Keistimewaan hari jumaat merupakan hari ganjaran yang Allah berikan kepada hambanya untuk menambah amal kebaikan agar dapat memperoleh pahala yang lebih dari hari-hari lainnya. Terdapat amalan yang khusus pada hari jumaat yang tidak ada pada hari lain.
Hari jumaat mengandungi banyak sejarah yang ramai tidak ambil kisah tentangnya. Jika diamalkan perkara-perkara yang wajib kita lakukan pada hari tersebut, Allah telah menjanjikan ganjaran pahala yang begitu besar untuk kita.
Keistimewaan Hari Jumaat Yang Banyak Manfaatnya
Berikut merupakan beberapa perkara atau keistimewaan hari jumaat yang perlu anda ketahui iaitu:
#1. Keistimewaan Hari Jumaat Kerana Ia Adalah Penghulu Segala Hari
Hari jumaat merupakan hari yang sangat istimewa kerana ia adalah penghulu segala hari yang mempunyai kelebihan dari hari yang lain. Pada hari tersebut sesiapa yang melakukan amalan akan mendapat ganjaran pahala yang lebih dari hari biasa. Ia juga dikenali sebagai ‘Saiul Ayyam’ yakni penghulu segala hari (sebaik-baik hari).
#2. Keistimewaan Hari Jumaat Doa Dimakbulkan
Hadis telah memperakui bahawa hari jumaaat merupakan hari istimewa termakbulnya doa.
Maksudnya:
“Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah SWT, pasti Allah SWT akan memperkenankan permintaanya itu“.
Hadis Riwayat al-Bukhari (6400)
Sabda Rasulullah:
“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba Mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah SWT sesuatu kebaikan, melainkan Allah SWT memakbulkan doanya atau ia meminta Allah SWT melindunginya daripada sesuatu kejahatan, melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan“.
(Hadis riwayat Tarmizi)
Antara waktu mustajab dianjurkan berdoa adalah:
Ketika imam berada di atas mimbar dan sehingga selesai solat jumaat dan pada penghujung waktu asar.
#3. Malaikat Turun ke Bumi
Pada hari jumaat Allah telah mengutuskan para Malaikat turun ke bumi untuk mencatat nama-nama mereka yang menunaikan solat jumaat di masjid.
#4. Keistimewaan Hari Jumaat Kerana Ia Saat Nabi Adam Dicipta
Menerusi kajian ulamak Mesir, Syeikh Ahmad Al-Mishry Nabi Adam dicipta Allah daripada tanah liat yang memakan masa selama 120 tahun untuk menjadi manusia sempurna. Nabi Adam diciptakan pada hari jumaat iaitu penghulu segala hari.
#5. Nabi Adam Diturunkan Ke Bumi
Dalam surah AL-Baqarah ayat 36 telah diterangkan bahawa Nabi Adam dan Siti Hawa telah di keluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi pada hari jumaat.
#6. Nabi Adam Dimatikan
Setelah Nabi Adam berusia 960 tahun, maka Allah turunkan para malaikat untuk mencabut nyawa Nabi Adam pada hari jumaat.
#7. Berlakunya Hari kiamat
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya:
“Sebaik-baik hari apabila terbitnya matahari ialah pada hari Jumaat. Padanya diciptakan Adam, padanya juga dimasukkan Adam ke dalam syurga dan padanya juga dikeluarkannya (Adam AS) daripada syurga serta tidak akan berlaku kiamat melainkan pada hari Jumaat.”
(Riwayat Muslim 854)
#8. Hari Berhimpun
Semua muslimin yang memenuhi syarat wajib berhimpun di masjid bagi menunaikan solat dua rakaat yang mempunyai ganjaran yang amat besar jika dilakukan iaitu menurut sabda Rasululah:
“Sesiapa hadir solat jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta, sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu, sesiapa yang menghadiri solat jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas, sesiapa hadir solat jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam, dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur“.
#9. Dipadamkan Dosa
Akan diampunkan dosanya selagi tidak melakukan dosa besar antara jumaat tersebut dengan jumaat sebelumnya.
Sabda Rasulullah:
“Solat lima waktu (sehari semalam) dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar“.
(Riwayat Muslim)
#10. Amalan Sedekah
Melakukan sedekah pada hari jumaat adalah lebih utama jika dibandingkan dengan hari-hari lain. Ibnu Qayyim berkata:
“Sedekah pada hari itu lebih utama dengan sedekah pada enam hari lainnya seumpama bersedekah pada bulan Ramadhan dibanding bulan-bulan lainnya“.
#11. Keistimewaan Hari Jumaat Dapat Mengumpul Pahala
Bagi mereka yang menunaikan solat jumaat, akan dicatatkan pahala untuk setiap langkahnya menuju ke rumah Allah pada hari tersebut yang bersamaan dengan pahala beribadah selama satu tahun solat dan berpuasa.
Aus bin Aus berkata: Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mandi pada hari jumaat, kemudian bersegera berangkat menuju masjid, dan berada di saf hadapan kemudian dia berdiam, maka setiap langkah yang dia ayunkan akan mendapat pahala puasa dan solat selama satu tahun, dan itu adalah hal yang mudah bagi Allah“.
(HR. Ahmad dan Ashabus Sunan, Didakwa sahih oleh Ibnu Huzaimah)
#12. Hari Hidayah
Allah memberikan hidayahnya kepada umat islam yang tidak dikurniakan kepada kaum-kaum lain sebelumnya.
Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda:
“Kita adalah umat yang terakhir muncul tapi paling awal tiba pada hari kiamat, dan kita yang pertama kali masuk syurga, cuma mereka diberi Kitab sebelum kita sedangkan kita diberi Kitab setelah mereka. Kemudian mereka berselisih, lalu Allah memberi kita hidayah terhadap apa yang mereka perselisihkan. Inilah hari yang mereka perselisihkan, dan Allah berikan hidayah berupa hari ini kepada kita (Nabi صلى الله عليه وسلم menyebut hari Jumaat). Maka hari (Jumaat) ini untuk kita (umat Islam), esok (Sabtu) untuk umat Yahudi dan lusa (Ahad) untuk umat Nasrani“.
(Hadis Riwayat Muslim r.a.)
#13. Terlepas Siksa Kubur
Mereka yang meninggal dunia atau mati pada jumaat malam atau siang harinya InsyaAllah dia terselamat dari fitnah (seksa) kubur. Diriwayatkan oleh Ibnu Amru, bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Setiap muslim yang mati pada siang hari Jumaat atau malamnya, nescaya Allah akan menyelamatkannya dari fitnah kubur“.
(HR. Ahmad dan Tirmizi, undian sahih oleh Al-Bani)
#14. Dapat Melihat Allah di Syurga
Hari istimewa yang Allah akan menunjukkan rupaNya kepada hambanya yang bertakwa. Firman Allah SWT:
“Dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka)“.
(Surah Al-Jumuaah 50; Ayat 35)
Seorang sahabat, Anas bin Malik dalam mengulas ayat 35 di atas:
“Allah SWT menampakkan diri kepada mereka setiap Hari Jumaat“.
Diharapkan perkongsian ini sedikit sebanyak dapat mendorong kita untuk menjadi insan yang lebih bertakwa kepada Allah.
Amalkan juga doa hari jumaat dengan merujuknya di SINI!