Ibu, Bayi & Kanak Kanak

20 Jenis Ikan Yang Biasa Didapati Di Pasar

jenis ikan di malaysia

Sumber: Adobe Stock

Kehidupan pada zaman pandemik sekarang memerlukan setiap individu untuk mematuhi SOP dan menjarakkan diri dari individu lain, terutamanya di tempat yang sesak. Kalau nak beli barang dapur pun, tak digalakkan berpusu-pusu di pasar yang crowded. Tambahan pula, rasa tertekan untuk cepat-cepat memilih barang dan keluar dari pasar.

Untuk menyenangkan dan mempercepatkan proses pembelian barang dapur di pasar, Mommy dinasihatkan untuk membuat senarai barang yang diperlukan supaya tidak berlengah-lengah di tempat awam. Kalau barang kering, senang saja nak masukkan dalam senarai. Bagaimana pula barang basah, terutamanya ikan segar?

Highlighted

Sumber: Adobe Stock

Mommy kenal tak semua jenis ikan? Atau perlu membelek-belek lagi di pasar untuk memastikan Mommy mengambil ikan yang betul? Apa kata Mommy kenali jenis-jenis ikan dalam senarai yang kami sediakan di sini.

20 Jenis Ikan Yang Boleh Di Dapati Di Pasar Tempatan

1. Ikan Bawal

Sumber: pasarman.com

Terdapat tiga jenis ikan bawal yang biasa berada di pasar, iaitu ikan bawal emas, bawal putih, dan bawal hitam. Tekstur dan rasa ikan bawal putih secara umumnya adalah paling sedap dan sering menjadi pilihan popular dibandingkan dengan bawal emas dan bawal hitam.

Ikan yang hidup secara berkumpulan ini banyak terdapat di Lautan Hindi, Afrika, Jepun, dan Malaysia. Ikan bawal kaya dengan vitamin A, B, C, dan K, dan juga mineral fosfor dan selenium.

2. Ikan Siakap

Sumber: pasarman.com

Ikan siakap mempunyai ciri-ciri badan yang panjang, ekor yang lurus, dan mulut yang besar. Disebabkan sifatnya yang suka melawan, ikan ini sering digemari dan sering dicari oleh individu yang gemar memancing.

Ikan siakap boleh mencapai panjang satu meter dengan berat sehingga 25kg bergantung kepada tahap lemak! Isi ikan siakap adalah pejal dan manis, dan ia sering dimasak sebagai hidangan ikan tiga rasa atau stim limau.

Ikan siakap mengandungi sumber vitamin B1 yang baik yang sukar ditemui dalam kebanyakan jenis ikan lain.

3. Ikan Cencaru

Sumber: pasarman.com

Ikan cencaru merupakan sejenis ikan karnivor yang berwarna kelabu kebiru-biruan pada bahagian atas (dorsal), dan keperak-perakan pada bahagian bawah.

Ikan cencaru mempunyai nilai komersial yang tinggi dan sering dijumpai berkelompok di awasan-kawasan pantai Indo-Pasifik Barat, dari Afrika Timur sehingga Jepun dan Australia.

Ikan ini terkenal dengan masakan sumbat sambal atau sumbat kelapa dan goreng berlada. Ia kaya dengan vitamin larut lemak seperti vitamin D.

4. Ikan Selar

Sumber: pasarman.com

Ikan yang hidup secara berkumpulan ini mempunyai beberapa jenis seperti selar papan, selar jalu-jalu, selar batang, dan lain-lain jenis.

Ikan ini mempunyai ciri-ciri badan berwarna kuning dan sedikit berbelang dan sering dikelirukan dengan ikan kembung kerana rupanya yang hampur sama. Ikan bersaiz kecil ini adalah murah dan kaya dengan vitamin A, B, dan asid amino penting.

5. Ikan Jenahak

Sumber: pasarman.com

Ikan jenahak terdiri daripada beberapa spesis dan jenis ikan jenahak merah dan jenahak putih biasa didapati di pasar. Ia sering dijumpai di lautan bebas, namun terdapat juga beberapa spesies yang hidup di estuari, kawasan hutan paya bakau dan muara sungai.

