Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Kelebihan Bulan Rejab Berdasarkan Pendapat Mufti Wilayah Persekutuan

Kelebihan Bulan Rejab Berdasarkan Pendapat Mufti Wilayah Persekutuan

Kredit gambar: istockphoto

Kita selalu diuji dengan datangnya berita palsu yang nampak begitu sahih dan meyakinkan. Antara besarnya fitnah pada berita palsu ini adalah jika berita yang disampaikan itu adalah hadis yang direka atas nama Rasulullah S.A.W.

Setiap kali masuknya bulan Rejab, akan timbul juga isu ini kerana ramai yang berhujah tentang sahih dan palsunya hadis-hadis yang dikongsikan berkaitan dengan bulan Rejab ini.

Benarkah Bulan Rejab Mempunyai Kelebihan Yang Tertentu?

Jadi dalam perkongsian kali ini, berdasarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Motherhood ingin kongsikan serba sedikit tentang penjelasan berkenaan kelebihan bulan Rejab ini.

Dalam sebuah perkongsian oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, telah dinyatakan bahawa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan cenderung dengan pendapat bahawa bulan Rejab tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang khusus daripada hadis yang sahih seperti amalan tertentu. Berikut adalah petikan daripadanya:

kami cenderung untuk mengatakan bahawa bulan Rejab tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang khusus daripada hadith-hadith yang sahih seperti amal ibadat tertentu. Walaupun begitu, ini tidak menghalang seseorang itu untuk melaksanakan amalan seperti berpuasa, solat sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi dengan syarat tidak beri’tiqad (mempercayai) bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu. Ini kerana, bulan Rejab termasuk di dalam bulan-bulan haram yang mana diketahui akan kelebihan bulan-bulan haram berbanding bulan-bulan yang lain.

Pendapat ini adalah berdasarkan pendapat para ulama’ mengenai isu kelebihan bulan Rejab. Antaranya adalah:

#1. Daripada Al-Hafiz Ibn Hajar

“Tidak ada disebut di dalam hadith yang sahih (yang boleh dibuat hujjah) akan kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya, berpuasa daripadanya disebabkan sesuatu perkara yang tertentu dan solat yang khusus.” – Tabyin al-‘Ajab, 9

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

#2. Daripada Imam Ibn al-Qayyim

“Setiap hadith yang menyebut berkaitan puasa di bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu di dalam bulan tersebut adalah satu pendustaan yang direka.” – al-Manar al-Munif, 96

#3. Daripada Imam al-Syaukani

“Tidak ada disebut berkaitan amalan pada bulan Rejab secara khusus di dalam sunnah yang sahih, juga yang hasan dan juga yang dhaif (dhaif ringan). Bahkan, kesemua yang diriwayatkan berkaitannya secara khusus adalah palsu lagi dusta dan teramat dhaif.” – al-Sail al-Jarrar, 297

#4. Daripada Imam Ibn Rejab

“Tidak ada yang sahih pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab yang khusus daripada Nabi SAW dan juga tidak ada yang khusus daripada sahabat Baginda SAW.” – Faidh al-Qadhir, 4:210

Inilah pendapat-pendapat yang menjurus kepada beratnya pendapat Mufti kita. Namun seperti yang dinyatakan juga, walaupun tiada kelebihan khusus daripada hadis sahih, jangan lupa bahawa bulan Rejab adalah satu daripada 4 bulan haram dalam Islam.

Firman Allah S.W.T. dalam Surah At-Taubah, ayat 36:

إنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” – al-Taubah:36

Kredit gambar: istockphoto

Manakala menurut hadis Rasulullah S.A.W. daripada Abi Bakrah R.A.:

الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah S.W.T. menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.” – Riwayat al-Bukhari (4054)

Telah dikatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan dalam bulan-bulan haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain dan sebegitu jua untuk amal soleh. Pahalanya adalah lebih besar jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain.

Kelebihan Bulan Rejab

Kredit gambar: istockphoto

Jika ingin dipastikan, kelebihan bulan Rejab berdasarkan hadis sahih, tiadalah yang khusus tetapi jika ia berdasarkan sebagai salah satu bulan haram, ia sememangnya merupakan satu bulan yang mulia.

InsyaAllah, pada setiap amal ibadat dah kebaikan yang dikerjakan dengan ikhlas pada bulan ini, tentunya akan mendapat ganjaran daripada Allah.

Cumanya, hendaklah kita tidak beriktiqad bahawa ia adalah sunnah dan dilakukan khusus hanya pada bulan ini ya.


Tingkatkan ilmu agama dan kerohanian dengan panduan berguna di SINI.