Ibu, Bayi & Kanak Kanak

“Kacang, kacang, kacang~~~” Bukan Cerita, Tapi Fakta. 11 Jenis Kacang Yang Perlu Kita Ketahui

jenis kacang

Kredit gambar : thezuriat.com

Sehingga kini terdapat hampir 40,000 jenis kacang yang telah pun didaftarkan di seluruh dunia. Kekacang adalah sumber yang memberi beberapa nutrien penting, termasuk pelbagai vitamin dan mineral kepada tubuh kita.

Walaupun profil nutrien yang tepat boleh berbeza-beza untuk jenis kekacang tertentu, namun kebanyakannya tinggi folat, mangan, besi dan magnesium, dan pelbagai jenis mikronutrien utama.

Ia juga merupakan sumber protein dan serat yang mana kedua-duanya penting dalam beberapa aspek kesihatan. Sebagai contoh, protein adalah penting untuk fungsi imun, komposisi badan, pembaikan tisu, pertumbuhan dan pembangunan yang sihat.

Sementara itu, serat membantu untuk mengurangkan tekanan darah, menurunkan tahap kolesterol, meningkatkan kepekaan insulin, dan banyak lagi.

Untuk membantu Mommy mengenali manfaat kacang dengan lebih baik, berikut kami senaraikan jenis kacang untuk Mommy ketahui dan cuba.

Jenis Kacang Yang Paling Popular

#1. Kacang Tanah

Highlighted

Kredit gambar : health.kompas.com

Kacang tanah atau nama saintifik (Arachis hypogaea) biasanya dimakan begitu sahaja. Ia juga boleh disediakan dalam pelbagai cara seperti direbus, dibakar, dihancurkan ataupun digaul dengan garam selepas digoreng.

Kacang ini mempunyai rasa manis dan banyak digunakan untuk membuat beraneka jenis kuih-muih.

Antara manfaat kacang tanah ialah ia membekalkan sumber lemak, protein, dan serat yang sihat selain mampu melawaskan sistem penghadaman dan sesuai dijadikan sumber tenaga.

#2. Kacang Badam

Kredit gambar : lifestyle.okezone.com

Badam atau almond merupakan kacang yang kaya dengan pelbagai khasiat. Badam mempunyai kulit yang cukup keras sehingga sukar untuk dipecahkan namun berbaloi melakukannya kerana rasanya yang sedap. Ia boleh dijadikan kudapan begitu sahaja, atau dikisar dan dicampurkan kedalam minuman seperti susu.

Kandungan magnesium, kalsium dan pelbagai zat yang terkandung dalam sebiji kacang badam dipercayai boleh membantu menguatkan jantung. Apa yang perlu Mommy ketahui ialah badam tidak boleh digoreng bersama minyak kerana setelah bercampur dengan minyak, khasiatnya sudah tidak sama seperti asal.

Selain itu, kacang badam juga membantu merendahkan kolesterol dan kandungan vitamin E dalam kacang ini boleh menambah kolesterol baik dalam tubuh kita.

Bagi individu yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi pula, kacang badam dapat membantu menurunkan kadar tekanan darah selain dapat membantu menstabilkan kadar gula dalam darah serta membantu meningkatkan imunisasi badan kerana mengandungi vitamin E, B1, B2 dan B3.

#3. Kacang Gajus

Kredit gambar : thediagnosa.com

Di dalam kacang gajus terdapat protein dan mineral penting seperti tembaga, kalsium, magnesium, zat besi, fosforus, potasium, zink dan sodium namun dalam kuantiti yang kecil.

Kacang gajus turut mengandungi vitamin C, B-, E dan K, tiamin, riboflavin, niasin dan folat. Ia juga sumber kepada asid oleik selain membekalkan sejumlah lemak mono tidak tepu dan lemak poli tidak tepu tanpa kandungan kolesterol jika diambil secara sederhana.

