Pada usia kandungan 15 minggu, banyak perubahan penting berlaku kepada bayi dan Mommy. Walaupun pada usia kehamilan 15 minggu ini, Mommy mungkin belum merasakan pergerakan bayi, pemeriksaan ultrasound yang dilakukan doktor akan menunjukkan bahawa bayi Mommy sangat aktif di dalam rahim.
Banyak lagi sebenarnya yang perlu Mommy tahu mengenai keadaan Mommy dan bayi sepanjang kehamilan 15 minggu. Semua itu kami rungkaikan dalam perkongsian di bawah!
Perkembangan Janin Ketika Usia Kandungan 15 Minggu
Pada usia hamil 15 minggu ini juga Mommy, bayi sebenarnya sudah boleh menggerakkan semua anggota badan dan sendi mereka, serta mungkin sekarang ini bayi Mommy sedang menghisap ibu jari atau tersenyum.
Walaupun mata bayi Mommy masih tertutup dan mereka belum dapat melihat sepenuhnya, tetapi ajaibnya di sini, bayi Mommy mampu merasakan cahaya yang berada di sekelilingnya.
Pada minggu ke-15 kehamilan ini juga, organ bayi Mommy akan terus berkembang dengan sangat pesat.
Telinga bayi sudah pun mula berfungsi, membolehkannya mula mendengar, dan usus mereka juga bergerak ke tempat yang sepatutnya dalam badan.
Paru-paru bayi juga mula berkembang pada peringkat ini, tetapi bayi Mommy masih akan bernafas dalam cecair amniotik sehingga mereka selamat dilahirkan.
Kadangkala, bayi Mommy mungkin akan tersedu dalam rahim, walaupun Mommy mungkin belum dapat merasakannya lagi.
Saiz Bayi pada Usia Kandungan 15 Minggu
Tertanya-tanya tak saiz bayi Mommy sekarang? Ketika memasuki usia kandungan 15 minggu ini, bayi Mommy sudah sebesar buah oren.
Berat purata bayi pada masa ini adalah kira-kira 2.5 auns dengan panjang mereka sekitar 4 inci.
Kaki bayi Mommy kini lebih panjang berbanding lengan mereka, menjadikan perkadaran tubuh bayi lebih normal.
Ultrasound dan Ujian Kesihatan Ketika Usia Kandungan 15 Minggu
Pada minggu ke-15 kehamilan, jika Mommy memilih untuk menjalani Skrin Berbilang Penanda (MMS), juga dikenali sebagai Ujian Skrin Tiga atau Empat, Mommy akan menjalani pengambilan darah untuk mengukur tahap protein dan hormon tertentu.
Ujian ini bertujuan menilai risiko bayi mengalami kecacatan tiub neural dan keabnormalan kromosom.
Selain itu, amniosentesis, satu lagi ujian elektif yang biasanya dilakukan antara minggu ke-15 dan ke-20, boleh mendiagnosis kecacatan tiub saraf, keabnormalan kromosom, dan gangguan genetik lain.
Walaupun amniosentesis dianggap selamat, ia mempunyai risiko tertentu, jadi penting untuk Mommy berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menjalani prosedur ini.
Akan tetapi, jika keputusan ujian triple atau quad tidak normal atau jika terdapat risiko keabnormalan genetik yang lebih tinggi pada bayi Mommy, amniosentesis mungkin disarankan oleh doktor.
Prosedur ini pula Mommy, akan melibatkan penggunaan ultrasound untuk memasukkan jarum ke dalam kantung amniotik bagi mengumpul sampel cecair untuk diuji.
Memandangkan semua ujian ini boleh memberi tekanan, Mommy sangat digalakkan mencari masa untuk memanjakan diri dan menjaga kesejahteraan diri.
Boleh atau Tidak Mommy Mengetahui Jantina Bayi pada Usia Kandungan 15 Minggu?
Walaupun agak awal untuk Mommy mengetahui jantina bayi hanya dengan ultrasound pada 15 minggu, Mommy mungkin dapat mengetahui jantina bayi jika menjalani kaedah lain iaitu melalui ujian amniosentesis.
Prosedur ini sebenarnya Mommy, lebih memberi jawapan pasti mengenai status jantina bayi yang biasanya boleh diperoleh antara 18 dan 22 minggu usia kehamilan.
