Wabak COVID-19 ini membuatkan kita lebih berjaga-jaga dan banyak menghabiskan masa di rumah. Ini adalah satu keadaan normal baharu yang sedang diamalkan oleh rakyat Malaysia.
Dengan lebih banyak masa di rumah, saya mencuba beberapa aktiviti baharu dan salah satunya adalah berkebun.
Sejak mula berkebun, saya rasakan ia bukan sahaja menjadi satu terapi, tetapi ia juga sangat berfaedah terutamanya apabila saya dapat menuai hasil tanaman saya.
Salah satu tanaman berharga yang tumbuh mekar di kebun saya adalah pokok lidah buaya atau juga dikenali sebagai Aloe Vera.
Yang bestnya dengan pokok lidah buaya ini, ia baik untuk kulit dan juga apabila dijadikan sebagai minuman, ianya sangat menyegarkan dan mengandungi pelbagai khasiat kepada kesihatan.
Aloe vera merupakan tanaman sukulen seperti kaktus dan sangat mudah dijaga. Ia tidak memerlukan penjagaan yang rapi dan senang tumbuh walaupun di bawah cahaya matahari langsung – sesuai dengan keadaan iklim negara kita.
Gel aloe vera sebenarnya merupakan antara bahan yang sering digunakan dalam produk-produk penjagaan kulit dan juga penjagaan oral.
Aloe vera memberi pelbagai khasiat kepada kesihatan kita. Ia kaya dengan vitamin, mineral dan antioksidan.
Dengan pengambilan yang kerap, ramuan minuman kecantikan dan kesihatan ini boleh mengembalikan kesegaran terutamanya pada hari yang panas terik.
Manfaat Jus Aloe Vera Pada Kesihatan
Meningkatkan sistem imunisasi badan
Aloe vera mengandungi nutrien mikro yang membantu melawan radikal bebas dan meningkatkan imuniti badan yang sangat diperlukan dalam keadaan sekarang.
Baik untuk sistem pencernaan dan mengurangkan toksin
Jus aloe vera membantu mengekalkan bakteria ‘baik’ di dalam usus kita untuk memperbaiki sistem pencernaan dan mengelakkan rasa kembung perut.
Kandungan serat yang tinggi dalam gel aloe vera juga membantu meningkatkan kandungan air di dalam usus, menjadikan lebih mudah untuk membuang toksin yang ada di dalam badan kita.
Dengan meminum jus lidah buaya pada waktu pagi membantu membersihkan sistem pencernaan kita.
Kaya dengan vitamin dan mineral
Aloe vera juga kaya dengan vitamin, mineral dan antioksidan yang penting untuk tubun badan kita. Walaupun aloe vera tidak mengandungi Vitamin D, kita masih boleh mendapatkannya melalui cahaya matahari pada waktu pagi.
Anti-radang
Gel aloe vera juga sangat baik untuk melegakan dan juga menenangkan kulit yang terkena sinaran matahari atau ‘sunburn’.
Sistem imuniti yang sentiasa dijaga dengan baik dapat menjamin kesihatan yang berpanjangan dan juga di masa hadapan.
Untuk kebaikan bersama, jom saya kongsikan resepi minuman aloe vera atau jus lidah buaya yang penuh dengan manfaat kepada kesihatan kita ini.
Jus Aloe Vera
Ingredients
- Daun lidah buaya
- Daun pandan
- Madu
- Air
Instructions
- Basuh lendir yang berwarna kuning dan buangkan durinya.
- Tanggalkan kulit daun aloe vera dan potong sisa-sisa yang kelihatan.
- Dengan menggunakan sudu, keluarkan gel aloe vera.
- Potong gel menjadi kiub kecil.
- Kemudian, rendam gel di dalam semangkuk air & basuh sehingga bersih.
- Didihkan air dan masukkan daun pandan, sedikit madu dan juga gel aloe vera yang telah dibersihkan.
- Biarkan bahan-bahan tersebut mendidih selama 10 minit.
- Keluarkan daun pandan, tutup api dan biarkan rebusan sejuk ke tahap suhu bilik.
- Kemudian, tuangkan air rebusan bersama gel aloe vera ke dalam botol dan simpan di dalam peti sejuk.
Kini Mommy boleh hidangkan jus aloe vera ini untuk seisi keluarga dan nikmati kesegarannya!
Tips Hidangan: Tuangkan sebanyak mana yang anda inginkan ke dalam gelas dan tambah sedikit perahan lemon untuk mulakan hari anda dengan ramuan kecantikan yang sangat menyegarkan ini!
Artikel ini telah diolah daripada versi Bahasa Inggeris di Motherhood Story.