Pada minggu ke-22 kehamilan, Mommy kini berada di pertengahan trimester kedua. Minggu ini membawa banyak perkembangan menarik bagi bayi dan juga beberapa perubahan penting pada tubuh Mommy semasa usia kandungan 22 minggu ini.
Berikut adalah panduan ringkas mengenai apa yang berlaku pada minggu ke-22 kehamilan.
Perkembangan Janin Ketika Usia Kandungan 22 Minggu: Apa yang Perlu Mommy Tahu
Highlighted
Pada usia 22 minggu kandungan, Mommy sudah melalui kira-kira lima hingga enam bulan kehamilan.
Namun, doktor lebih gemar merujuk kepada perkembangan kehamilan dalam minggu, bukan bulan.
Pada usia kehamilan 22 minggu, perkembangan bayi semakin pesat dengan perubahan yang menarik berlaku.
Berikut adalah beberapa perubahan utama tentang bagaimana si manja berkembang ketika Mommy hamil 22 minggu ini:
1. Pertumbuhan Rambut Bayi Ketika Usia Kandungan 22 Minggu
Pada minggu ke-22 hamil, bayi Mommy mula memiliki rambut yang halus di kepala mereka. Walaupun rambut ini masih nipis, ia mungkin akan menjadi lebih tebal dan berkilat menjelang akhir kehamilan.
Selain itu, bayi Mommy juga mempunyai kening dan ditutupi dengan lanugo, iaitu bulu badan yang lembut dan halus yang tumbuh di bahagian belakang, telinga, bahu, dan dahi mereka.
2. Pendengaran Bayi Berkembang
Ketika memasuki usia 22 minggu kandungan, bayi Mommy sudah mula mendengar bunyi dari dalam tubuh Mommy seperti degupan jantung, pernafasan, dan sistem penghadaman anda.
Seiring dengan perkembangan deria pendengaran bayi, bunyi-bunyi ini akan menjadi lebih jelas.
Selepas lahir, bayi Mommy mungkin merasa tenang dengan bunyi-bunyi seumpama ini, seperti bunyi mesin yang membuat desisan atau hentakan, kerana semasa di dalam rahim mereka sudah terbiasa mendengarnya.
3. Pembentukan Lapisan Lemak
Walaupun bayi Mommy pada ketika ini masih kelihatan kurus, lapisan lemak sedang mula terbentuk di bawah kulit mereka.
Lapisan lemak ini penting untuk mengatur suhu badan bayi selepas lahir, dan kelak, Mommy akan dapat mencium pipi tembam bayi Mommy yang gebu.
4. Perkembangan Organ dan Ciri Fizikal
Bayi pada 22 minggu kandungan juga mula memperlihatkan perkembangan organ penting. Mata mereka sudah terbentuk sepenuhnya, walaupun kelopak mata masih tertutup.
Pada bayi lelaki, testis mula turun ke dalam skrotum. Bayi Mommy kini semakin kelihatan seperti bayi baru lahir dengan perkembangan bibir dan ciri wajah yang lebih jelas.
5. Saiz dan Berat Bayi Ketika Usia Kandungan 22 Minggu
Pada minggu ke-22, bayi Mommy adalah kira-kira sebesar buah betik, dengan panjang sekitar 27.9 cm dari kepala ke kaki dan berat lebih kurang 453 gram.
Bayi Mommy juga mula tidur dalam kitaran, biasanya sekitar 12 hingga 14 jam sehari, yang mungkin berlaku pada waktu-waktu Mommy tidak merasakan sebarang gerakan.
6. Aktiviti dan Koordinasi
Memasuki usia kandungan 22 minggu ini, otot bayi Mommy semakin kuat, membolehkan mereka bergerak dengan lebih aktif.
Pada peringkat ini, bayi Mommy sudah boleh menyentuh telinga mereka dan memegang tali pusat, menandakan bahawa mereka sedang mengembangkan koordinasi dan deria sentuhan.
Malah, bayi Mommy juga sudah mula bertindak balas terhadap cahaya dan bunyi dari luar perut Mommy.
Jadi, apa kata kalau Mommy mainkan muzik atau alunan zikir dan ayat suci Al-Quran untuk si manja Mommy?
Atau bermain bersama-sama si manja Mommy dengan menyuluh lampu ke arah perut!
