuan bayi anda seperti siaran televisyen. Pemberian makanan yang efektif memerlukan tumpuan deria bayi yang sepenuhnya.
8. Rangsanglah minat bayi anda dengan memberinya peluang untuk mencipta inisiatif sendiri. Sebagai contoh, dengan menggunakan cawan yang bayi anda sendiri boleh memegangnya.
9. Berikanlah makanan pada bayi anda ketika mereka mula lapar. Janganlah membiarkan bayi anda hilang selera makan atau merengek dahulu.
10. Ingatan penting untuk para ibu dan bapa, makanan yang diberikan haruslah mudah ditelan bayi dan tidak akan menyebabkannya tercekik seperti kekacang.
11. Apabila pengenalan makanan baru diterima elok oleh bayi, para ibu boleh lah mempelbagaikan lagi jenis makanan. Sebagai contoh, pada permulaan, para ibu memberikan bubur nasi kepada bayi. Jika penerimaan bayi positif, tambahkan lah sayur di dalamnya. Di samping memenuhi zat yang diperlukan, bayi anda dapat mengenali dan merasai variasi rasa dan warna makanan.
Dalam penyediaan makanan bayi, antara faktor penting yang harus diawasi oleh para ibu dan bapa ialah kebersihan. Pastikan peralatan yang digunakan terjamin kebersihannya. Basuhlah tangan anda dengan bersih dan sediakanlah makanan dan minuman dari sumber yang selamat.
Semoga para ibu berhasil membesarkan bayi dengan sihat dan gembira. Setiap saat bersama si manja walaupun terasa sukar adalah saat-saat yang indah. Nikmati dan hargailah detik-detik itu.
Masih mencari makanan bayi yang sesuai untuk anak anda? Dapatkan pelbagai jenama makanan bayi di Motherhood.com.my hari ini!