Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Kepentingan Kaunseling Rumah Tangga dan Senarai Khidmat Kaunseling Rumah Tangga Yang Anda Boleh Dapatkan Di Kawasan Anda

Kredit gambar: istockphoto

Apabila dilandanya badai dalam sesebuah rumah tangga, ramai yang memilih untuk mendiamkan diri dan tidak memandangnya dengan serius.

Mungkin dengan harapan ia tidak akan berlaku lagi dan dengan berlalunya masa, pasangan akan berubah.

Ini adalah pendekatan yang tidak sihat sebenarnya. Seperti permasalah lain, masalah rumah tangga adalah penting dan wajar mendapat panduan dan pertolongan sewajarnya.

Kepentingan Kaunseling Rumah Tangga

Daripada memandang ringan, pasangan suami isteri hendaklah berusaha untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah rumah tangga bersama-sama.

Salah satu pendekatan yang boleh dilakukan adalah dengan mendapatkan kaunseling daripada mereka yang pakar tentang situasi semasa Mommy dan Daddy.

Kaunseling rumah tangga sebenarnya memainkan peranan penting yang boleh menyelamatkan sesebuah institusi rumah tangga dan keluarga itu.

Antara kepentingannya adalah:

1. Boleh mengubah gaya pemikiran suami/isteri

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

Setiap orang pasti mempunyai pemikiran, perspektif dan persepsi tersendiri dalam melihat sesuatu. Apabila diuji dengan permasalahan rumah tangga, cara suami dan isteri itu melihat suatu masalah itu akan menentukan corak penyelesaiannya dan hala tuju sebuah hubungan itu.

Melalui kaunseling rumah tangga, apabila mendapatkan panduan dan nasihat daripada yang pakar, pemikiran suami dan isteri mungkin berubah dan mampu menyelesaikan masalah rumah tangga dengan lebih baik.

2. Membantu mencari penyelesaian

Apabila melihat dan menyelesaikannya berdua, suami dan isteri mungkin akan merasakan masing-masing betul dan sukar untuk mengalah.

Kesannya, penyelesaian terbaik kepada masalah rumah tangga tidak dapat dicapai dan keadaan boleh bertambah teruk.

Melalui kaunseling rumah tangga, suami dan isteri mungkin akan lebih berlapang dada apabila menerima pandangan dan nasihat dari yang pakar yang tiada personal gain pun dalam permasalahan itu.

3. Mengelakkan permasalah dari menjadi lebih serius

Bukan itu je, melalui kaunseling rumah tangga juga, pasangan suami dan isteri itu dapat mengelakkan masalah daripada menjadi lebih serius.

Biasalah.. apabila ada perselisihan faham, ini boleh menjurus kepada pergaduhan dan jika dibiarkan, ia boleh melarat dan menjadi teruk.

Silap-silap, untuk sesetengah pasangan terutamanya yang sukar mengawal emosi, akan berlakunya keganasan rumah tangga dalam menghadapi permasalah ini.

Apabila mendapat pertolongan daripada pihak luar, masalah sebegini mungkin dapat dielakkan dan diselesaikan dengan lebih baik.

Kredit gambar: istockphoto

4. Sebagai platform untuk meluahkan dan berkongsi perasaan

Sesetengah permasalahan rumah tangga, mungkin Mommy dan Daddy akan terasa ia tidaklah besar tetapi ia mengganggu emosi dari masa ke semasa.

Melalui kaunseling rumah tangga, Mommy dan Daddy dapat meluahkan dan berkongsi perasaan yang berkumpul dalam diri. Bebanan emosi apabila diluahkan dan dibincangkan boleh menjadi ringan dan membantu Mommy dan Daddy untuk menangani emosi dengan lebih baik.

Inilah antara salah satu kepentingan kaunseling rumah tangga untuk suami dan isteri.

Senarai Khidmat Kaunseling Rumah Tangga

Di seluruh Malaysia, terdapat banyak khidmat kaunseling rumah tangga yang Mommy dan Daddy boleh dapatkan. Jika di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, bolehlah ke lokasi berikut untuk dapatkan kaunseling rumah tangga dari pegawai bertugas:

  1. Urban Transformation Centre(UTC Keramat, Kuala Lumpur)
  2. Urban Transformation Centre (UTC Pudu, Kuala Lumpur)
  3. Anjung Khidmat Keluarga (AKUAJA) Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju
  4. Anjung Khidmat Keluarga, Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (OKKSK) Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya
  5. Surau al-Furqan, Presint 11, Putrajaya
  6. Surau al- Iman Presint 9, Putrajaya

Ini merupakan antara perkongsian dari portal MyGovernment. Bukan itu sahaja, terutamanya buat Mommy dan Daddy yang mengalami kesukaran untuk ke lokasi berdekatan, boleh je hubungi perkhidmatan tele-kaunseling atau e-kaunseling secara atas talian:

  • 1 800 82 0300 (Ahad hingga Jumaat, 9.00 pagi – 12.00 tengah hari dan 2.00 petang – 5.00 petang)

Di talian ini, Mommy dan Daddy boleh adukan sebarang permasalahan dan jangan risau, kerana semua butiran akan dirahsiakan.

Ada juga agensi swasta yang Mommy dan Daddy boleh dapatkan kaunseling rumah tangga seperti Syoknyakaunseling.com yang menawarkan perkhidmatan kaunseling rumah tangga pada harga yang berpatutan.

Secara umumnya, di setiap negeri, kaunseling rumah tangga boleh didapatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Agama Islam masing-masing. Hubungi sahaja talian yang ditetapkan dan Mommy dan Daddy akan dibantu oleh pihak yang berkenaan.

Kredit gambar: support.yoodo.com.my

Untuk di seluruh Malaysia, Talian Kasih di 15999 sentiasa ada untuk Mommy dan Daddy.

Dapatkanlah Kaunseling Rumah Tangga Untuk Kesejahteraan Bersama

Janganlah rasa kekurangan dan ego untuk mendapatkan bantuan ya? Kadang-kadang, tanpa disedari, kekurangan itu datang daripada diri sendiri dan dengan pertolongan dari yang lain, Mommy dan Daddy mampu untuk mengawal situasi dengan lebih baik dan menyelesaikan permasalahan yang sedia ada.