Mommy! Tahniah ya sebab berjaya mengharungi cabaran pada minggu-minggu awal usia kehamilan. Sekarang Mommy sudah memasuk usia kandungan 19 minggu.
Jadi artikel kali ini, kita akan membincangkan perkembangan bayi, perubahan pada tubuh Mommy, dan gejala biasa yang dialami pada minggu ke-19 kehamilan. Teruskan mengikuti!
Perkembangan Bayi pada Usia Kandungan 19 Minggu
Pada fasa kehamilan 19 minggu ini, terdapat pelbagai perubahan bakal berlaku pada Mommy dan bayi yang sedang berkembang pesat.
Bukan bayi sahaja, Mommy pun mungkin akan mula merasai perubahan yang signifikan seperti tendangan pertama bayi dan perubahan pada badan yang semakin jelas.
Perubahan Pada Kulit Bayi
Pada minggu hamil 19 minggu ini, bayi Mommy sedang mengalami pertumbuhan yang pesat. Salah satu perkembangan penting pada minggu ini adalah kulit bayi Mommy mula dilapisi oleh Vernix Caseosa.
Mommy tahu tak apa itu Vernix Caseosa? Vernix Caseosa ini Mommy sebenarnya merupakan pembentukan salutan berlilin, iaitu sejenis salutan putih yang kelihatan seperti keju.
Fungsinya adalah untuk melindungi kulit bayi yang sensitif daripada berkedut akibat dikelilingi cecair amniotik atau lebih dikenali sebagai air ketuban.
Lama tak Vernix Caseosa ini akan ada? Kalau Mommy nak tahu, Vernix Caseosa ini akan kekal melindungi bayi sehingga bayi Mommy selamat dilahirkan, dan sesetengah bayi yang lahir awal mungkin masih diliputi olehnya ketika dilahirkan.
Ketika lahir nanti, kalau berkesempatan, mungkin Mommy boleh lihat dengan lebih jelas rupa bentuk Vernix Caseosa ini!
Selain itu Mommy, Vernix Caseosa juga berperanan untuk melembapkan kulit, melindunginya daripada bakteria berbahaya, dan membantu perkembangan paru-paru serta saluran pencernaan bayi.
Selepas kelahiran, salutan ini akan terus membantu dalam penyesuaian bayi kepada dunia luar.
Sistem Pernafasan Bayi Mula Berkembang
Selain pembentukan Vernix Caseosa tadi, sistem pernafasan bayi Mommy juga sedang berkembang.
Paru-parunya mula membentuk saluran pernafasan utama yang dikenali sebagai Bronchioles, satu langkah penting dalam persiapan untuk kelahiran nanti.
Dalam beberapa minggu mendatang, Mommy mungkin dapat merasakan pergerakan bayi di dalam rahim. Seronok tak?
Cap Jari yang Unik Terbentuk
Pada kehamilan minggu ke-19, bayi Mommy telah mencapai satu lagi tahap penting dalam perkembangannya.
Kulit pada jari tangan dan kaki bayi Mommy kini membentuk corak yang unik dan corak ini akan kekal ya Mommy!
Cap jari, termasuk cap jari kaki bayi Mommy, tidak akan berubah-ubah sepanjang hayat mereka.
Apa yang menarik, corak ini juga akan tetap terbentuk dan tidak akan sama walaupun bayi Mommy adalah kembar seiras, menjadikan setiap individu itu benar-benar unik.
Perkembangan Deria Bayi
Perkembangan bayi usia kandungan 19 minggu yang seterusnya adalah deria. Pada waktu hamil 19 minggu ini, deria bayi Mommy kini berkembang dengan cukup pesat.
Otaknya sedang menetapkan kawasan khusus untuk lima deria utama iaitu bau, rasa, pendengaran, penglihatan, dan sentuhan.
Ini adalah tempoh kritikal bagi perkembangan otak bayi, yang mana rangkaian deria ini akan terus matang sehingga si manja Mommy lahir nanti.
Walaupun bayi Mommy masih dalam kandungan, mereka mula memberi respons kepada bunyi dari dunia luar, dan ini adalah masa yang penting untuk hubungan awal antara Mommy dan bayi.
