Ibu, Bayi & Kanak Kanak

8 Jenis Ruam Bayi Yang Kerap Berlaku

Sumber: honestdocs.id

Ramai bayi yang akan mengalami ruam pada sesuatu ketika, mungkin dari mereka lahir atau beberapa minggu atau bulan kemudian.

Kebanyakan jenis ruam bayi boleh hilang tanpa rawatan, tetapi ada juga yang memerlukan rawatan intensif kerana ia mungkin disertai dengan demam dan kegatalan yang memudaratkan.

Terdapat banyak jenis ruam yang boleh mengjangkiti bayi dan di bahagian-bahagian badan yang berbeza.

Kadang-kala Mummy mesti tertanya-tanya, adakah ruam itu biasa berlaku atau perlukan rawatan yang spesifik, betul tak?

Risau saja bila nampak bintik-bintik merah pada bayi yang kecil kan? Menambahkan pengetahuan tentang jenis-jenis ruam bayi merupakan antara langkah pertama untuk mencegah dan merawatnya.

Apa kata kita tengok apakah jenis-jenis ruam bayi tersebut, bagaimanakah rupanya, dan apakah cara untuk merawat atau mengurangkannya.

Jenis Ruam Bayi

1. Ekzema

Ekzema sebenarnya salah satu jenis ruam bayi dan kanak-kanak yang sangat biasa.

Highlighted

Sumber: ohbulan.com

Sekiranya Mummy atau Daddy sendiri yang ada kulit sensitif dan sejarah ekzema dalam keluarga, bayi anda akan lebih cenderung untuk mendapat ekzema.

Ekzema boleh terjadi akibat alahan atau alergi terhadap sesetengah makanan, pencuci pakaian, jenis kain yang dipakai oleh bayi, dan juga habuk.

Jika ruam bayi adalah berkaitan dengan ekzema, Mummy dan Daddy disarankan untuk kerap membersihkan rumah dan bilik bayi, menentukan sama ada bayi mempunyai alergi dan menyingkirkan punca alergi tersebut, dan berbincang dengan pakar dermatologi pediatrik bayi anda untuk mendapatkan rawatan yang bersesuaian.

2. Jerawat Bayi

Ye betul tu Mummy, bayi pun boleh dapat jerawat!

Jerawat bayi boleh berlaku di dahi, pipi, atau hidung bayi disebabkan hormon-hormon tertentu.

Sumber: momlovesbest.com

Sesetengah jerawat bayi mempunyai titik putih ditengah-tengahnya sama seperti jerawat orang dewasa.

Akan tetapi, Mummy tak perlu terlalu bimbang dengan jenis ruam ini kerana ia biasa berlaku pada bulan pertama kehidupan bayi dan akan hilang dengan sendirinya.

Apa yang Mummy boleh lakukan ialah dengan memastikan si manja minum susu dengan mencukupi.

3. Kerak Kepala Bayi (Cradle Cap)

Kerak di kepala bayi, atau lebih dikenali sebagai cradle cap biasanya berlaku pada bayi yang baru lahir.

Rupanya seakan-akan berkerak dan berbentuk sisik berminyak, kuning, atau coklat di atas kepala bayi.

Dalam beberapa kes, kerak kepala boleh bergerak ke muka dan leher bayi.

Cradle cap biasanya berlaku kerana kepala bayi mempunyai tahap sebum yang tinggi di kawasan terjejas.

Sumber: Ian Boddy of Photo Researchers, Inc

Sebum adalah bahan berminyak yang terdiri daripada serpihan lemak dan keratin.

Cradle cap biasanya akan hilang dengan sendiri dalam beberapa minggu ke beberapa bulan bergantung kepada tahap keterukannya.

Untuk mempercepatkan proses menghilangkannya, Mummy boleh menyapu minyak zaitun di kawasan terjejas setiap hari sebelum mandikan bayi untuk melembutkan kerak tersebut, dan gosok perlahan-lahan dengan berus rambut bayi yang lembut yang selalunya diperbuat daripada bulu yang halus.

4. Ruam Panas

Ruam panas biasanya dijumpai di anggota badan yang ditutupi pakaian seperti leher, ketiak, dan celah-celah tangan dan kaki. Ia sering terjadi disebabkan oleh cuaca yang terlalu panas.

Di Malaysia, ruam panas merupakan antara jenis ruam bayi yang common kerana negara kita bercuaca panas dan lembap sepanjang tahun!

Sumber: ISM / Phototake (webmd.com)

Ruam panas memang senang terjadi bila bayi dan kanak-kanak kecil berpeluh. Ia selalunya berbentuk bintik merah kecil pada kulit yang boleh menjadi sangat tidak selesa dan gatal-gatal.

Keadaan bayi yang berpeluh pun menyumbang kepada ketidakselesaan itu. Ruam panas biasanya akan berkurang sendiri dan hilang dalam beberapa hari, melainkan bayi selalu didedahkan di kawasan panas.