Ikan jenahak mengandungi kandungan gizi yang kompleks dan dikatakan dapat menurunkan trigliserida. Ia sesuai dimasak dengan pelbagai resepi.

6. Ikan Tenggiri

Sumber: pasarman.com

Ikan tenggiri atau Spanish mackerel adalah sejenis ikan yang berminyak dan kaya dengan asid lemak omega-3. Sering ditemui dalam kelompok yang kecil, ikan bersifat karnivor ini mempunyai rahang yang besar dan gigi yang tajam dan mampan.

Makanan utama ikan tenggiri adalah sotong dan ikan yang lebih kecil. Terdapat beberapa spesis ikan tenggiri yang boleh didapati di perairan Malaysia seperti tenggiri batang, tenggiri bunga, dan tenggiri papan.

7. Ikan Haruan

Sumber: ceriasihat.com

Ikan haruan ialah sejenis ikan air tawar bersifat karnivor. Ikan haruan amat popular di kalangan orang tempatan dengan khasiatnya.

Asid arachidonik yang terkandung dalam isi ikan haruan amat bermanfaat dalam membantu proses penyembuhan penyakit kulit.

Ia mengandungi kesemua asid amino dan asid lemak yang bermanfaat untuk proses perubatan dan penyembuhan penyakit kulit. Ia boleh dimasak dengan beraneka resepi.

8. Ikan Kembung

Sumber: pasarperantau.com

Ikan kembung merupakan ikan yang penting secara komersial. Malah, ia seolah-olah menjadi makanan ruji bagi banyak keluarga kerana senang didapati dan boleh dimasak dengan pelbagai cara.

Kalau Mommy nak tahu, penangkapan ikan kembung memerlukan lesen bagi memastikan ia tidak terancam oleh tangkapan melampau oleh nelayan komersial.

9. Ikan Merah

Ikan merah tentu sekali senang untuk dikenali kerana berwarna merah! Air ikan masin ini merupakan ikan tempatan di Lautan Hindi dan barat Lautan Pasifik dari Afrika sehingga ke Australia di selatan.

Kemerahan warna ikan merah bergantung pada usia dan keadaan sekitar. Ikan muda yang ditangkap di kawasan muara sering kali bewarna lebih gelap berbanding ikan matang yang ditangkap dari kawasan terumbu luar persisiran.

Ikan ini sesuai dimasak dengan pelbagai resepi.

10. Ikan Pari

Sumber: pasarman.com

Ikan pari adalah jenis ikan yang biasa dijumpai di pasar dan selalunya sudah dipotong disebabkan bentuknya yang bukan seperti bentuk ikan biasa.

Ia sesuai dimasak dengan pelbagai cara, dan yang paling popular selalunya dimasak asam pedas atau dibakar bersama arang.

Ikan pari mengandungi banyak nutrisi penting omega 3, kalium, natrium, kalsium, magnesium, tembaga, fosfor, zinc, zat besi, asid amino, serta vitamin D.

11. Ikan Nyok Nyok

Sumber: pasarman.com

Ikan yang bernama agak lucu ini sebenarnya mengandungi pelbagai nutrisi, mineral, dan vitamin yang penting seperti asid lemak omega-3.

Ia sejenis ikan berisi putih yang hidup di air masin, berbadan besar dan mata bulat besar. Kebiasaannya ikan nyok nyok sering dimasak sebagai gulai atau kari bersama terung dan bendi.

12. Ikan Keli

Juga dikenali sebagai ‘catfish’, ikan keli biasanya terdapat hampir diseluruh negara Asia. Jenis ikan ini mempunyai daya tahan yang tinggi berbanding ikan lain. Ikan keli tidak bersisik, membuatkannya mempunyai badan yang licin dan berlendir.

Ikan keli sering dijumpai di perairan air tawar. Hidangan yang kerap disediakan dengan ikan keli termasuklah resepi goreng kunyit atau sambal.

