Terdapat lebih daripada 10 istilah atau perkataan penting dalam Buku Pink yang susah untuk difahami oleh para ibu yang baru hamil.
Jika Mommy adalah kalangan ibu hamil yang baru selesai membuka Buku Pink sama ada di klinik-klinik kesihatan atau swasta, anda boleh cuba membacanya sekali lalu.
Di kala leka menghadam segala intipatinya, mesti anda akan terjumpa beberapa istilah perubatan yang membuatkan Mommy semua tertanya-tanya tentang maksud sebenar di sebaliknya.
Kalau ibu-ibu nak tahu, istilah-istilah ini adalah catatan penting untuk dirujuk oleh doktor-doktor atau jururawat untuk memantau keadaan dan perkembangan semasa kehamilan ibu itu sendiri.
Ia memberikan sedikit sebanyak maklumat ringkas tentang kesihatan semasa ibu dan bayi yang dikandung, begitu juga dengan sejarah kesihatan lalu.
Kebanyakkan istilah-istilah ini ditulis dalam bentuk singkatan kata dan mudah difahami oleh staf-staf kesihatan yang berkhidmat untuk ibu hamil seperti Pakar Perunding, Doktor, Jururawat dan lain-lain.
Tetapi hal sebaliknya bagi Mommy yang tidak mempunyai latar belakang ilmu dalam bidang kesihatan.
Anda pasti teruja jika mempunyai peluang untuk mempelajari makna istilah-istilah tersebut bukan?
Dalam artikel ini kami akan mendedahkan kepada ibu-ibu sekalian tentang makna tersirat di sebalik istilah-istilah perubatan dalam Buku Pink.
Mommy semua sila terus pembacaan anda ya untuk ketahui senarainya.
1. Last Normal Menstrual Period (LNMP)
Bermaksud tarikh haid akhir. Dalam erti kata lain, ia adalah tarikh hari pertama haid terakhir anda. Saya ulang sekali lagi, tarikh HARI PERTAMA haid terakhir.
Sebab ramai yang keliru dengan kenyataan. Kebanyakkan Mommy akan sangka bahawa ia merupakan hari terakhir haid. Sedangkan tarikh yang dimaksudkan adalah hari yang pertama dalam kitaran haid terakhir anda.
Baik, saya akan berikan contoh untuk memudahkan lagi anda memahaminya.
Contoh: Kitaran haid terakhir Puan Siti adalah pada bulan Januari yang lepas. Hari PERTAMA berlakunya pendarahan haid adalah pada 1/1/2022. Hari TERAKHIR darah haidnya pula adalah pada 8/1/2022. Pada hari seterusnya tiada lagi kesan darah haid yang didapati padanya. Maka tarikh LNMP (Last Normal Menstrual Period) Puan Siti adalah pada 1/1/2022 dan bukannya 8/1/2022.
Mudah bukan?
Senang cerita lepas ini anda akan lebih berkeyakinan semasa menjawap apabila ditanyakan tentang LNMP (Last Normal Menstrual Period) semasa pertemuan di klinik. Pastikan anda jawap dengan penuh keyakinan dan tepat.
Pasti jururawat atau doktor akan berasa kagum sebentar kerana tidak perlu mengulang soalan yang sama dengan penerangan tambahan.
2. Last Child Birth (LCB)
Bermakna tarikh kelahiran anak yang terakhir sewaktu kehamilan semasa.
Contoh: Puan Seri yang kini berusia 40 tahun sedang hamil 5 bulan dan mempunyai dua orang anak. Anaknya yang sulung berusia 10 tahun dilahirkan pada tahun 2010. Manakala anaknya yang kedua kini berusia 2 tahun dilahirkan pada 1/8/2020. Dengan ini, akan tertulis tertera pada buku pink tersebut LCB Puan Siti adalah pada 1/8/2020
3. Period Of Amenorrhea (POA)
Ia adalah jangka masa tidak datang haid.
4. Period Of Gestation (POG)
Jangka masa kehamilan.
5. Expected Date Of Delivery (EDD)
Tarikh jangkaan bersalin.
6. Revised Expected Date Of Delivery (REDD)
Tarikh jangkaan bersalin yang telah dikemaskini.
Info Khusus bagi POA, POG, EDD, REDD
POA dan POG membawa makna yang lebih kurang sama. Begitu juga jika anda bandingkan antara EDD dan REDD. Perbezaan yang terdapat pada istilah-istilah ini hanya sedikit sahaja.
Dalam dunia perubatan, POA dan POG digunakan untuk menghitung usia kehamilan.
EDD dan REDD pula digunakan untuk menjangka tarikh kelahiran. Jadi apa perbezaan antara EDD dan REDD ?