7. Kekuatan Cengkaman dan Deria Lain
Bukan itu sahaja, bayi Mommy kini mempunyai cengkaman yang lebih kuat, dan kadangkala mereka mungkin memegang erat tali pusat.
Jangan risau, tak terputus Mommy! Tali pusat ini cukup kuat untuk menahan cengkaman bayi.
Selain itu, deria penglihatan dan pendengaran si manja Mommy juga semakin berkembang.
Bayi Mommy kini lebih peka terhadap perubahan cahaya, walaupun masih dalam rahim yang gelap.
Ultrasound Semasa Usia Kandungan 22 Minggu
Jika Mommy belum menjalani ultrasound pertengahan kehamilan, minggu ke-22 adalah masa yang sesuai.
Ultrasound semasa 22 minggu kandungan ini Mommy, akan memberi gambaran terperinci tentang organ utama bayi serta perkembangan bahagian tubuh yang lain.
Di samping itu Mommy, kebanyakan ujian genetik juga mungkin doktor telah selesai dilakukan pada tahap ini, jadi Mommy tak perlu lagi rasa penat dan stress untuk mengharungi pelbagai ujian penting sepanjang kehamilan.
Perubahan Tubuh Ibu Hamil Ketika Usia Kandungan 22 Minggu
Seperti minggu-minggu kehamilan yang sebelum, pada minggu ke-22 kehamilan ini juga, perubahan tubuh Mommy semakin ketara.
Perut yang semakin membesar kini berada kira-kira satu inci di atas pusar, dan setiap wanita mungkin mengalami perubahan ini dengan cara yang berbeza.
Bagi sesetengah wanita, perut mereka kelihatan jelas, manakala yang lain mungkin masih dapat menyamarkannya bergantung pada bentuk badan dan pakaian yang dipakai.
Perubahan Fizikal yang Ketara
Selain daripada perut Mommy yang semakin membesar, bahagian lain tubuh juga turut terjejas ketika kandungan berusia 22 minggu. Kaki Mommy misalnya, mungkin mengalami pembengkakan, menyebabkan saiz kasut meningkat.
Ini berlaku kerana pengaruh hormon relaxin yang bertujuan untuk melonggarkan ligamen di sekitar pelvis bagi memudahkan kelahiran.
Malangnya, hormon ini juga memberi kesan kepada ligamen di kaki Mommy, menyebabkan tulang meregang sedikit dan menambah saiz kaki.
Oleh itu, jika Mommy mendapati kasut lama tidak lagi sesuai, ini adalah perkara biasa. Mommy perlu mencari dan membeli kasut yang lebih selesa dan stabil untk dipakai.
Saiz Perut dan Penambahan Berat Badan
Selain itu, pada minggu hamil 22 minggu ini, ketinggian fundus (bahagian atas rahim) biasanya berukuran antara 20 hingga 24 sentimeter dari tulang pelvis ke atas.
Akan tetapi jika Mommy disahkan hamil kembar, saiz ini mungkin berbeza kerana perkembangan kehamilan kembar sukar dijadikan piawai.
Bagi penambahan berat badan pula, doktor biasanya mengesyorkan pertambahan berat badan yang perlahan, dengan kenaikan sekitar satu paun setiap minggu.
Untuk capai berat ideal ini, Mommy perlu mengambil 300 kalori sehari dalam diet, yang dibahagikan kepada 5-6 hidangan kecil sepanjang hari.
Cara pengambilan makanan ini dapat membantu mengelakkan Mommy mengalami masalah seperti pedih ulu hati dan gangguan pencernaan.
Tanda Regangan
Tanda regangan adalah perkara biasa apabila kulit meregang terlalu cepat ketika kandungan berusia 22 minggu dan minggu seterusnya.
Walaupun ia tidak boleh dihilangkan sepenuhnya, menggunakan pelembap dapat mengurangkan kekeringan dan kegatalan.
Pusar Menonjol Ketika Usia Kandungan 22 Minggu
Pusar yang keluar (outie) adalah hasil dari tekanan rahim yang berkembang. Jangan risau! Selepas bersalin, pusar Mommy akan kembali ke bentuk asal.
Interaksi dengan bayi dalam kandungan pada usia 22 minggu, bayi sudah mula merasai sentuhan.
