Bila dikurniakan rezeki mengandung, tentulah Mommy dan Daddy seronok sangat kan? Antara yang di fikir-fikirkan adalah, makanan apa yang terbaik untuk dimakan semasa mengandung? Ada pantang larang ke? Untuk si manja pula, tak sabar rasanya nak siapkan baju dan hias bilik baby.
Terutamanya buat Mommy dan Daddy yang menimang cahaya mata yang pertama, pengalaman masih kosong dan sepanjang proses mengandung dan akan bersalin nanti, tentunya memerlukan ilmu yang cukup untuk buat keputusan yang terbaik.
Apa Itu Kelas Antenatal?
Mommy dan Daddy janganlah risau. Sekarang ni dah ada banyak dah kelas antenatal untuk bakal Mommy dan Daddy.
Apa kelas antenatal ni sebenarnya? Kelas antenatal adalah kelas yang memberikan pendidikan pranatal untuk Mommy dan Daddy supaya dibekalkan ilmu pengetahuan yang cukup untuk sepanjang proses mengandung, proses bersalin, penjagaan bayi dan penyusuan ibu.
10 Topik Yang Dipelajari Ketika Kelas Antenatal
Bukan sekadar kelas biasa, tenaga pendidik dan pengajar kelas antenatal ini terdiri daripada mereka yang pakar seperti doktor dan penasihat kesihatan.
Kelas antenatal ini akan dibahagikan kepada beberapa sesi yang setiap satunya akan mengambil masa sekitar 5 jam begitu. Pada setiap sesi pula, topik yang berbeza akan didedahkan kepada bakal Mommy dan Daddy untuk dipelajari.
Antaranya adalah:
1. Senaman untuk ibu mengandung dan di dalam pantang
Mommy dan Daddy akan diajar oleh tenaga pengajar yang pakar seperti Fisioterapis tentang senaman yang sesuai untuk dilakukan oleh ibu mengandung dan setelah bersalin.
2. Pemakanan untuk ibu mengandung dan di dalam pantang
Pemakanan yang sihat dan sesuai pun penting kan? Ilmu yang bakal dikongsikan oleh Pakar Pemakanan nanti memang berguna untuk pengetahuan Mommy dan Daddy.
Terutamanya untuk Mommy yang ada alergik pemakanan, wajib cakna ya?
3. Latihan pernafasan ketika bersalin
Pernafasan yang betul ketika bersalin dikatakan dapat membantu memudahkan proses bersalin dan mengurangkan kesakitan. Betul ke?
Haa…di kelas antenatal nanti Mommy dan Daddy akan belajar ya tekniknya.
4. Ilmu tentang suntikan imunisasi untuk bayi
Mungkin masih ramai yang tidak mengetahui tentang kebaikan dan kepentingan suntikan imunisasi untuk si comel setelah lahir nanti.
Kalau kurang jelas, jangan teragak-agak untuk bertanya kepada Pakar Pediatrik yang mengajar nanti ya? Si comel Mommy dan Daddy layak untuk mendapatkan perlindungan imunisasi yang terbaik.
5. Penyusuan susu ibu
Walaupun payudara dipenuhi dengan susu badan, bukanlah semudah itu je untuk menyusukan si comel nanti.
Bukan hanya dengan suakan kepada mulut si comel, tetapi ada teknik, posisi dan ilmu pengetahuan tambahan tentang penyusuan susu ibu yang Mommy dan Daddy perlu belajar tau.
6. Ilmu keibubapaan
Walaupun Mommy dan Daddy dah ada zuriat sebelum ini, ilmu keibubapaan memang sangat penting untuk kedua-dua ibu bapa dan anak.
Bila kurang ilmu dan pengalaman, Mommy dan Daddy mungkin tersilap langkah dalam mendidik dan menjaga si comel. Oleh itu, semasa berada di kelas tersebut, beberapa cabang dalam ilmu keibubapaan akan diterangkan dengan jelas kepada Mommy dan Daddy oleh yang pakar.
7. Persediaan untuk kelahiran kecemasan
Memang semua dah dirancang tapi belum tentu ia akan jadi seperti Mommy dan Daddy plan. Apa yang harus dibuat apabila perlunya kelahiran kecemasan dan tindakan apa yang terbaik untuk Mommy dan Daddy?
Di kelas antenatal pun akan diajarkan topik sebegini ya.
8. Kontraksi dan proses bersalin
Mommy dan Daddy juga akan didedahkan dengan segala ilmu bersalin yang penting. Contohnya, bagaimana untuk menghadapi kontraksi dan teknik meneran yang betul.
Lagi banyak yang Mommy dan Daddy belajar, lagi luaslah pengetahuan untuk dipraktikkan nanti.
9. Persediaan mental ketika sepanjang kehamilan dan selepasnya
Bukan sahaja perancangan dan persediaan fizikal, sebenarnya mental Mommy dan Daddy turut penting dalam persediaan untuk menjadi ibu bapa.
Malah, dalam banyak situasi, kesihatan dan persediaan mental memainkan peranan yang sangat penting untuk bertindak sewajarnya.
Di kelas antenatal nanti, topik persediaan mental pun ada ya.
10. Pemakanan bayi dan kanak-kanak
Nanti si comel dah masuk 6 bulan, kenalah bersedia untuk memberi makanan tambahan kepada mereka selain daripada susu kan?
Eloklah Mommy dan Daddy bersedia awal dengan menambah ilmu tentang pemakanan terbaik untuk bayi dan kanak-kanak di kelas ini.
Banyak juga tips yang akan diajarkan untuk mengelakkan si manja Mommy menjadi picky eater atau develop alergik bila dah besar nanti.
5 Kelebihan Kelas Antenatal
Bila dah tengok antara topik-topik yang Mommy dan Daddy akan pelajari di kelas antenatal nanti, memang tak rugi untuk invest sedikit masa dan wang untuk ke kelas ini kan?
Antara kelebihan kelas antenatal adalah:
- Memberi pendidikan untuk Mommy dan Daddy dalam persediaan menjadi ibu bapa
- Menyediakan dan menguatkan mental dan emosi Mommy dan Daddy untuk menyambut si comel
- Memberi keyakinan kepada Mommy dan Daddy untuk menjadi ibu bapa yang terbaik
- Membantu Mommy dan Daddy untuk memahami teori dan konsep dengan lebih jelas
- Mendedahkan Mommy dan Daddy dengan pengalaman dan ilmu yang lebih mendalam tentang ilmu keibubapaan
Pentingnya Kelas Antenatal Untuk Kebaikan Semua Pihak
Memang kebanyakkan ilmu boleh didapatkan hanya di hujung jari je sekarang ni. Tapi di kelas antenatal ni, Mommy dan Daddy akan belajar dengan lebih jelas dan daripada mereka yang bertauliah.
Untuk kebaikan bersama, apa salahnya luangkan sedikit masa kan?