Pejam celik, pejam celik dah masuk 13 minggu kandungan Mommy yang bersamaan dengan 3 bulan kehamilan. Kandungan Mommy sekarang sudah memasuki minggu pertama bagi trimester kedua.
Tahniah Mommy kerana sudah berjaya melepasi fasa trimester pertama yang mencabar dengan baik sekali dan bayi Mommy juga menunjukkan perkembangan yang sangat baik.
Mommy sudah bersediakah untuk mengharungi trimester kedua ini? Jika sudah, jom kita baca info berkenaan dengan kandungan 13 minggu supaya Mommy lebih bersedia dengannya.
Perkembangan Janin pada Minggu 13 Kehamilan
Kalau Mommy nak tahu, pada waktu sekarang ini, semakin banyak perkembangan bayi bakal berlaku apabila memasuki minggu ke 13 ini.
Bayi Mommy kini mempunyai berat seberat 30 gram, manakala ukurannya pula ialah 7.5 cm dari kepala hingga ke kaki. Bayi Mommy sekarang sudah mampu untuk menggerakkan kaki dan tangan dengan lebih bebas.
Selain itu, wajah bayi Mommy juga sudah hampir sempurna. Telinganya telah terbentuk dan berada pada tempatnya.
Begitu juga dengan matanya yang sudah mempunyai warna, sudah bergerak dari bahagian tepi ke hadapan wajah. Jika sebelum ini, kepala bayi lebih besar berbanding badan tetapi kini badan bayi lebih pantas untuk membesar.
Kaki bayi akan memanjang mengikut kesesuaian ukuran badannya. Yang lebih mengujakan ialah bayi Mommy sudah boleh memasukkan jarinya ke dalam mulut. Bayi Mommy juga sudah mampu untuk membuka dan menutup matanya.
Apabila memasuki 13 minggu kehamilan ini pita suara bayi sudah mula berkembang. Pita suara inilah yang akan membuatkan kita dengar tangisan sebaik sahaja dilahirkan nanti.
Akhir sekali, pada usia 13 minggu kehamilan, semua organ dan sistem penting bayi sudah pun terbentuk.
Perubahan Tubuh Mommy pada Minggu 13 Kehamilan
Antara perubahan yang berlaku kepada Mommy semasa usia 13 minggu kandungan ialah:
#1. Keputihan
Normal untuk ibu hamil mempunyai keputihan walaupun ianya sangat tidak selesa. Pada usia kandungan 13 minggu ini akan terdapat peningkatan pada keputihan Mommy.
Sekiranya keputihan Mommy semakin banyak beserta dengan bau, rasa gatal atau warna bertukar kekuningan atau kehijauan sebaiknya dapatkan nasihat daripada doktor untuk rawatan.
#2. Perut membesar
Pada usia kandungan 13 minggu ini, perut Mommy mungkin akan nampak sedikit membesar dari biasa. Baby bump Mommy sudah mula untuk memunculkan diri. Tetapi saiznya masih kecil.
#3. Tidak selesa semasa bersama suami
Mommy juga mungkin akan merasa sedikit tidak selesa semasa melakukan hubungan seks bersama suami. Hal ini mungkin disebabkan oleh keadaan fizikal Mommy yang semakin membesar dan pergerakan yang sedikit terbatas.
Mungkin juga disebabkan oleh keinginan untuk bersama kurang semasa hamil. Banyakkan berbincang dengan Daddy berkenaan hal ini ya Mommy!
Tips untuk Menyokong Kehamilan pada Minggu ke 13
Antara tips untuk menyokong atau menjaga kehamilan Mommy pada minggu ke 13 adalah seperti berikut:
- Konsisten dalam pengambilan vitamin tambahan yang telah diberikan oleh doktor seperti asid folik, zat besi dan vitamin c selain dari khasiat dari pengambilan makan sebenar.
- Berhati-hati semasa melakukan aktiviti harian atau semasa bersenam.
- Menjaga perasaan supaya tidak terbawa dengan emosi.
- Jaga pemakanan Mommy supaya dapat membekalkan tenaga kepada Mommy dan membekalkan khasiat dan nutrien secara optimum kepada bayi dalam kandungan.
- Jauhi alkohol dan rokok yang membahayakan kesihatan Mommy dan bayi Mommy. Kurangkan pengambilan kafein secara berlebihan kerana ianya tidak baik untuk Mommy dan bayi.
- Tepati janji temu untuk pemeriksaan antenatal demi kesihatan dan tumbesar bayi Mommy.
Tak sabar nak jadi Mommy dan Daddy? Ilmu berkaitan si manja dah cukup? Belum?
Khas untuk Mommy yang pertama kali bakal menjadi ibu, jom sertai program Motherhood New Mom untuk mendapatkan New Mom Program seperti ‘welcome gift’ percuma dan cabutan bertuah untuk 31 pemenang pada setiap bulan (1x Chicco KidFit 2-in-1 Belt Positioning Booster Car Seat, 30x Exclusive Baby Set)!
Apa tunggu lagi jom serang website Motherhood atau download aplikasi Motherhood sekarang!
Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.
Ikuti perkembangan janin yang seterusnya di SINI.