Perubahan Tubuh Mommy pada Usia Kandungan 15 Minggu
Pada minggu ke-15 kehamilan, Mommy mungkin mengalami pelbagai perubahan fizikal dan gejala. Berikut adalah beberapa simptom yang mungkin Mommy alami, seperti:
Pedih Ulu Hati dan Senak
Hormon perubahan boleh menyebabkan pedih ulu hati dan senak. Untuk mengurangkannya, Mommy perlu elakkan makanan yang mencetuskan simptom ini dan berbincang dengan doktor mengenai antasid yang selamat untuk kehamilan.
Hidung Berdarah
Peningkatan jumlah darah dan saluran hidung yang sensitif boleh menyebabkan pendarahan hidung.
Walaupun biasanya tidak berbahaya, jika pendarahan hidung berat, Mommy perlu berhubung dengan doktor.
Gusi Sensitif dan Bengkak
Ketika memasuki usia hamil 15 minggu, gusi Mommy mungkin menjadi lebih sensitif. Pastikan Mommy memberus gigi dengan kerap dan flos dengan lembut.
Jangan lupa untuk menjalani lawatan pergigian secara berkala yang sangat penting ketika Mommy mengandung.
Sesak Nafas
Bayi yang semakin membesar dalam rahim boleh memberi tekanan pada organ Mommy, lalu menyebabkan Mommy berasa sesak nafas.
Untuk hilangkannya, Mommy boleh cuba tidur secara mengiring untuk meningkatkan peredaran darah dan memudahkan Mommy bernafas.
Sakit Badan dan Kesemutan
Sakit badan dan kesemutan di tangan dan kaki boleh berlaku akibat pertambahan berat badan dan perubahan hormon.
Peningkatan Dorongan Seks dan Perubahan Mood
Dengan peningkatan tenaga, Mommy mungkin merasa lebih bertenaga dalam bilik tidur.
Namun, jika Mommy mengalami simptom lain yang menyebabkan ketidakselesaan, jangan risau kerana ia hanya perkara biasa.
Mood Mommy mungkin lebih baik jika Mommy menjaga diet dan melakukan aktiviti fizikal dengan baik.
Perut Hamil pada Usia Kandungan 15 Minggu
Pada minggu ke-15, rahim Mommy mula berkembang untuk menampung bayi yang sedang membesar dan mungkin mula melebihi pelvis Mommy.
Perut hamil pada minggu ini mungkin tidak begitu ketara, terutama jika ini merupakan kehamilan Mommy yang pertama.
Namun, jika Mommy sedang hamil anak kembar mungkin perut Mommy akan mengalami benjolan bayi yang lebih jelas lebih awal.
Tips untuk Menyokong Kehamilan pada Minggu ke-15
- Jadualkan Pemeriksaan Pergigian: Jika Mommy mengalami masalah dengan gusi atau gigi, Mommy perlu lakukan pemeriksaan gigi secara berkala.
- Rehat Secukupnya: Walaupun Mommy berasa bertenaga, tetapi jangan keterlaluan dengan tenaga yang ada. Mommy perlukan rehat yang mencukupi untuk membantu mengatasi sakit kepala dan keletihan.
- Tidur Mengiring: Tidur mengiring, terutama sebelah kiri, boleh membantu peredaran darah dan mengelakkan masalah tekanan.
- Ambil Kelas Bersalin: Pertimbangkan untuk menghadiri kelas bersalin untuk mempersiapkan diri untuk kelahiran bayi.
- Kekalkan Diet yang Sihat: Pilih makanan yang kaya dengan zat besi dan kalsium untuk menyokong keperluan nutrisi Mommy dan bayi.
Dengan memastikan Mommy menjaga kesihatan fizikal dan mental, Mommy tidak hanya mempersiapkan diri untuk kelahiran bayi tetapi juga menyokong perkembangan bayi dalam kandungan.
Nikmati masa kehamilan ini dan persiapkan diri Mommy secukupnya untuk perjalanan baru sebagai ibu!
Khas untuk Mommy yang pertama kali bakal menjadi ibu, jom sertai program Motherhood New Mom untuk mendapatkan New Mom Program seperti ‘welcome gift’ percume dan cabutan bertuah untuk 31 pemenang pada setiap bulan (1x Chicco KidFit 2-in-1 Belt Positioning Booster Car Seat, 30x Exclusive Baby Set)!
Apa tunggu lagi jom serang website Motherhood atau download aplikasi Motherhood sekarang!
Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.
Ikuti perkembangan janin yang seterusnya di SINI.