Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Jenis Talak Yang Perlu Anda Ketahui Sebagai Suami Isteri

jenis talak

Kredit gambar : news.detik.com

Dalam Islam terdapat beberapa pembahagian jenis talak menurut hukum syarak apabila berlakunya perceraian yang perlu diketahui oleh suami dan isteri. Lafaz talak juga turut terbahagi kepada dua lafaz soreh dan lafaz kinayah. Bagi memahaminya dengan jelas, ikuti perkongsian ini dengan lebih lanjut.

Panduan Mengenai Pengertian Talak, Hukum Talak, Jenis Talak Serta Jumlah Talak

Highlighted

Kredit gambar : www.kashoorga.com

Talak berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud melepaskan atau membuka ikatan. Manakala dari segi syarak pula, ianya bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan perkataan yang jelas atau kinayah (sindiran).

Hukum Talak Dalam Islam

Berikut merupakan hukum talak iaitu :

#1. Wajib

  • Suami isteri tidak boleh berbaik lagi.
  • Tiada kata sepakat dari wakil kedua-dua pihak untuk berdamai tanpa ada penceraian.
  • Hakim dan pihak pengadilan memberi keputusan muktamad dengan memilih penceraian adalah jalan terbaik.
  • Dalam mana-mana keadaan berikut, jika tidak berlaku penceraian suami akan berdosa.

#2. Haram

  • Suami menceraikan isterinya dalam keadaan si isteri masih berada dalam haid atau nifas.
  • Menceraikan isteri ketika isteri sedang dalam keadaan suci yang telah disetubuhi.
  • Suami yang sakit menceraikan isterinya agar si isteri tidak menuntut harta.
  • Menceraikan isteri dengan talak tiga sekaligus atau mengucapkan talak satu secara berulang kali sehingga mencapai tiga kali atau lebih.

#3. Sunnah

  • Suami tidak lagi mampu memberi nafkah.
  • Si isteri tidak menjaga maruah diri dan kehormatan.

#4. Makruh

Suami menjatuhkan talak kepada isteri yang taat, berakhlak mulia dan berpengetahuan agama yang tinggi.

#5, Mubah

Si suami memiliki nafsu yang lemah dan ia juga boleh terjadi disebabkan oleh isteri belum datang haid atau telah menopaus.

Jenis-jenis Talak

Terdapat dua bahagian talak iaitu talak Ba’in dan talak Raj’i’

  • Talak raj’i

Seorang suami yang menceraikan isterinya dan masih boleh merujuk kembali tanpa akad nikah atau pernikahan dengan syarat isterinya itu masih berada dalam tempoh iddah.

  • Talak ba’in pula dibahagikan kepada dua iaitu

#1. Talak ba’in sughra iaitu talak yang jatuh serta merta pada masa lafaz talak dilafazkan dan kesemua hak-hak isteri terputus apabila dijatuhkan talak.

#2. Talak ba’in kubra pula adalah talak tiga yang dilafazkan suami di mana hubungan suami isteri terus terputus setelah talak dijatuhkan. Suami tidak dibenarkan rujuk dengan isterinya melainkan bekas isterinya itu berkahwin dengan lelaki lain, melakukan persetubuhan dengan suami baru dan menceraikannya. Barulah suami pertama dapat berkahwin semula dengan bekas isteri setelah tamat tempoh iddah.

Pengesahan Lafaz Talak

Talak yang dilafazkan oleh suami di luar Mahkamah Tanpa Kebenaran Mahkamah sama ada dengan lafaz soreh atau lafaz kinayah perlu dilaporkan kepada Mahkamah dalam masa tujuh (7) hari, Mahkamah akan menyiasat  dan memastikan sama ada lafaz tersebut sabit talak atau tidak mengikut hukum syarak.

Jumlah-jumlah Talak Yang Dilafazkan

Kredit gambar : blog.justika.com
  • Talak 1

Talak yang dilafazkan buat pertama kali dengan ucapan satu talak sahaja.

