Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Kenali 11 Jenis Pisang Yang Ada di Malaysia & Keunikan Setiap Satunya

jenis pisang

Di Malaysia terdapat pelbagai jenis pisang yang boleh ditanam dan enak dimakan serta banyak kegunaannya. Dari batang, daun, jantung dan buah semuanya memberi manfaat yang berguna.

Terdapat lebih dari dua puluh jenis pokok pisang yang terdiri dari pelbagai bentuk, ukuran dan rasa serta kegunaannya juga tidak sama bagi setiap jenis pisang.

Ia bukan sahaja kaya dengan khasiat, malah rasanya juga sedap selain kerap menjadi pilihan sebagai bahan dalam berbagai jenis masakan.

Pokoknya mudah ditanam dan tidak memerlukan rutin penjagaan yang ketat. Senang cakap, kalau Mommy tak boleh menanamnya di rumah, Mommy beli sahaja pisang-pisang tersebut di pasar atau kedai berdekatan.

Jom lihat beberapa jenis pisang yang wujud di Malaysia dan khasiat daripada setiap satunya.

Senarai Jenis Pisang Di Malaysia

#1. Pisang awak

Highlighted

Kredit gambar : en.wikipedia.org

Salah satu jenis pokok pisang yang boleh ditanam di tepi pagar rumah Mommy ialah pokok pisang awak. Selain memberi hasil, pisang awak dapat memagari rumah kerana pokok ini merupakan sejenis pokok pisang yang besar dan tinggi serta sering menghasilkan buah yang banyak.

Buahnya enak digoreng dan dimakan bersama sambal kicap. Selain itu, ia juga sedap dibuat lepat pisang, nagasari, pengat dan pisang salai.

Pisang awak juga boleh direbus dan dimakan dengan kelapa muda yang diparut, buah pisang awak tua boleh digoreng menjadi kerepek dan buah pisang awak yang sudah ranum pula sangat sesuai dibuat cekodok atau lempeng pisang.

#2. Pisang berangan

Kredit gambar : onefamily.com.my

Buah pisang berangan sering menjadi pilihan ramai kerana mempunyai saiz yang sangat sesuai untuk dijadikan makanan pencuci mulut yang biasanya dihidangkan di majlis-majlis keramaian dan jamuan.

Ia juga sesuai digunakan untuk membuat roti canai pisang. Selain itu, pisang berangan juga enak dijadikan pisang goreng kerana ia tidak benyek atau lembik.

Manakala, buah pisang berangan yang ranum boleh dibuat cekodok pisang ataupun kek pisang.

#3. Pisang emas

Kredit gambar : gosayur.com

Pisang emas memiliki bentuk yang kecil dan sering dijadikan snek kerana rasanya yang sangat sedap.

Namanya pula diberi disebabkan warnanya yang kuning keemasan setelah masak. Walau bagaimanapun, pisang ini akan bertukar menjadi lebam dalam beberapa hari sahaja. Jadi, Mommy kena pastikan untuk habiskan pisang ini secepat yang mungkin ya.

Pisang emas yang masih muda boleh dibuat masak lemak, dan gulai. Pisang yang sudah masak boleh dimasak menjadi pengat pisang dan cekodok.

#4. Pisang nangka

Kredit gambar : jurnalbumi.com

Salah satu jenis pisang yang biasa ditanam ialah pokok pisang nangka. Buah pisang nangka agak berbeza dengan pisang lain kerana walaupun sudah matang, warnanya masih hijau.

Akan tetapi jika kulitnya menjadi kekuningan, ia tidak sesuai lagi untuk digoreng kerana isinya sudah menjadi lembik. Buah pisang nangka yang sudah matang, biasanya dibuat pisang goreng. Rasanya agak manis sekalipun ada sedikit rasa masam seperti pisang tanduk.

Pisang nangka juga boleh dimasak menjadi pengat, kerepek pisang, sira, atau direbus, manakala yang terlalu matang boleh dilenyek dan dijadikan cekodok, lempeng atau kek pisang. Buah pisang nangka yang matang akan menghasilkan aroma yang harum.

Bagi masyarakat jawa, pisang nangka digunakan untuk membuat getuk pisang, iaitu sejenis kuih tradisional jawa yang sesuai dinikmati semasa sarapan dan minum petang.

#5. Pisang susu

Kredit gambar : shopee.co.id

Pisang susu merupakan pisang yang jarang-jarang kita lihat dan makan. Pokok pisang susu bersaiz sederhana besar seperti pisang emas atau pisang berangan.

