Pernah tak anak-anak Mommy Daddy meminta untuk dibelikan haiwan peliharaan kepadanya? Agaknya apa haiwan yang sesuai untuk dipelihara selain kucing? Mommy Daddy boleh juga memberikan hamster kepada anak sebagai haiwan peliharaan.
Ini kerana hamster lebih murah berbanding kucing dan cara penjagaannya juga lebih mudah. Terdapat lebih kurang 24 jenis hamster yang ada di dunia tapi hanya ada 4-5 jenis sahaja yang boleh didapati di Malaysia.
Terdapat pelbagai jenis hamster yang berbeza-beza dari segi ciri-ciri fizikal, personaliti, dan keperluan penjagaan.
Dalam artikel ini, kami akan mengenalkan anda kepada beberapa jenis hamster yang popular sebagai haiwan peliharaan, serta memberikan panduan mengenai cara merawat mereka dengan betul untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan mereka. Jom lihat!
5 Jenis Hamster yang Sesuai untuk Anak-anak
Berikut adalah perkongsian yang akan dikongsi mengenai hamster yang ada di Malaysia iaitu:
#1. Jenis Hamster Syrian
Syrian Hamster adalah hamster yang paling besar diantara jenis hamster yang lain. Beratnya boleh mencapai 150g. Ia juga dikenali sebagai Golden Hamster kerana bulunya berwarna oren keemasan. Walaupun hamster ini lebih besar, namun harga untuk seekor Syrian Hamster hanyalah lebih kurang RM8-RM12 sahaja. Hamster ini juga lebih mudah dijinakkan.
Ia dinamakan Syrian Hamster kerana pertama kali ditemui di Syria pada tahun 1797. Jangka hayat untuk hamster jenis ini hanyalah sekitar 2-4 tahun sahaja. Walaupun sudah jinak tapi ia tidak suka dipegang dan hanya suka merayap ke tangan pemiliknya. Untuk makanan pula, perlu disediakan bijirin khusus dan kekacang. Ia juga memakan sayur dan buah seperti epal, pear dan lobak.
Syrian Hamster ini lebih aktif pada waktu malam dan lebih banyak berehat diwaktu siang, perlu diingatkan supaya anak-anak Mommy Daddy tidak mengganggunya waktu siang kerana ia boleh menggigit kerana rasa terganggu atau tertekan.
#2. Winter White Hamster
Yang kedua ialah Winter White Hamster atau juga dikenali sebagai Russian Dwarf Hamster. Hamster ini lebih kecil berbanding dengan Syrian Hamster, ianya hanya 4inci panjang. Bulunya boleh bertukar menjadi warna putih sekiranya berada di tempat sejuk dan akan bertukar kepada warna asal pada suhu bilik. Kebanyakkan warnanya ialah kelabu kecoklatan.
Namun ia juga mempunyai beberapa jenis warna bulu lain. Jangkat hayat bagi Winter White Hamster juga lebih singkat iaitu 1-2 tahun sahaja. Hamster ini juga sangat manja dan suka memanjat ke tangan apabila dia berasa selesa dan selamat. Namun ia boleh menjadi sangat agresif dan garang sehingga boleh menggigit sekiranya berasa terancam.
Gigitannya sangat kuat dan sukar untuk dilepaskan. Namun Mommy Daddy jangan risau kerana hamster ini mudah dijinakkan dan sangat tenang. Harga bagi Winter White Hamster pula dianggarkan sekitar RM20-RM30 sahaja.
#3. Roborovski Hamster
Seterusnya, Mommy Daddy boleh juga membelikan Roborovski Hamster kepada anak sebagai haiwan peliharaan. Hamster ini juga bersaiz kecil, dewasanya boleh mencecah hanya 5-6 cm sahaja. Ia juga terkenal dengan jenis hamster yang sangat aktif dan suka bermain.
Selain itu, ia juga sangat manja. Badannya yang bulat dan tembam membuatkan ia lebih kelihatan comel dan Roborovski Hamster ini normalnya berwarna coklat. Ia dapat bertahan hidup hanya sekitar 2-3 tahun sahaja. Untuk harganya pula cuma sekitar RM50 sahaja.
#4. Chinese Hamster
Yang keempat ialah jenis Chinese Hamster. Hamster ini bersaiz 4-5 inci dan bulunya lebih gelap seakan tikus kecil. Ia lebih suka hidup bersendirian daripada berpasangan dan jangka hayatnya adalah 2-3 tahun sahaja. Ia juga mempunyai ekor yang lebih panjang berbanding dengan hamster yang lain. Namun begitu, Chinese Hamster ini sukar ditemui di Malaysia kerana permintaannya yang sedikit.
#5. Campbell Hamster
Jenis hamster yang terakhir adalah Campbell Hamster. Hamster ini juga dikenali sebagai Dwarf Hamster sama seperti Winter White Hamster. Ia boleh membesar sehingga 3-5 inci sahaja dan jangka hayatnya pula sangat singkat iaitu sekitar 1 ½ – 2 tahun sahaja. Hamster jenis ini juga mempunyai pelbagai jenis warna dan bulunya agak panjang dari yang lain.
Campbell Hamster juga lebih suka hidup berpasangan atau berkelompok. Ia kurang sesuai untuk dijadikan haiwan peliharaan kepada anak bawak 7 tahun kerana ia suka menggigit walaupun jinak. Yang seronoknya, hamster ini boleh dilatih berlompat dan berjalan menggunakan dua kaki belakang. Harga untuk Campbell Hamster ini boleh mencecah ratusan ringgit.
Kalau selama ini, Mommy dan Daddy perlu membawa anak-anak ke zoo untuk melihat haiwan-haiwan yang mereka sukai, kini dengan membiarkan mereka membela hamster, anak-anak sudah boleh amalkan cara penjagaan haiwan peliharaan dan sudah tahu bagaimana cara hendak menghargai haiwan kesayangan mereka itu.
Perlu diingat, sekiranya Mommy Daddy membelikan hamster untuk anak sebagai haiwan peliharaan, Mommy Daddy perlulah terlebih dahulu mengajarkan anak-anak supaya lebih bertanggungjawab dalam menjaga haiwan peliharaan mereka.
Selain itu, hamster juga memerluka sangkar yang besar kerana ia sejenis yang sangat aktif dan suka bermain. Pastikan anak-anak sentiasa menjaga pemakanannya dengan memberi makan makanan yang sesuai.
Dapatkan pelbagai lagi info menarik yang lain di SINI!