13. Ikan Kerisi

Sumber: marijimat.com

Jenis ikan yang berwarna sedikit kemerah-merahan ini bersaiz sederhana dan rasanya amat sedap. Ikan air masin ini selalunya dibuat masak halia atau masam manis.

Penangkapan ikan ini juga memerlukan lesen agar ia tidak terancam oleh tangkapan yang berlebihan.

14. Ikan Patin

Sumber: langkawiruncit.com

Jenis ikan air tawar bermisai dan tidak bersisik ini boleh ditemui disungai dan lombong. Bentuk fizikal bagi ikan ini adalah tidak bersisik, mempunyai misai dan berisi lembut.

Terdapat beberapa jenis ikan patin yang boleh didapati antaranya ikan patin kolam, patin sangkar, dan patin buah. Ikan patin amat popular di Pahang dan lazimnya diternak oleh sebab permintaan yang tinggi.

15. Ikan Sardin

Sumber: pasarman.com

Mommy tentu selalu nampak ikan sardin yang dijual dalam tin kan? Sebenarnya ikan sardin yang segar pun boleh didapati di pasar.

Juga dikenali sebagai ikan selayang atau ikan basung, ikan sardin mempunyai isi yang lembut dan kurang berlemak yang kaya dengan vitamin D. Bagi orang pantai timur, ikan sardin sering dimasak sebagai gulai lemak kuning ikan selayang.

16. Ikan Tongkol

Sumber: pasarman.com

Ikan tongol mempunyai bentuk serupa ikan tuna, tapi mereka sebenarnya berbeza. Jadi ada yang memberi label tuna sebagai spesis tuna besar, manakala ikan tongkol sebagai spesis tuna kecil.

Ikan tongkol mempunyai dua jenis, iaitu tongkol hitam dan tongkol putih. Tongkol putih mempunyai jalur di bahagian atas badan ikan, manakala tongkol hitam tiada jalur tersebut.

17. Ikan Kerapu

Sumber: pasarhub.my

Ikan kerapu mudah dikenali kerana badannya yang berbintik. Ia merupakan jenis ikan yang berada di lautan dalam. Ikan kerapu adalah jenis ikan yang besar dan mahal yang sering dipesan di restoran makanan laut. Hidangan yang sering dijadikan dengan ikan kerapu ialah masak tiga rasa.

18.  Ikan Gelama

Sumber: shopee.com.my

Ikan gelama mempunyai ciri-ciri badan yang berwarna keperakan dan bergerak dalam kumpulan yang besar. Ia sering dijumpai di persisiran pantai dan kawasan muara. Ikan ini biasanya akan dijadikan ikan masin selain dari pelbagai masakan enak lain.

19. Ikan Terubuk

Sumber: Shutterstock

Ikan terubuk amat popular di kalangan warga Malaysia kerana isinya yang lembut dan berlemak. Walau bagaimanapun, ikan ini mengandungi banyak tulang halus, jadi Mommy perlu berjaga-jaga jika memberi kepada anak-anak kecil!

Malangnya penangkapan ikan ini yang berlebihan telah mengurangkan populasi ke tahap yang membimbangkan di Asia Tenggara. Pantai Sarawak tinggal menjadi habitat terakhir spesis ikan ini.

20. Ikan Talapia

Sumber: pasarman.com

Ikan talapia, atau kadang-kala dipanggil tilapia, ialah jenis ikan yang mempunyai pelbagai spesis. Ia mendiami pelbagai kawasan air tawar dan air payau bermula dari alur anak sungai kecil dan kolam sehingga sungai, tasik, dan muara.

Di Malaysia, boleh didapati talapia merah dan talapia putih. Ikan ini juga dikenali sebagai ikan nila.

Senarai diatas menunjukkan jenis-jenis ikan yang boleh dijumpai di kebanyakan pasar. Ikan memang banyak khasiat jika dimakan, dan ia juga disyorkan untuk diambil oleh ibu mengandung dan berpantang. Semoga senarai ini dapat membantu Mommy untuk mudah kenali jenis ikan di pasar!