Pokoknya yang agak rendah membolehkan buahnya dicapai dengan tangan. Saiz buahnya pula sederhana besar seperti buah pisang rastali akan tetapi ia mempunyai bentuk yang agak bulat apabila hampir matang.

Buah pisang susu mempunyai rasa lemak manis dan beraroma. Ia boleh dimakan begitu sahaja sebagai pencuci mulut.

Apabila matang warnanya menjadi kuning terang, ia senang dikupas dan isinya agak kekuningan. Akan tetapi buah ini tidak sesuai digoreng namun boleh dijadikan cekodok, lempeng atau kek pisang.

#6. Pisang raja

Kredit gambar : www.njajan.com

Saiz pokok pisang raja agak besar dan tinggi dan mengambil masa sehingga setahun setengah untuk menuai hasilnya.

Pisang raja dikatakan memiliki rasa yang paling enak dan sangat sesuai dijadikan pisang goreng berbanding buah pisang lain selain dijadikan makanan pencuci mulut, dibuat pengat pisang dan kek pisang.

Buah ini juga boleh dijadikan kerepek pisang. Buah pisang raja yang sudah matang bertukar menjadi kuning terang dan isinya kekuningan serta beraroma.

#7. Pisang toman

Kredit gambar : twitter @emramones

Pisang toman kebiasaannya mempunyai ukuran purata 20cm panjang. Ia lebih besar daripada buah pisang berangan.

Isi pisang toman agak gebu setelah digoreng dan rasanya sedikit kemasaman namun jika dibuat kerepek ia lebih rangup.

#8. Pisang Kelat Keling

Kredit gambar : ms.wikipedia.org

Pisang kelat keling atau turut dipanggil pisang rastali adalah sejenis pisang yang isinya berwarna putih. Nama saintifiknya pula adalah Musa acuminata x balbisiana Colla cv.’Bluggoe.

Rasanya kelat semasa muda dan akan bertukar menjadi lemak manis dan hitam apabila sudah masak.

Menurut sesetengah pendapat, sebenarnya pisang ini terdapat 3 jenis iaitu pisang kelat keling, pisang kelat air dan pisang kelat lega. Pisang jenis ini sangat sedap jika dibuat goreng pisang atau disira.

#9. Pisang Embun

Kredit gambar: madywholefoods.com

Pisang ini sangat besar dan sedap walaupun dimakan mentah tetapi sayangnya pisang ini cepat menjadi lembik dan tidak sedap.

Di Filipina, pisang ini lebih dikenali dengan nama Ambon, manakala di Indonesia pula ia digelar sebagai Pisang Ambon Putih.

Nama saintifiknya pula adalah Musa acuminata Colla cv. ‘Ambon Putih’.

Bentuk pisang ini adalah panjang dan pada awalnya ianya berwarna hijau sebelum berubah menjadi kuning pucat serta memiliki kulit yang tebal dan sangat mudah dikupas apabila telah masak.

Beratnya pula boleh menjangkau antara 15 hingga 35kg setandan.

#10. Pisang Nipah

Kredit gambar: shopee.co.id

Pisang jenis ini selalunya akan dibuat kerepek. Jantungnya juga sangat sesuai dijadikan sebagai ulam atau sayuran dan rasanya juga tidak pahit atau pun kelat.

Juga dikenali sebagai pisang Abu, pisang ini mempunyai bentuk segi empat dan biasanya tidak dimakan begitu sahaja. Nama saintifiknya adalah Musa acuminata balbisiana cultivars (BBBc).

#11. Pisang Raja Udang

Kredit gambar: www.butterkicap.com

Sebenarnya, ada pelbagai jenis masakan yang boleh dibuat dengan pisang raja udangni. Cumanya, jenis pisang yang ini mungkin kurang popular berbanding pisang-pisang yang lain.

Antaranya adalah cekodok, lempeng, kek pisang serta boleh juga dijadikan sebagai kerepek.

Namun begitu, pisang ini sangat jarang dijumpai dan terdapat pelbagai versi cerita yang menyatakan bahawa mereka yang mempunyai darah keturunan Melayu Rawa tidak boleh makan pisang jenis ini.

Namun pisang jenis ini tidak mendapat perhatian untuk dipasakan. Pokoknya tumbuh hanya sekitar 2.5 meter.

Sebenarnya, terdapat banyak lagi jenis pisang yang boleh didapati.

Setiap jenis pisang ini mempunyai keunikan, khasiat dan kegunaannya yang tersendiri. Oleh itu, jangan lupa mendapatkan pisang-pisang ini untuk merasai keenakannya yang tersendiri.


Dapatkan pelbagai tips pemakanan yang lain seperti di SINI.