Usia kandungan 12 minggu adalah tahap penting yang menandakan hampir berakhirnya trimester Mommy yang pertama. Usia kehamilan 12 minggu ini juga kalau Mommy nak tahu, merupakan waktu yang penuh dengan perubahan untuk Mommy dan bayi, dan ia juga menjadi masa yang sesuai untuk Mommy dan Daddy berkongsi berita kehamilan dengan orang terdekat.
Jadi, dalam artikel kali ini, kita akan melihat dengan lebih dekat perkembangan janin, apakah perubahan yang bakal berlaku pada tubuh Mommy, serta tips berguna untuk menyokong kehamilan pada usia kandungan 12 minggu ini. Jom lihat!
Perkembangan Janin Pada Usia Kandungan 12 Minggu
Pada minggu ke-12 kehamilan, janin Mommy sudah hampir selesai membangunkan sistem asas badan mereka. Bayi Mommy kini mempunyai tulang, otot, anggota badan, serta organ-organ utama termasuk sistem penghadaman, kencing, dan peredaran darah yang berfungsi dengan baik.
Sistem ini membolehkan bayi mula meminum dan membuang air sejak dalam kandungan.
Malah, usia kandungan 12 minggu ini juga, bayi Mommy sedang memasuki fasa pertumbuhan dan kematangan, di mana organ dan tisu mereka akan mula berkembang dengan pesat.
Dalam kandungan Mommy, bayi sudah mampu membuka dan menutup jari serta mencongak jari kaki.
Bukan itu sahaja, perkembangan otak bayi Mommy juga sangat pesat. Pada waktu ini, wajah mereka mula menunjukkan profil yang lebih jelas dengan hidung dan dagu mereka akan kelihatan ketara.
Bahkan, Mommy mungkin dapat melihat pergerakan ini dengan lebih jelas melalui imbasan ultrasound yang dilakukan oleh doktor.
Saiz dan Perkembangan Bayi Ketika Usia Kandungan 12 Minggu
Agak-agak Mommy kan berapa besar dan berat bayi Mommy ketika hamil 12 minggu ini? Kalau Mommy tertanya-tanya, sebenarnya pada usia kandungan 12 minggu, bayi Mommy sebenarnya sudah sebesar buah plum dengan panjang badan mereka kira-kira 2.1 inci dan berat bayi pula sekitar 0.49 auns.
Apabila Mommy menjalani imbasan ultrasound ketika hamil 12 minggu ini, anda mungkin akan melihat bayi dengan lebih jelas, tetapi jantina bayi biasanya masih belum dapat ditentukan dengan pasti.
Tapi kalau ada keajaiban, mana tahu kan kalau waktu ini Mommy sudah boleh tahu jantina bayi. Selalu doa-doakan ya!
Ujian dan Pemeriksaan Ketika Usia Kandungan 12 Minggu
Mommy mungkin akan menjalani satu lagi imbasan ultrasound pada minggu ini, bergantung kepada keutamaan doktor.
Imbasan ini memberi peluang untuk melihat janin dengan lebih jelas dan mungkin memberikan lebih banyak maklumat tentang kesihatan bayi Mommy.
Jika terdapat apa-apa masalah semasa ujian ultrasound dilakukan pada usia kehamilan 12 minggu ini, ujian genetik untuk menentukan risiko kecacatan kelahiran mungkin akan dilakukan oleh doktor.
Perubahan Tubuh Mommy Pada Usia Kandungan 12 Minggu
Kehamilan minggu ke 12 adalah masa yang menarik kerana Mommy hampir melangkah ke trimester kedua, yang sering disertai dengan pengurangan simptom kehamilan awal seperti loya dan keletihan.
Namun, perubahan tubuh Mommy tetap ketara:
Bentuk Perut
Perut Mommy mungkin mula kelihatan lebih bulat kerana rahim yang sedang mengembang. Ini mungkin menyebabkan Mommy berasa ketat di kawasan perut dan pinggang, serta berdepan dengan masalah seperti kembung perut atau sembelit.
Payudara
Payudara Mommy mungkin masih berasa sakit atau lembut kerana hormon yang sedang bersedia untuk penyusuan.