Apabila Mommy mengusap perut, bayi mungkin akan memberi reaksi dengan menekan balik.
Ini disebabkan oleh perkembangan pesat saraf dan otak bayi yang menjadikan mereka lebih peka terhadap rangsangan dari luar.
Gejala Kehamilan Ketika Usia Kandungan 22 Minggu
Beberapa gejala yang dialami semasa kandungan berusia 22 minggu adalah perkara biasa dan sebahagian daripada proses kehamilan.
Berikut adalah beberapa gejala utama:
1. Pedih Ulu Hati atau Senak
Mommy mungkin kerap merasa pedih ulu hati disebabkan perubahan hormon dan tekanan dari rahim yang membesar.
Untuk mengatasinya, Mommy disarankan menyimpan makanan ringan yang sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran di rumah.
2. Sembelit
Rahim yang semakin besar memberi tekanan pada usus, menyukarkan proses penghadaman. Mommy boleh cuba bersenam secara teratur untuk menggalakkan pergerakan usus yang lebih lancar.
3. Pengsan atau Pening
Rahim yang membesar boleh mengurangkan aliran darah ke otak, menyebabkan Mommy merasa pening.
Minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari adalah penting untuk memastikan peredaran darah yang baik.
4. Kejang Kaki Ketika Usia Kandungan 22 Minggu
Kekurangan kalsium atau magnesium mungkin menjadi punca kekejangan kaki.
Mommy perlu mengambil vitamin pranatal secara teratur kerana ia dapat membantu mengurangkan masalah ini.
5. Peningkatan Dorongan Seks
Sesetengah wanita mungkin mengalami peningkatan libido disebabkan oleh lonjakan hormon pada minggu ini.
6. Keputihan Bertambah
Peningkatan aliran darah menyebabkan keputihan bertambah. Walaupun tidak menyenangkan, ia adalah normal dan tanda kesihatan yang baik.
7. Bengkak Tangan dan Kaki
Penambahan cecair dalam badan menyebabkan sedikit bengkak, terutama pada tangan dan kaki Mommy.
Namun awas! Bengkak yang tiba-tiba atau teruk boleh menjadi tanda preeklampsia, mommy perlu segera berjumpa doktor.
8. Sakit Pinggang di Usia Kandungan 22 Minggu
Bayi yang semakin membesar memberi tekanan pada belakang, menyebabkan Mommy sakit pinggang.
Bantal badan atau urutan pranatal boleh membantu melegakan kesakitan Mommy.
9. Masalah Rambut
Perubahan hormon boleh menyebabkan rambut menjadi lebih tebal atau nipis. Selepas kehamilan, rambut ibu hamil biasanya akan kembali kepada keadaan normal.
10. Kesukaran Bernafas Ketika Usia Kandungan 22 Minggu
Rahim yang menekan paru-paru boleh menyebabkan Mommy sesak nafas. Penting untuk Mommy berehat apabila merasa penat dan elakkan aktiviti fizikal yang berlebihan.
11. Jerawat
Lonjakan hormon boleh menyebabkan jerawat, walaupun Mommy tidak pernah mengalaminya sebelum ini.
Kalau Mommy ingin melakukan rawatan jerawat, pastikan Mommy berbincang dengan doktor dulu ya sebelum mengambil apa-apa jenis ubat?
12. Urat Labah-Labah Muncul di Usia Kandungan 22 Minggu
Urat labah-labah muncul akibat peningkatan darah dan tekanan pada urat. Senaman ringan dan memakai stokin mampatan boleh membantu mengurangkan pembentukannya.
13. Cirit-Birit
Cirit-birit kadang-kadang berlaku semasa kehamilan. Minum cecair yang mencukupi adalah penting untuk mencegah dehidrasi.
Tetapi, jika ia berterusan, Mommy harus berjumpa doktor.
14. Bengkak di Usia Kandungan 22 Minggu
Edema atau bengkak biasa berlaku, tetapi bengkak yang melampau memerlukan perhatian segera kerana boleh menandakan masalah kesihatan serius seperti DVT atau preeklampsia.
15. Sakit Pelvis
Ligamen yang melonggar dan perubahan pusat graviti semasa hamil 22 minggu boleh menyebabkan sakit pelvis.