Jadi, mulai sekarang, Mommy perlu kerap berinteraksi dengan si manja ya!
Berapa Besar Saiz Bayi pada Usia Kandungan 19 Minggu?
Dalam usia hamil 19 minggu ini juga, bayi Mommy telah mencapai panjang sekitar 15.2 cm dan berat sekitar 0.23 kg, yang mana saiznya bersamaan dengan sebiji buah mangga. Dah makin besar kan si manja Mommy sekarang?
Lonjakan pertumbuhan ini menjadikan bayi Mommy semakin aktif, walaupun belum semua ibu hamil dapat merasai pergerakan bayi pada tahap ini.
Jika ini adalah kehamilan pertama Mommy, pergerakan pertama bayi mungkin Mommy akan dapat rasai sekitar minggu ke-22 nanti.
Perubahan Tubuh Ibu Hamil pada Usia Kandungan 19 Minggu
Walaupun minggu ke-19 biasanya dianggap tempoh “bulan madu” kehamilan, masih terdapat beberapa gejala yang mungkin menyebabkan Mommy berasa tidak selesa.
Salah satu gejala yang sering dialami ialah kekejangan kaki, terutamanya pada waktu malam.
Walaupun puncanya tidak diketahui dengan pasti, ia mungkin disebabkan oleh keletihan otot kaki akibat beban tambahan semasa hamil.
Tapi jangan risau Mommy! Kekejangan ini boleh dihilangkan. Caranya, Mommy cuba regangkan kaki dan lenturkan pergelangan kaki serta jari kaki Mommy ke arah tulang kering. Rasa lebih selesa tak?
Selain masalah kejang, Mommy juga mungkin mula mengalami selera makan bertambah kerana bayi memerlukan lebih banyak nutrisi.
Walaupun kerap lapar, Mommy tetap perlu pastikan setiap makanan yang Mommy ambil adalah seimbang.
Sebabnya, semasa sedang hamil ini, bayi Mommy sangat memerlukan makanan yang bernutrisi tinggi untuk pertumbuhan yang sihat.
Gejala Kehamilan pada Minggu ke-19
Berikut merupakan beberapa gejala kehamilan 19 minggu yang perlu Mommy perhatikan iaitu:
- Sakit Ligamen Bulat
Pada minggu ini, ramai ibu hamil mula mengalami sakit ligamen bulat, iaitu sakit yang tajam dan menikam di sekitar kawasan pelvis dan pinggul.
Puncanya kerana ligamen yang menyokong rahim mula meregang untuk menampung bayi Mommy yang semakin membesar.
Jika Mommy sedang mengalami sakit ini, kami syorkan Mommy berehat dan elakkan sebarang pergerakan yang boleh mencetuskannya.
Sakit ligamen bulat biasanya bersifat sementara dan tidak membahayakan, tetapi boleh membuatkan Mommy berasa tidak selesa.
Jadi, kalau Mommy sedang sakit ligamen, tolong rehatkan diri ya Mommy, jangan banyak bergerak tau?
- Perubahan Kulit
Mommy ada perasan tak terdapat beberapa perubahan pada kulit Mommy sekarang? Semua ini berpunca dari hormon kehamilan.
Perubahan kulit ini biasanya melibatkan tapak tangan di mana ia bertukar warna menjadi merah, tompok-tompok gelap pula akan mula kelihatan pada pipi, bibir atas, dan juga dahi.
Perubahan ini dikenali sebagai melasma atau sering digelar ‘topeng kehamilan’.
Selain itu, sesetengah wanita hamil juga mengalami garis gelap yang muncul dari pusat ke tulang kemaluan, yang dipanggil Linea Nigra.
Tetapi jangan terlalu risau, perubahan kulit ini biasanya akan pudar selepas Mommy bersalin nanti!
- Hidung Berdarah
Disebabkan oleh peningkatan jumlah darah dalam badan, sesetengah wanita hamil mengalami hidung berdarah lebih kerap.
Ini boleh berlaku terutamanya apabila udara kering atau apabila Mommy mengalami selesema atau alahan.