Pengiraan EDD adalah berdasarkan LNMP manakala REDD pula dihitung berdasarkan saiz janin dalam kandungan dengan menggunakan imbasan Ultrasound.
Biasanya jika Mommys tahu tarikh haid terakhir dan mempunyai kitraran haid normal dan tetap, maka pengiraan menggunakan EDD sudah memadai.
7. Primigravida, Gravida (G), Para (P)
Kod dan istilah ini memudahkan para petugas kesihatan mengetahui tentang jumlah kehamilan dan sejarah keguguran dengan cepat.
Primigravida – kehamilan pertama tanpa sebarang kehamilan terdahulu
Gravida – Jumlah bilangan kehamilan tidak kira samada bayi berjaya dilahirkan dengan selamat atau mengalami keguguran.
Para – Jumlah bilangan bayi yang berjaya dilahirkan secara hidup dan bayi lahir mati ( stillbirth )
Stillbirth bermaksud bayi dilahirkan dalam keadaan mati semasa atau selepas minggu ke-28 usia kehamilan.
WHO (World Health Organization)
Jika berlaku keguguran, simbol + akan diletakkan selepas huruf P.
Contoh: Puan Nur sedang hamil dan semasa perjumpaannya dengan doktor, tercatat dalam Buku Pinknya tentang keadaan kehamilan sekarang iaitu G2P1+1@ 37 weeks. Jadi maksud di sebalik G2P1+1@ 37 weeks adalah: Puan Nur telah hamil sebanyak 2 kali = G2 Berjaya melahirkan seorang bayi = P1 Pernah mengalami 1 keguguran pada kehamilan yang lepas = +1 Usia kehamilannya sekarang adalah 37 minggu.
Contoh-Contoh lain yang anda boleh rujuk: a) Puan Siti mendapati ujian UPT yang baru dilakukannya positif dan ini merupakan kehamilan yang pertama dalam hidupnya. Maka status kehamilannya adalah Primigravida atau G1PO b) Puan Aminah mempunyai 2 orang anak dan kini sedang hamil anak yang ke-3, statusnya adalah G3P2. c) Puan Zainab mempunyai seorang anak dan pernah mengalami keguguran sebanyak 4 kali dan kini sedang hamil 25 minggu statusnya ialah G6P1+4.
8. Lower Segment Caesarean Section (LSCS)
Maksud: Pembedahan caesarean
9. Spontaneous Vaginal Delivery (SVD)
Maksud: Kelahiran secara normal iaitu keluarnya kepala bayi dahulu melalui faraj sebelum anggota tubuh badan yang lain.
10. 1 Previous Scar
Bermakna terdapat sejarah pembedahan caesarean sebanyak 1 kali pada kehamilan terdahulu.
11. H/O Vaccum Assisted Delivery
Simbol H/O membawa erti history of. Oleh it, H/O Vaccum Assisted Delivery bermakna sejarah kelahiran bayi dengan menggunakan prosedur vakum.
Vakum merupakan sejenis alat penekap pada bahagian kepala bayi bagi membantu proses kelahiran apabila kontraksi ibu semakin lemah dan bayi pula sudah mula lemas.
12. Diagnostic Dilation and Curettage (DD+C)
Untuk pengetahuan Mommy semua, ia adalah satu bentuk prosedur yang merangkumi pembukaan pangkal rahim ( dilation ) dan pencucian rahim menggunakan alat yang dikenali sebagai Curette.
Prosedur ini dilaksanakan bagi membersihkan ruang rahim daripada sisa-sisa keguguran yang masih berbaki.
13 History Of Abortion (H/O Abortion)
Membawa maksud sejarah keguguran lepas. Semoga sentiasa dijauhkan darinya dan dimudahkan untuk melalui detik-detik bersalin dengan lancar dalam setiap kehamilan.
14) History Of Gestational Diabetes Mellitus On Diet Control (H/O GDM on D/C)
Maksud: Mempunyai sejarah kencing manis yang dikawal melalui diet pemakanan sahaja pada kehamilan yang lepas.
15) Poor spacing
Maksud: Jarak kelahiran lepas dan kehamilan yang terbaru yang tidak lebih daripada 2 tahun. Ini kalau ada kena tahan sikit dengan leteran dan teguran jururawat klinik kesihatan atau doktor sebab tidak menjarakkan kehamilan dengan baik.
Banyak juga ya istilah-istilah dalam Buku Pink yang Mommy semua dapat pelajari kali ini. Semoga ia menjadi ilmu yang bermanfaat kepada semua.
Penafian: Maklumat yang diberikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan profesional penjagaan kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.
Dapatkan pelbagai maklumat yang berguna untuk Mommy dan Daddy di SINI.