Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Idea Untuk DIY Kad Hari Ibu – Buat Sendiri Je!

kad hari ibu

Kredit gambar: istockphoto

Nanti dah tiba hari ibu, mestilah nak beli hadiah dan bagi kad pada ibu tercinta. Terutamanya buat mereka yang jauh, sekurang-kurangnya bolehlah sampaikan ingatan melalui kad untuk ibu kan?

Apa kata, untuk hari ibu tahun ini, hantar kad hari ibu yang buat sendiri je?

10 Idea Untuk DIY Kad Hari Ibu

Seperti enaknya rasa masakan kerana air tangan sendiri, kad yang dibuat khas untuk ibu pasti akan disukainya!

Jom, kita cuba buat kad hari ibu dengan beberapa cara ini:

1. Kad hari ibu 3D

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

Apa-apa idea 3D memang menarik kan? Yelah.. ia memberi ilusi gambar yang timbul. Nampak real lah! Kalau nak buat kad ucapan hari ibu yang 3D, antara bahan-bahan yang boleh anda gunakan ialah:

  • Tali
  • Kertas tebal
  • Reben
  • Manik
  • Bunga hiasan

Banyak je bahan-bahan yang macam ni anda boleh buat dan dapatkan di kedai gubahan. Nanti dah pilih tema untuk kad hari ibu, bolehlah pilih bahan-bahan yang sesuai.

Guna bahan-bahan yang ada kat rumah pun cukup dah! Kalau nak lekatkan tu, kalau tak ada hot glue gun, boleh je guna gam gajah atau double-tape.

2. Kad hari ibu bergambar

Kalau ibu anda suka bunga-bungaan atau pemandangan yang indah ke, bolehlah buat kad hari ibu bergambar. Tak susah pun tau. Cari je mana-mana gambar yang berkaitan di majalah lama ke, di internet ke, potong-potong dan tampal.

Buat macam collage gitu disertakan dengan tulisan ucapan. Mesti cantik!

Kalau nak tambah gambar anda dan ibu berdua pun sesuai. Atas kreativiti sendiri lah ya?

3. Kad hari ibu minimalis

Tak semua orang suka hiasan dan kad yang sarat dengan gubahan kan? Kalau ibu anda jenis orang yang simple dan sukakan kesederhanaan, bolehlah buat kad hari ibu minimalis.

Kad macam ni, nampak lebih eksklusif dan elegan. Hanya perlu memilih warna dan jenis tulisan yang sesuai je, dah cukup menarik dah.

4. Kad hari ibu pop-up

Kredit gambar: youtube.com/watch?v=g7Fc15Ykqu0

Dulu-dulu kalau dapat kad hari raya yang pop-up macam ni, memang hebat sangat kan? Suka betul, rasa istimewa je.

Nampak macam susah, tapi sebenarnya kaedahnya hanya perlu lipat-lipat dengan cara tertentu, dah boleh buat kad macam ni.

Banyak je tutorial nya di internet. Bolehlah sambil-sambil belajar, sambil mengasah kreativiti.

5. Kad hari ibu yang pelbagai

Biasanya, untuk buat kad yang pelbagai macam ni, kita perlukan kertas yang tebal macam manila card yang di cantum dua.

Di atas manila card inilah, kita akan tampalkan beberapa kad ucapan kecil dengan corak kertas dan ucapan hari ibu yang berbeza.

Ada yang buat terbuka, ada juga yang dilipat dua dan bahagian atasnya akan menutupi ucapan itu. Bila dibuka, satu kertas mengucapkan I Love You, satu kertas mengucapkan I Miss You dan satu lagi, I Need You, sebagai contohnya.

Mesti teruja ibu yang tercinta membeleknya!

6. Kad hari ibu kreatif

Kredit gambar: shutterstock.com

Yang ini, sarat dengan gubahan dan hiasan yang bertema. Sebagai contoh, ibu anda amat sukakan kucing. Jadi anda ingin buat kad hari ibu bertemakan haiwan berbulu ini.

Bolehlah dapatkan bulu sintetik ke, buat tapak kaki kucing 3D dengan kertas tebal ke, gantungkan loceng di satu sudut kad ke, lebih kurang macam tu lah.

Yang penting, pilih tema dulu dan rangka idea anda.

7. Kad hari ibu berpoket

Kalau anda mempunyai banyak ucapan ke, atau nak selitkan gambar sekali, bolehlah buat kad hari ibu berpoket.

Tak susah pun tau. Hanya perlu buat sekeping poket kad yang bersaiz lebih besar daripada kad ucapan kecil dan gambar anda, dan masukkan kesemuanya ke dalamnya.

Macam sampul, tapi berbeza. Poket kadnya ni mesti daripada bahan yang kukuh ya supaya tidak terkopek bila banyak kad ucapan kecil dimasukkan nanti.

8. Kad hari ibu dengan lukisan

Kredit gambar: istockphoto

Kalau tangan anda berseni, apa kata anda hias kad hari ibu dengan lukisan di setiap mukanya? Dari tulisan, gambar latar dan warnanya, bolehlah guna cat air, crayon, marker pen, pensil warna dan bahan-bahan lain yang sesuai.

Bila ibu tengok hasil tangan anaknya, pasti tersentuh dan suka hatinya!

9. Kad hari ibu berjahit

Anda pandai menjahit dan sulam manik? Mesti menarik kalau buat kad hari ibu dengan jahitan kan? Nak guna mesin menjahit pun boleh. Jahit di atas kain yang tebal dan dilapik, mesti unik.

Kalau pandai sulam manik pula, boleh sulamkan tulisan “Selamat Hari Ibu” dengan manik. Memang gempak habis ni!

10. Kad hari ibu bercetak

Kalau ada printer, tak salah pun pilih mana-mana design kad ucapan hari ibu yang menarik di internet. Nanti cetakkan je di atas kertas a4, lepas tu masukkan je dalam sampul. Senang dan mudah kan?

Kredit gambar: istockphoto

Idea Untuk DIY Kad Hari Ibu

Tak susah pun, luangkanlah masa sekejap untuk buat kad hari ibu ni. Pasti ibu anda akan menghargai usaha anda berbanding dengan menerima kad hari ibu yang dibeli di pasaran.

Selamat mencuba dan semoga berjaya!