Jika Mommy sedang mengalami hidung berdarah, cuba hentikannya dengan cara duduk dan condongkan badan ke hadapan sambil mencubit bahagian bawah hidung Mommy.
Cara ini dapat membantu menghentikan pendarahan dengan lebih cepat.
- Sesak Nafas
Pada minggu ke-19, ramai ibu hamil mula merasa sesak nafas. Ini kerana badan Mommy memerlukan lebih banyak oksigen untuk menyokong perkembangan bayi.
Selain itu, rahim yang semakin membesar mungkin memberi tekanan pada diafragma Mommy.
Jika sesak nafas berlaku, pastikan Mommy berehat dan terus berjumpa doktor jika ia berterusan atau menjadi lebih teruk.
Tips untuk Ibu Mengandung Minggu Ke-19
Berikut adalah beberapa tips untuk membantu Mommy menghadapi minggu ke-19 kehamilan dengan lebih selesa:
1. Kawal Kekejangan Kaki
Lakukan senaman regangan ringan sebelum tidur dan pastikan Mommy minum air secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi, yang boleh menyebabkan kekejangan.
2. Jaga Pemakanan
Pilih makanan yang sihat dan seimbang untuk memastikan Mommy dan bayi mendapat nutrisi yang mencukupi.
Elakkan makanan mentah dan yang tidak dipasteur untuk mengelakkan risiko jangkitan.
3. Manjakan Diri Anda
Ambil masa untuk berehat dan menjaga diri. Yoga pranatal adalah salah satu senaman yang sesuai untuk ibu mengandung, kerana ia dapat membantu meredakan tekanan dan menyediakan badan untuk proses kelahiran nanti.
4. Hadapi Selera Makan dengan Bijak
Jika Mommy mengidam makanan yang kurang sihat, cuba gantikan dengan pilihan yang lebih baik seperti bijirin yang ditambah dengan buah-buahan segar atau snek berprotein tinggi.
5. Elakkan Apnea Tidur
Jika Mommy mula berdengkur, ia mungkin terjadi disebabkan oleh hidung tersumbat yang biasa dialami semasa hamil.
Sekiranya dengkur ini menjadi masalah, Mommy perlu rujuk kepada doktor untuk nasihat lebih lanjut.
Pada minggu ke-19 kehamilan, Mommy dan bayi sedang melalui pelbagai perubahan penting. Bayi sedang berkembang pesat dengan sistem pernafasannya yang semakin matang, sementara Mommy mungkin mula merasai pergerakan pertama bayi.
Gejala seperti kekejangan kaki dan selera makan yang meningkat adalah biasa dalam fasa ini, tetapi dengan tips yang kami kongsikan di atas, Mommy boleh melalui minggu ini dengan lebih selesa.
Tugas Mommy sekarang, Mommy perlu teruskan menjaga kesihatan dengan mengamalkan pemakanan yang sihat, rehat yang cukup, dan senaman ringan. Jangan lupa ya Mommy!
Tapi ingat, jika Mommy mengalami sebarang gejala yang luar biasa seperti sakit perut yang teruk atau kekejangan yang tidak reda dengan rehat, Mommy perlu segera berjumpa doktor.
Kehamilan pada minggu ke-19 adalah masa yang menarik dengan banyak perubahan berlaku. Dengan memahami perkembangan bayi Mommy dan mengetahui cara menangani gejala yang mungkin timbul, kami pasti Mommy akan dapat melalui usia kehamilan 19 minggu ini dengan lebih tenang dan seronok!
Jika Mommy dan Daddy inginkan lebih maklumat berkenaan dengan parenting atau penjagaan bayi, jangan risau.
Khas untuk Mommy yang pertama kali bakal menjadi ibu, jom sertai program Motherhood New Mom untuk mendapatkan New Mom Program seperti ‘welcome gift’ percume dan cabutan bertuah untuk 31 pemenang pada setiap bulan (1x Chicco KidFit 2-in-1 Belt Positioning Booster Car Seat, 30x Exclusive Baby Set)!
Apa tunggu lagi jom serang website Motherhood atau download aplikasi Motherhood sekarang!
Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.
Ikuti perkembangan janin yang seterusnya di SINI.