Untuk kurangkan rasa sakit, Mommy boleh cuba pakaian dalam dari kain jenis cotton yang selesa dan sesuai dengan saiz payudara Mommy.
Kulit
Sesetengah ibu hamil mungkin mengalami melasma atau “topeng kehamilan”, iaitu bintik gelap pada wajah disebabkan oleh perubahan hormon yang terjadi sepanjang kehamilan.
Jika ia terjadi pada Mommy, anda boleh lindungi kulit dengan menggunakan pelindung matahari dan elakkan diri daripada terdedah kepada cahaya matahari yang berlebihan.
Keputihan dan Pendarahan
Pada usia kehamilan 12 minggu ini, Mommy mungkin mengalami keputihan yang normal di mana tujuannya adalah untuk melindungi faraj Mommy dari jangkitan kulat.
Namun, jika keputihan Mommy berwarna kuning, hijau, merah jambu, atau coklat, Mommy perlu segera berjumpa doktor terutama jika berasa kejang di bahagian perut atau berlaku pendarahan dengan aliran berat.
Sakit Kepala dan Pening
Sakit kepala mungkin terjadi kerana perubahan hormon, penurunan gula dalam darah, dehidrasi, kurang tidur, atau tekanan.
Untuk mengatasi sakit kepala, Mommy perlu elakkan pencetus dan pastikan Mommy mempunyai tidur serta hidrasi yang mencukupi.
Pening juga boleh berlaku akibat perubahan tekanan darah, oleh itu Mommy perlu makan secara berkala dan minum banyak air untuk mengurangkan risiko pening.
Tips Untuk Menyokong Kehamilan Pada Minggu ke-12
Pakai Pelindung Matahari
Kesan melasma atau “topeng kehamilan” mungkin muncul pada wajah akibat perubahan hormon.
Lindungi kulit Mommy dengan menggunakan pelindung matahari berasaskan mineral serta elakkan pendedahan matahari secara langsung.
Jaga Pemakanan
Sekiranya selera makan Mommy sudah semakin pulih, pastikan anda menghindari makanan yang tinggi gula dan lemak.
Pilih makanan yang sihat untuk menyokong pertumbuhan bayi bagi mencapai pertambahan berat badan yang sihat.
Fikirkan Tentang Senaman
Jika Mommy merasa lebih bertenaga, cuba berbincang dengan doktor tentang pelan senaman yang selamat untuk kehamilan anda.
Senaman yang kerap boleh membantu menguruskan pertambahan berat badan dan menjaga kesihatan keseluruhan Mommy.
Merawat Payudara Yang Sakit
Hormon kehamilan boleh membuat payudara Mommy sakit. Untuk melegakan kesakitan ini, gunakan pakaian yang selesa, ganti coli berwayar dengan bra menyusu, atau gunakan pek ais untuk keselesaan sementara.
Minggu ke-12 kehamilan adalah masa yang penuh perubahan, dengan perkembangan bayi yang ketara dan perubahan pada tubuh Mommy.
Dengan mengikuti tips untuk menyokong kehamilan dan menjaga kesihatan diri, Mommy boleh memastikan kehamilan anda berjalan lancar.
Tugas utama bayi kini adalah untuk terus membesar dan berkembang dengan sangat sihat.
Manakala tugas Mommy ketika hamil 12 minggu ini pula, Mommy perlu sentiasa doakan bayi untuk membesar dengan sihat di samping amalkan semua nasihat dan tips-tips kehamilan yang dikongsikan dalam artikel ini!
Semoga Mommy dan bayi sentiasa sihat!
Khas untuk Mommy yang pertama kali bakal menjadi ibu, jom sertai program Motherhood New Mom untuk mendapatkan New Mom Program seperti ‘welcome gift’ percume dan cabutan bertuah untuk 31 pemenang pada setiap bulan (1x Chicco KidFit 2-in-1 Belt Positioning Booster Car Seat, 30x Exclusive Baby Set)!
Apa tunggu lagi jom serang website Motherhood atau download aplikasi Motherhood sekarang!
Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.
Ketahui perkembangan janin anda pada setiap minggu melalui perkongsian di SINI.