Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Mudah Je – Mohon Secara Online Jika Kad Pengenalan Hilang

kad pengenalan online panduan step by step

Apa yang perlu anda lakukan jika kad pengenalan hilang? Kad pengenalan merupakan dokumen penting yang mengesahkan kewarganegaraan anda dan ia perlu dibawa ke mana-mana sahaja anda pergi.

Kehilangannya boleh mendatangkan risiko yang tinggi seperti disalahguna oleh pihak lain untuk tujuan-tujuan tertentu. Malah, segala urusan rasmi juga tidak dapat dilakukan.

Mengikut Peraturan 13, Peraturan-praturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), sesiapa yang kad pengenalan hilang, perlulah segera memohon kad pengenalan gantian. Di bawah ini, kami sertakan panduan lengkap bagaimana cara untuk anda membuat permohonan gantian kad pengenalan yang baharu.

Cara Permohonan Kad Pengenalan Hilang

Syarat-syarat Permohonan 

  • Pemohon mestilah hadir di mana-mana kaunter JPN atau boleh juga
  • Memohon gantian kad pengenalan hilang secara atas talian di laman web rasmi iaitu www.jpn.gov.my melalui aplikasi “Sistem Gantian MyKad”.

Permohonan atas talian ini boleh dilakukan jika tidak ada apa-apa pertukaran gambar atau maklumat pemohon yang bertaraf warganegara.

Prosedur Permohonan

Bagi anda yang ingin mengganti kad pengenalan yang telah hilang, terdapat beberapa prosedur yang perlu dipatuhi iaitu:

  • Hadir ke pejabat JPN yang berhampiran.
  • Membuat laporan polis (bagi kehilangan kali pertama dan seterusnya) atau akibat kecuaian (wajib bagi kes kehilangan kali kedua dan seterusnya) dan perlu mengemukakannya ketika membuat permohonan.
  • Dalam laporan polis tersebut anda perlu jelaskan secara terperinci butir-butir kejadian serta menyebut butir-butir Kad Pengenalan yang telah hilang.

Permohonan Gantian Secara Atas Talian

Highlighted

Kredit gambar : www.permohonan.my

Bagi permohonan secara online pula, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menawarkan perkhidmatan tersebut melalui pautan https://gantianmykad.jpn.gov.my/  dan terdapat empat jenis permohonan penggantian iaitu:

  • Gantian Kerosakan Fizikal Kad
  • Gantian Kerosakan Cip
  • Gantian Biasa
  • Gantian Hilang Kali Pertama (kecuaian)

Apa yang perlu anda lakukan adalah seperti berikut:

  1. Daftar masuk ke dalam sistem terlebih dahulu.
  2. Klik pautan “Daftar akaun sekarang” seperti yang tertera.
  3. Isi segala maklumat yang diperlukan dengan lengkap dan tepat.
  4. Anda akan menerima maklumat pendaftaran yang akan dihantar ke e-mel yang telah anda daftarkan.
  5. Anda perlu klik pada pengesahan pendaftaran yang telah diterima, halaman utama web akan mula dipaparkan. Di laman ini, anda perlu mencipta kata laluan dan teks pengesahan (CAPTCHA) untuk mengaktifkan akaun pengguna.
  6. Kemudian, anda akan menerima notifikasi pengaktifan kata laluan berjaya, klik untuk log masuk buat kali yang pertama.
  7. Bagi pengguna baharu, anda perlu memasukkan no MyKad atau emel serta kata laluan yang telah didaftarkan.
  8. Setelah berjaya log masuk, anda akan dipaparkan rekod permohonan Mykad yang telah dipohon secara atas talian.
  9. Untuk permohonan gantian, klik pada “Permohonan” di menu utama atau pada pautan “Mohon di sini”.
  10. Setelah anda mengklik butang tersebut, paparan laman Akuan Penafian akan muncul. Klik pada butang “setuju” untuk teruskan permohonan.
  11. Masukkan segala butiran maklumat permohonan seperti yang diminta. Jika anda diminta untuk membuat pembayaran, anda akan dibawa ke Payment Gateway.
  12. Klik pada Menu “Rekod Transaksi” atau klik pautan “klik sini” untuk melihat status kemaskini permohonan. Anda perlu cetak resit pembayaran dan bawanya bersama ketika mengambil kad pengenalan yang baharu di kaunter JPN.

Bayaran/Fi/Denda Untuk Kad Pengenalan Hilang

Kredit gambar : soxsory.blogspot.com

#1. Warganegara

Bayaran hilang bagi MyKad atau MyTentera adalah seperti berikut:

Kehilangan kali pertama 

  • Bayaran permohonan – RM10
  • Bayaran proses – RM100

Kehilangan kali kedua

  • Bayaran permohonan – RM10
  • Bayaran proses – RM300

Kehilangan kali ketiga dan seterusnya

  • Bayaran permohonan – RM10
  • Bayaran proses – RM1,000

#2. Bukan warganegara 

Bayaran hilang bagi MyPR atau MyKAS sahaja :

Kali pertama 

  • Bayaran permohonan – RM40
  • Bayaran proses – RM100

Kali kedua

  • Bayaran permohonan – RM40
  • Bayaran proses – RM300

Kali ketiga dan seterusnya

  • Bayaran permohonan – RM40
  • Bayaran proses – RM1,000

*Pengembalian wang yang telah diberikan bagi permohonan gantian hilang Kad Pengenalan yang telah pun diproses oleh Bahagian Kad Pengenalan atau sekiranya dijumpai semula tidak akan dikembalikan.

*Permohonan yang dilakukan melalui aplikasi “Sistem Gantian MyKAD”, bayaran perlu dilakukan menggunakan kad kredit sahaja.

Kebiasaannya, dalam tempoh 30 minit kad pengenalan anda sudah boleh disiapkan. Sekiranya pejabat urusan sibuk ianya mengambil masa sedikit lama. Anda boleh menyemak menerusi SMS iaitu dengan cara menaip JPN MYKAD dan hantar ke 15888. Anda juga akan mendapat notifikasi bahawa kad pengenalan anda sudah siap diproses dan boleh terus walk-in ke cawangan JPN yang anda pilih tempoh hari.

Tips Pemakaian Untuk Membuat IC Baru

  • Pakai baju dan tudung berwarna gelap
  • Rambut berwarna gelap
  • Rambut tidak menutup dahi
  • Pakai songkok hitam jika rambut beruban
  • Baju berkolar
  • Bagi lelaki yang memakai subang, perlu ditanggalkan.
  • Bagi yang bercermin mata, perlu juga ditanggalkan.

Semoga perkongsian ini memberi anda maklumat selengkapnya serta memudahkan urusan anda!