Sebagai umat Islam, kita wajib mengeluarkan zakat jika berkemampuan dan terdapat jenis jenis zakat yang perlu diketahui sebelum anda membayar zakat yang berkaitan.
Apatah lagi, tak lama lagi kita bakal menyambut Aidilfitri, terdapat zakat yang wajib kita keluarkan iaitu zakat jenis fidyah.
Malah perihal berkaitan zakat terkandung di dalam rukun Islam iaitu rukun Islam yang keempat, membayar zakat. Zakat dari segi bahasa bermaksud suci, bersih, subur dan berkembang.
Manakala dari segi syaraknya pula bermaksud mengeluarkan sebahagian daripada harta yang tertentu kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syaratnya.
Di bawah ini, kami kongsikan dengan lebih lanjut berkaitan zakat dan jenis zakat. Jom lihat!
Hukum, Syarat dan Jenis Zakat
Hukum membayar zakat adalah fardhu ain kepada orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajibnya. Terdapat beberapa dalil di dalam Al-Quran yang memperihalkan berkaitan zakat.
Salah satunya adalah dari Surah An-Nur, ayat 56 yang bermaksud:
“Laksanakanlah solat, tunaikanlah zakat, dan taatlah kepada rasul (Muhammad), agar kamu diberi rahmat.”
Terdapat enam syarat wajib membayar zakat iaitu:
- Islam
Hanya dikenakan kepada individu yang beragama Islam sahaja.
- Merdeka
Bermaksud bebas atau bukan tergolong dalam golongan hamba.
- Sempurna milik
Harta yang ingin dizakatkan haruslah milik penuh individu Islam dan merdeka.
- Cukup nisab
Harta yang dimiliki hendaklah mencukupi nisab iaitu paras minima yang mentukan samada wajib atau tidak harta itu dizakatkan.
- Sempurna haul
Bermaksud genap setahun iaitu 354 hari untuk tahun Hijrah manakala 365 hari mengikut kalendar masihi.
- Berkembang
Bermaksud harta yang akan dizakatkan itu mestilah harta yang berkembang atau berpotensi untuk berkembang. Dengan kata lain harta tersebut memberikan pulangan dan pendapatan kepada pemiliknya.
Jenis Zakat Utama
Terdapat 2 jenis zakat utama iaitu zakat fitrah dan jenis zakat harta.
Perbezaan antara dua zakat ini adalah jenis zakat harta hanya dikenakan kepada individu yang memiliki harta manakala zakat fitrah pula merupakan zakat diri yang telah difardhukan kepada orang Islam, lelaki dan perempuan, yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Zakat fitrah pada istilahnya merupakan sedekah yang wajib dikeluarkan selepas berbuka untuk beraya dan setelah selesainya menunaikan puasa di bulan Ramadan.
Untuk makluman anda juga, perintah menunaikan zakat Fitrah adalah bermula pada tahun kedua Hijrah iaitu bermula pada tahun diwajibkan umat Islam untuk puasa pada bulan Ramadan yang mana tujuannya adalah untuk mensucikan seluruh orang Islam yang berpuasa dari kata-kata serta segala sesuatu perbuatan yang tidak mendatangkan manfaat atau berguna.
Maksud lain bagi zakat Fitrah juga adalah untuk memberi makanan kepada orang-orang miskin dan mencukupkan segala keperluan dan permintaan mereka pada hari raya Aidilfitri.
Fatwa Mengenai Zakat Fitrah
Pembayaran zakat fitrah dilakukan pada bulan Ramadhan sehingga pagi 1 Syawal sebelum perlaksanaan solat sunat Aidilfitri.
Merujuk kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-60 yang telah pun bersidang pada 23 Oktober 2003 membincangkan tentang Zakat Fitrah ini. Muzakarah telah pun memutuskan bahawa hukum zakat fitrah adalah wajib sekiranya cukup syarat wajib zakat fitrah iaitu:
- Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
- Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenamnya matahari.
- Memeluk Islam sebelum terbenamnya matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
- Seseorang yang telah meninggal selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.
Malah melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-57 yang bertarikh 10 Jun 2003 melalui rujukan yang dibuat di portal rasmi Pusat Pungutan Zakat MAIWP untuk kadar bayaran fidyah pula adalah seperti berikut:
- Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat oleh BERNAS bagi setiap beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan RM2.60 kg.
- Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan RM2.70 kg.