Jadi Mummy digalakkan untuk mengelakkan bayi daripada berada di kawasan yang panas dan pastikan kulit bayi sentiasa kering dari kelembapan peluh.

5. Ruam Lampin

Satu ruam yang hampir semua ibu bapa, terutamanya ibu bapa yang baru sahaja menyambut kelahiran cahaya mata pertama, adalah ruam lampin.

Tahap keteruka ruam tersebut bergantung kepada punca kenaikan ruam, seperti membiarkan lampin yang penuh dengan air kencing atau najis terlalu lama yang boleh membuatkan ia menjangkiti seluruh bahagian pangkal peha bayi.

Sumber: momlovesbest.com

Saiz lampin yang tidak sesuai juga boleh membuatkan ruam naik di bahagian yang lampinnya sempit.

Jenis lampin juga boleh memberi kesan ruam bagi bayi yang sensitif terhadap jenis atau bahan kimia yang terdapat pada lampin tersebut.

Jadi Mummy sendiri yang boleh periksa apakah punca ruam lampin pada bayi Mummy sendiri. Pastikan juga anda kerap menukar lampin bayi, terutamanya bayi yang baru lahir kerana mereka akan kerap membuang air.

Selain itu, pastikan juga bahagian bawah bayi kering sepenuhnya selepas dibersihkan, dan Mummy boleh menggunakan salap atau balm untuk melegakan ruam ataupun krim yang sesuai untuk mengelakkan ruam lampin.

6. Milia

Sumber: madeformums.com

Milia adalah ruam yang biasa terjadi kepada bayi yang baru lahir. Ia kelihatan seperti bintik-bintik putih kecil yang biasanya terbentuk di sekitar hidung bayi.

Milia berlaku hasil daripada pori-pori bayi yang tersumbat oleh sel-sel kulit mati. Bintik-bintik putih tersebut akan muncul pada muka bayi, dan kadang-kadang boleh turun ke bahagian atas badan atau anggota bayi.

Ada juga yang muncul dalam bahagian mulut bayi seperti di gusi dan lelangit, tapi milia selalunya tidak mengakibatkan kegatalan dan tidak menyakitkan.

Bintik-bintik putih tersebut selalunya akan hilang dalam masa sebulan selepas kelahiran.

7. Ruam Cacar Air (Chickenpox)

Ruam cacar air, atau lebih dikenali dengan chickenpox, adalah ruam akibat jangkitan virus varicella-zoster (VZV).

Sumber: sciencephoto.com

Bayi anda mungkin menunjukkan gejala seperti selesema dan demam sebelum timbulnya ruam yang muncul sebagai bintik-bintik merah yang gatal di seluruh tubuh badan.

Bayi mungkin mudah dijangkiti chickenpox kerana tidak boleh mendapat vaksin atau imunisasi sebelum berumur satu tahun, akan tetapi, sejak pengenalan vaksin varicella, ruam cacar air atau chickenpox ini telah menurun sebanyak 90% sejak tahun 1995.

Sebelum mendapatkan vaksin, Mummy harus memastikan si manja anda tidak mempunyai interaksi dengan siapa-siapa yang sedang dijangkiti chickenpox.

8. Ruam Campak

Juga dikenali sebagai demam campak atau measles, ruam campak adalah jangkitan virus lain yang menyerupai ruam cacar air tetapi ramai yang selalu terkeliru dengan istilah dan dua jenis ruam ini.

Ruam campak bermula sebagai lebam merah kecil dengan titik-titik putih di dalam pipi, diikuti oleh demam.

Jenis ruam bayi ini akan cepat timbul dan merebak ke seluruh tubuh badan. Ia akan kelihatan seperti tompok-tompok merah pada mulanya, kemudian menjadi benjolan yang gatal.

Sama seperti chickenpox, demam campak adalah berjangkit, terutama sekali bagi kanak-kanak yang tidak divaksinasi.

Vaksin untuk ruam campak selalunya diberikan ketika bayi berumur 12-15 bulan.

Memang amat membimbangkan apabila bayi anda mengalami ruam, terutamanya bila mereka kelihatan sakit, gatal, dan tidak selesa.

Kadang-kala, agak sukar juga untuk menentukan punca terjadinya ruam pada bayi.

Nasib baik kebanyakan ruam adalah tidak serius dan senang dirawati di rumah atau akan hilang dengan sendiri.

Banyak juga yang senang dicegah, asalkan Mummy dapat tahu pencetus ruam tersebut dari pengalaman sebelumnya.

Jika Mummy masih bimbang dengan jenis ruam bayi yang timbul, atau ruam tersebut disertai dengan demam, lebih elok jika Mummy membawa bayi ke pakar pediatrik untuk rawatan segera.