Selain itu, kacang gajus merupakan sumber magnesium penting untuk pembentukan tulang, otot, tisu dan organ tubuh lain serta dapat mengurangkan risiko diabetes. Jumlah gula dalam kacang gajus sangat rendah dan tiada kolesterol jahat.

Ini membolehkan pesakit diabetis memakannya, malah ia turt membantu mengurangkan risiko diabetes jenis 2.

Kacang gajus juga membekalkan fosforus yang penting untuk pembentukan tulang dan gigi. meningkatkan sistem imun dan mengandungi zink yang memainkan peranan penting dalam menguatkan sistem imun melawan jangkitan mikrob dan membantu menyembuhkan luka.

Ia sangat penting wanita dalam tempoh kehamilan untuk merangsang pembesaran bayi dan juga perkembangan kanak-kanak bagi mengekalkan kesihatan tubuh.

#4. Kacang Walnut

Kredit gambar : arahkata.pikiran-rakyat.com

Kacang walnut mempunyai rupa bentuk seperti otak manusia yang menzahirkan kehebatan kacang itu terhadap kesihatan otak.

‘Journal of Nutrition Heal & Aging’ menyarankan supaya kita memakan segenggam kacang walnut setiap hari bagi meningkatkan kemampuan kognitif.

Selain itu, kacang walnut boleh melambatkan proses penuaan otak dan ia sangat baik bagi mengurangkan risiko menghidap Alzheimer dan Demensia yang melemahkan fungsi otak serta ingatan.

Kacang walnut merupakan antioksidan dua kali lebih tinggi berbanding kacang lain. Manakala, kulit yang menyelaputi kacang walnut mengandungi jumlah vitamin E yang tinggi, melatonin dan polifenol.

Selain itu juga, ia dapat mengelakkan berlakunya masalah aterosklerosis iaitu pengumpulan plak pada arteri.

Kacang walnut juga mengandungi lebih banyak khasiat Omega-3 berbanding kacang-kacang lain. Omega-3 pada kacang walnut disbut ‘alpha linolenic acid’ (ALA) iaitu lemak penting yang perlu ada dalam diet harian kita.

Lelaki yang makan kacang walnut dapat membantu meningkatkan kesihatan sperma dan kesuburan mereka. Khasiatnya dapat melindungi sperma dengan mengurangkan kerosakan tekanan oksidatif pada membran sperma.

#5. Kacang hijau

Kredit gambar : www.bola.com

Kacang hijau merupakan sejenis kacang yang mengandungi sumber protein yang sangat baik, rendah lemak, tinggi serat dan antioksidan. Ia juga begitu kaya dengan kalsium, zat besi, zink, kalium, fosfor, vitamin A, B, C, E dan K serta folat.

Kacang hijau dilengkapi nutrisi seperti manganese, selenium, magnesium dan karbohidrat yang sememangnya menawarkan pelbagai manfaat berbeza untuk tubuh badan kita.

Selain itu, di kebanyakan spa dan pusat perawatan wajah yang mengutamakan penggunaan bahan alami, kacang hijau yang telah diproses menjadi tepung, dicampur bersama susu, madu atau yogurt untuk dijadikan pupur wajah.

Kacang hijau yang telah direndam semalaman dan dikisar bersama kelapa pula boleh dijadikan skrub untuk menyental tubuh, khususnya bahagian pelipat, bawah lengan, leher, siku dan kaki.

#6. Kacang Pistachio

Kredit gambar : www.lazada.co.id

Kacang pistachio merupakan kacang yang berasal dari negara Timur Tengah terdiri dalam keluarga Anacardiaceae dengan nama saintifik pistacia vera.

Kacang ini juga turut dikenali sebagai kacang cerdik. Zaman dahulu, kacang ini hanya dimakan oleh golongan bangsawan sahaja.