Jawatankuasa Syariah atau Fatwa Negeri pula akan memutuskan nilai harga beras semasa mengikut daerah atau jenis dan gred beras yang dimakan oleh penduduk setelah tibanya Ramadhan dengan mengambil kira nilaian sebanyak segantang beras iaitu hampir kepada RM2.60 kg.
Jenis Jenis Zakat Lain Dalam Islam
Terdapat beberapa jenis zakat harta yang anda perlu tahu. Antara zakat tersebut adalah:
#1. Zakat Pendapatan
Zakat pendapatan diwajibkan ke atas harta yang diperolehi dari hasil usaha.
Contohnya dari gaji bulanan, upah, elaun, bonus, emolumen dan lain-lain. Pengiraannya boleh dilakukan melalui kaedah pendapatan penuh atau penolakan perbelanjaan-perbelanjaan asas.
#2. Zakat Perniagaan
Zakat perniagaan wajib dikeluarkan dari hasil yang diperolehi melalui perniagaan samada perniagaan yang melibatkan barangan atau perkhidmatan.
#3. Jenis Zakat Wang Simpanan
Zakat yang dikenakan ke atas wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, lain-lain bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan sekiranya memenuhi syaratnya.
#4. Zakat Saham/Pelaburan
Pendapat para ulama, saham juga diwajibkan untuk dizakatkan. Hal ini kerana, nilai dan kekayaan seseorang individu boleh diperolehi melalui aktiviti jual beli atau pemilikan saham.
#5. Jenis Zakat KWSP
Zakat dikenakan kepada KWSP kerana konsepnya yang sama seperti wang simpanan. Ingat ya Mommy, jika Mommy keluarkan simpanan KWSP wajib dizakatkan tau.
#6. Zakat Emas
Zakat emas dikenakan kerana emas adalah simbol kekayaan harta dan mampu berkembang.
Disebabkan oleh nilainya yang tinggi dan berharga maka zakat dikenakan ke atasnya tidak kiralah samada hanya dijadikan barang perhiasan, simpanan atau pelaburan.
#7. Jenis Zakat Perak
Logam perak adalah logam yang berharga dan berguna. Dahulu, perak digunakan sebagai alat tukaran wang dalam urusan jual beli. Walaupun perak pada masa kini telah berubah, namun fizikalnya yang masih lagi dianggap sebagai alat simpanan dan simbol kekayaan seseorang
menyebabkannya dikenakan zakat ke atasnya.
#8. Zakat Pertanian
Tanah dianggap sebagai harta yang mempunyai potensi untuk berkembang dan memberikan pulangan kepada pemiliknya. Oleh itu, pemiliknya harus mengeluarkan zakat yang dikenakan ke atas hasil tanam-tanaman mereka.
#9. Jenis Zakat Ternakan
Binatang ternakan diternak seperti lembu, kambing, kerbau dan unta untuk mendapatkan hasil samada dijual hidup, daging atau susunya. Oleh itu, zakat diwajibkan kepada pemilik yang cukup syarat dan mempunyai binatang ternakan.
#10. Zakat Takaful
Produk takaful dianggap sebagai salah satu bentuk simpanan atau pelaburan yang mempunyai unsur zakawi dan memenuhi syarat-syaratnya. Secara ringkas, zakat takaful dikenakan kepada nilai simpanan/pelaburan yang boleh dikeluarkan, pulangan tunai selepas polisi matang, pampasan takaful (selepas ditolak hutang) dan pulangan tunai dari dana/tabung tabarru’(jika ada).
#11. Qada Zakat
Merujuk kepada portal rasmi Lembaga Zakat Selangor, Qada zakat adalah melaksanakan zakat yang wajib ditunaikan pada masa lalu, namun gagal ditunaikan oleh kerana lupa, sengaja atau meninggalkanya dengan apa-apa alasan sehingga berlalu haulnya (setahun), maka ia wajib ditunaikan dengan kadar segera.
Zakat bukanlah satu bentuk penindasan tetapi lebih kepada konsep perkongsian bersama. Dalam setiap harta dan rezeki yang kita perolehi ada hak orang lain ke atas harta tersebut. Ianya bukan sahaja mendatangkan pahala kepada pembayar zakat tetapi juga kepada penerimanya.
Oleh itu, tunaikanlah tanggungjawab anda sebagai umat Islam dalam menunaikan zakat yang wajib dibayar.
Rujuk panduan solat, zikir, doa dan ibadah-ibadah lain DI SINI.