Menggunakan tali pinggang sokongan kehamilan atau terapi fizikal dapat membantu mengurangkan ketidakselesaan ini.
Tips Penting untuk Mommy di Usia Kandungan 22 Minggu
Minggu ke-22 kehamilan adalah saat yang penuh perubahan bagi Mommy dan bayi. Berikut adalah beberapa tips penting untuk memastikan pengalaman kehamilan ini lebih selesa dan bermanfaat:
1. Berlatih Berkata Tidak
Semasa hamil, Mommy mungkin sering menjadi tumpuan. Jika ada yang cuba menyentuh perut atau memberikan komen yang tidak diminta, ingatlah bahawa Mommy berhak untuk melindungi privasi diri.
Ucapkan dengan lembut tetapi tegas jika tidak selesa, atau Mommy boleh alihkan perhatian mereka dengan berseloroh.
2. Manfaatkan Tenaga Tambahan
Jika Mommy merasa lebih bertenaga pada trimester kedua, gunakan peluang ini untuk merancang perjalanan atau menyelesaikan projek di rumah.
Tenaga ini mungkin berkurang pada trimester ketiga, jadi rancang aktiviti yang memberi manfaat semasa hamil 22 minggu ini.
3. Latih Pernafasan untuk Braxton Hicks
Jika Mommy mengalami kontraksi Braxton Hicks, belajar teknik pernafasan boleh membantu.
Latihan ini juga berguna ketika bersalin. Pilih teknik yang sesuai, seperti yoga atau pernafasan tradisional.
4. Kepentingan Magnesium Ketika Usia Kandungan 22 Minggu
Magnesium penting untuk kehamilan, menyokong pembentukan tulang dan fungsi enzim. Makanan seperti biji labu dan badam adalah sumber baik.
Jika Mommy merasa letih atau mengalami kekejangan, berbincang dengan doktor tentang keperluan magnesium.
5. Bersenam untuk Perkembangan Otak Bayi
Senaman semasa hamil 22 minggu memberi manfaat kepada Mommy dan perkembangan otak bayi.
Kajian menunjukkan bahawa bayi dari ibu yang bersenam cenderung mendapat skor lebih tinggi dalam ujian kecerdasan.
6. Fikirkan Semula Ultrasound 5D Elektif
Ultrasound 3D, 4D dan 5D menarik tetapi harus dilakukan atas nasihat doktor. Pastikan prosedur dijalankan oleh profesional perubatan untuk tujuan perubatan yang penting.
7. Mengamalkan Teknik Relaksasi
Teknik relaksasi seperti yoga dan meditasi visual membantu mengatasi kebimbangan. Amalkan pernafasan dalam dan fokus pada relaksasi otot untuk ketenangan jiwa.
8. Fokus pada Pemakanan Pranatal
Pastikan diet kaya kalsium dan magnesium untuk menyokong pertumbuhan bayi.
Makanan seperti produk tenusu, sayuran berdaun hijau, dan salmon sangat disyorkan pakar.
Coklat gelap juga baik, Mommy boleh gabungkannya dengan susu kaya kalsium.
Minggu ke-22 kehamilan membawa pelbagai perubahan fizikal dan emosi.
Jadi, Mommy harus menjaga keselesaan diri dan berinteraksi dengan baik dengan orang sekeliling.
Dengan kesedaran dan langkah yang tepat, Mommy dapat menikmati pengalaman sepanjang hamil 22 minggu ini dan seterusnya dengan lebih tenang dan selesa.
Jika Mommy dan Daddy inginkan lebih maklumat berkenaan dengan parenting atau penjagaan bayi, jangan risau.
Khas untuk Mommy yang pertama kali bakal menjadi ibu, jom sertai program Motherhood New Mom untuk mendapatkan New Mom Program seperti ‘welcome gift’ percuma dan cabutan bertuah untuk 31 pemenang pada setiap bulan (1x Chicco KidFit 2-in-1 Belt Positioning Booster Car Seat, 30x Exclusive Baby Set)!
Apa tunggu lagi jom serang website Motherhood atau download aplikasi Motherhood sekarang!
Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.
Jom Mommy! Tambah ilmu dan terokai pelbagai lagi info dan perkongsian menarik yang lain di SINI!