Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Kedudukan Solat Suami Isteri Yang Betul Berdasarkan Hadis dan Bersama Kehadiran Makmum Yang Lain

kedudukan solat berjemaah suami isteri

Kredit gambar: hmetro.com.my

Solat merupakan perintah Allah yang wajib ke atas hambaNya. Oleh itu, ia menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Islam untuk menitik beratkan hukum dan cara perlaksaannya yang betul.

Yang sering menjadi perbincangan dan pertanyaan adalah, bagaimana kedudukan solat buat suami dan isteri ketika solat berjemaah?

Kedudukan Solat Suami Isteri Yang Betul Berdasarkan Hadis

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

Melalui perkongsian daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, apabila menunaikan solat berjemaah berdua antara suami dan isteri, kedudukannya adalah, isteri berada di belakang suami sebagai makmum dan suami pula di depan sebagai imam.

Ini berdasarkan kepada beberapa hadis Rasulullah S.A.W. seperti:

‎خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا، وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا

Maksudnya : Sebaik-baik saf orang lelaki adalah yang paling depan dan seburuk-buruk saf orang lelaki adalah yang paling akhir. Manakala sebaik- baik saf orang perempuan adalah yang paling belakang dan seburuk-buruk saf bagi mereka adalah yang paling hadapan. – Riwayat Muslim (440)

Bukan sahaja sebagai pasangan suami dan isteri, tetapi ia juga untuk mana-mana lelaki dan wanita yang solat berjemaah berdua.

Sebagai contoh, ayah dan anak perempuan; abang dan adik perempuan; dan yang sama situasi seperti itu.

Kedudukan Solat Suami Isteri Bersama Kehadiran Makmum Yang Lain

Selesai penjelasan tentang kedudukan solat berjemaah buat suami dan isteri, lelaki dan wanita, timbul pula persoalan lain.

Bagaimanakah jika ada makmum lain selain daripada isteri? Sebagai contohnya, anak perempuan dan anak lelaki. Kedudukan solat berjemaah untuk bilangan makmum sebegini, bagaimana ya?

Terdapat satu riwayat daripada Anas bin Malik R.A. seperti berikut:

‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِهِ وَبِأُمِّهِ أَوْ خَالَتِهِ قَالَ فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ وَأَقَامَ الْمَرْأَةَ خَلْفَنَا

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W solat dengannya (Anas) bersama dengan ibunya atau ibu saudaranya lalu Anas berkata: Baginda mendirikan aku di sebelah kanannya dan baginda mendirikan orang perempuan di belakang kami. – Riwayat Muslim (1056)

Kredit gambar: kosmo.com.my

Jika diteliti dalam riwayat ini, Rasulullah S.A.W. telah menunjukkan kedudukan solat buat lelaki dan wanita bersama makmum lain, yakni dalam riwayat ini, Anas R.A. secara jelas.

Lelaki sebagai imam akan berdiri di hadapan. Manakala jika ada makmum lelaki, maka dia akan solat di sebelah kanan imam.

Kedudukan wanita pula dalam situasi ini, adalah di belakang sekali. Sesuai dengan hadis pertama [Riwayat Muslim (440)] yang disebutkan tadi iaitu ‘sebaik- baik saf orang perempuan adalah yang paling belakang’.

Dalam riwayat lain yang dijadikan dalil berkenaan perbincangan ini adalah seperti berikut:

‎ أَنَّ جَدَّتَهُ مُلَيْكَةَ دَعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِطَعَامٍ صَنَعَتْهُ لَهُ فَأَكَلَ مِنْهُ ثُمَّ قَالَ قُومُوا فَلِأُصَلِّ لَكُمْ ، فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَصَفَفْتُ وَالْيَتِيمَ وَرَاءَهُ ، وَالْعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا ، فَصَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ انْصَرَفَ

Maksudnya : Bahawa neneknya yang bernama Mulaikah menjemput Rasulullah S.A.W memakan makanan yang telah dimasaknya. Maka baginda pun menjamu makanan tersebut lalu bersabda : Bangunlah untuk aku bersolat bersama kamu semua. Kemudian Rasulullah S.A.W berdiri untuk solat, lalu baginda meletakkan aku dan seorang anak yatim di belakangnya, dan perempuan tua (nenek) di belakang kami. Kemudian baginda solat dua rakaat bersama kami dan seterusnya beredar. – Riwayat Al-Bukhari (380)

Jika dilihat dalam riwayat ini, ada kanak-kanak mumayyiz yang turut serta solat berjemaah. Kedudukan kanak-kanak dalam solat berjemaah sering diperbahaskan dan melalui riwayat ini, jelas bahawa Rasulullah S.A.W. telah menunjukkan bahawa kanak-kanak mumayyiz berdiri di belakang imam dan di hadapan kaum wanita dalam kedudukan solat berjemaah.

Melalui perkongsian beberapa hadis ini, dapatlah kita gambarkan kedudukan yang jelas dan betul dalam solat berjemaah kan?

Seiring dengan pendapat Imam Al-Nawawi Rahimahullah dalam Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al Nawawi (3/132) yang mengatakan:

Jika dalam solat berjemaah itu terdapat orang lelaki, kanak-kanak, golongan khunsa dan orang perempuan, maka turutan solatnya dari hadapan hingga ke saf belakang adalah seperti berikut:

  1. Orang lelaki
  2. Kanak-kanak
  3. Golongan khunsa
  4. Orang perempuan
Kredit gambar: mywilayah.com

Kelebihan Suami Isteri Solat Berjemaah

Seperti yang disebutkan dalam hadis Rasulullah S.A.W.:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya : “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.” – Riwayat Muslim (1509)

Fadhilat solat berjemaah ini, dibezakan sebanyak 27 darjat daripada solat bersendirian. Tetapi bukan itu sahaja, Mommy dan Daddy akan dapat merasakan perbezaannya dalam kehidupan seharian juga seperti:

  • Hubungan antara suami dan isteri bertambah erat
  • Meningkatkan hormat isteri kepada suami dan sayang suami kepada isteri
  • Bersama berusaha menggapai redha Allah di dunia dan akhirat
  • Saling membantu dan memperelok kesalahan dan kesilapan satu sama lain

Semoga dengan perkongsian ini, Mommy dan Daddy dapat memerhati dan memperbaiki solat jika ada yang terkurang di sana sini. Setelah selesai solat, amalkan juga doa-doa untuk suami isteri ini demi keharmonian rumah tangga.

Sama-samalah kita berusaha yang terbaik dalam menunaikan kewajipan kepadaNya.


Rujuk panduan solat, zikir, doa dan ibadah-ibadah lain DI SINI.