  • Talak 2

Talak yang dijatuhkan buat kali yang kedua. Talak juga boleh terjadi apabila suami melafazkan cerai dengan ucapan talak dua sekaligus seperti “Aku ceraikan kamu dengan talak dua!”.

  • Talak 3

Merupakan talak yang terakhir. Talak tiga boleh terjadi jika suami melafazkan cerai untuk kali yang ketiga atau suami melafazkan ucapan dengan talak tiga sekaligus contohnya seperti “Aku ceraikan kamu bermula pada saat ini dengan talak tiga!”.

Lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu :

#1. Lafaz soreh (jelas)

Talak ini tidak memerlukan kepada niat si suami. Talak akan terus jatuh jika suami melafazkan perkataan yang jelas iaitu cerai, pisah dan lepas.

Contoh lafaz :

  • Aku menceraikanmu
  • Engkau aku ceraikan
  • Engkau ku talak satu dan lain-lain ucapan yang jelas

#2. Lafaz Kinayah (samar-samar)

Ianya bergantung kepada niat si suami. Menurut Ibnu al-Qasim al-Ghazzi iaitu :

“Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh”.

Syarh Ibnu al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja (2/264)

Contoh lafaz :

  • “Pulanglah engkau pada orang tuami kerana aku tidak lagi menginginkanmu”.
  • “Pergi saja engkau dari sini kemanapun engkau suka”.
  • “Tidak ada hubungan apa pun lagi di antara kita” dan lain-lain ucapan.

Jenis Talak Yang Perlu Diketahui

Kredit gambar : www.islampos.com

#1. Perceraian secara talak

Talak berlaku apabila kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik atau suami telah pun membuat keputusan untuk menceraikan isterinya dengan lafaz talak.

#2. Perceraian secara khulu’

Kaedah alternatif yang diperuntukkan di dalam Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia iaitu perceraian yang terjadi apabila si isteri menawarkan kepada suami wang atau harta sebagai pampasan untuk bercerai.

#3. Perceraian secara ta’liq

Lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami semasa akad nikah dan ianya terjadi apabila suami melanggar ta’liq yang dibuatnya.

#4. Perceraian secara fasakh

Fasakh adalah pembubaran perkahwinan melalui kuasa yang diberikan kepada Hakim (judicial decree). Kalau diikutkan, fasakh terpakai untuk suami dan isteri tetapi hak fasakh lebih diberikan kepada si isteri oleh sebab suami sudah mempunyai hak dalam melafazkan talak. Di antara perkara yang diharuskan fasakh adalah :

  • Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih daripada satu tahun.
  • Tidak megadakan peruntukan nafkah isteri selama tempoh 3 bulan.
  • Telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.
  • Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama setahun.
  • Telah mati pucuk.
  • Telah gila selama tempoh dua tahun.
  • Sedang menghidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit.
  • Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isterinya menderita.
  • Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat.
  • Memaksa isteri hidup secara lucah.
  • Melupuskan harta isteri.
  • Menghalang isteri melakukan kewajipan agama.
  • Tidak berlaku adil kepada isteri-isterinya mengikut hukum syarak.

#5. Perceraian secara li’an

Ianya terjadi apabila suami menafikan zuriat yang dilahirkan oleh isteri atau si isteri sedang mengandungkan anak orang lain.

Bahasa mudahnya, suami menuduh isteri berzina dengan lelaki lain tidak tidak dapat memberikan bukti dengan empat orang saksi.

Mengikut hukum syarak di hadapan Hakim Syarie, mereka akan difaraqkan dan mereka tidak boleh rujuk atau berkahwin semula.

#6. Anggapan mati

Anggapan mati ialah apabila suami seorang perempuan telah mati atau dipercayai telah mati atau telah tidak didapati apa-apa perkhabaran mengenainya selama tempoh 4 tahun atau lebih.

Apabila keadaan itu berterusan dan perempuan itu hendak berkahwin lain hendaklah terlebih dahulu mendapat pengisytiharan anggapan mati daripada Mahkamah.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat!


Dapatkan lebih banyak koleksi doa untuk kesihatan di SINI.