Sangat bagus jika diamalkan dalam diet seharian kerana ia mempunyai pelbagai manfaat antaranya adalah meningkatkan fungsi otak, mengurangkan risiko anemia, mempunyai nilai glycemic index atau GI yang rendah, menjaga kesihatan jantung serta pelbagai fungsi nutrisi yang lain untuk tubuh badan.

#7. Kacang Macadamia

Kredit gambar : bobo.grid.id

Menurut wikipedia, kacang macadamia pula merupakan genus daripada empat spesies pokok yang membentuk bahagian keluarga tumbuhan proteaceae asli di New South Wales timur laut dan Quensland tenggara, Australia.

Antara khasiat yang terdapat dalam kacang ini adalah ia sangat kaya dengan nutrien penting seperti vitamin B2, zat besi, magnesium, kalium dan banyak lagi.

Kacang macadamia berupaya untuk menurunkan paras kolesterol, mengandungi antioksidan, sangat baik untuk kesihatan jantung, mengurangkan berat badan, baik untuk sistem penghadaman dan banyak lagi.

#8. Kacang Pekan (pecan)

Kredit gambar : www.sehatq.com

Nama saintifiknya adalah pecan yang diperoleh daripada pokok pecan (Carya illinoinensis) dan berasal dari Amerika Syarikat dan Mexico.

Selalunya, kacang ini akan digunakan untuk dijadikan bahan tambahan dalam makanan serta dijadikan mentega kacang dan minyak atau menjadi penambah rasa kepada aiskrim, kek serta biskut.

Antara kebaikan kacang ini adalah ia baik untuk kesihatan jantung, meningkatkan fungsi otak, mengandungi antioksidan, menguatkan sistem imun badan, menstabilkan paras gula dalam darah dan banyak lagi.

#9. Kacang Brazil

Kredit gambar :

Kacang brazil yang terdiri daripada keluarga Lecythidaceae pula merupakan pokok Amerika Selatan iaitu salah satu pokok terbesar dan berumur panjang di hutan hujan Amazon. Nama saintifik bagi kacang brazil adalah Bertholletia exelsa.

Antara kebaikan kacang ini adalah ia kaya dengan selenium, baik untuk kesihatan tiroid, melawan keradangan, mengandungi antioksidan, menurunkan paras kolesterol, meningkatkan fungsi otak dan lain-lain.

#10. Kacang Hazel

Kredit gambar : www.sehatq.com

Menurut wikipedia kacang hazel atau hazelnut merupakan kacang dari spesies Corylus avellana. Kacang ini turut dikenali sebagai kacang bongkah atau kacang filbert mengikut spesies.

Kacang hazel mengandungi beberapa zat-zat penting iaitu folat, kalium, fosforus, kalium, vitamin C dan banyak lagi.

Terdapat beberapa khasiatnya iaitu membantu masalah penghadaman, membantu masalah kesuburan lelaki, meningkatkan ingatan, melawan jangkitan bakteria dan sebagaiya.

#11. Kacang Pain

Kredit gambar : ms.womanexpertus.com

Kacang pain atau kacang pinus adalah biji benih yang telah dikeluarkan dari buah kon pokok-pokok pinus atau tusam.

Kacang ini mempunyai banyak kebaikan di antaranya adalah ia boleh menguatkan sistem imun badan, melindungi hati, meningkatkan tahap kesuburan, baik untuk kesihatan jantung serta membantu mengatasi masalah sembelit.

Walaupun tiada cadangan jelas menunjukkan berapa banyak hidangan kekacang yang perlu Mommy makan, memasukkan jenis kacang ke dalam beberapa menu diet Mommy setiap minggu mungkin akan memberi kesan yang lebih baik terhadap kesihatan Mommy.

Diharap maklumat yang telah kami sampaikan ini dapat membantu Mommy mengenali kelebihan setiap jenis kekacang dengan lebih baik dan mengamalkan pemakanan kekacang dalam kehidupan seharian Mommy.


Dapatkan tips pemakanan yang bersesuaian dengan seisi keluarga dengan klik SINI.