Amalan bersedekah merupakan antara amalan mulia yang dianjurkan dalam agama. Bukan sahaja agama Islam tetapi juga dalam agama-agama lain. Terdapat banyak kelebihan sedekah yang masih ramai tak tahu. Kali ini, Min nak kongsikan beberapa info penting tentang bersedekah.
Maksud Sedekah
Menurut Muslim Hands, sedekah adalah perbuatan amal yang dilakukan secara sukarela dengan tujuan untuk mendapatkan redha Allah S.W.T. tanpa mengharapkan balasan.
Dalam Bahasa Arab, perkataan Sadaqah (kebenaran) adalah berasal daripada perkataan Sidq (keikhlasan). Ini membawa maksud yang Sadaqah itu merupakan keikhlasan iman dan tingkah laku yang benar/soleh.
15 Kelebihan Sedekah Di Dunia Dan Di Akhirat
Manfaat bersedekah ni, bukanlah hanya untuk penerima tetapi lebih-lebih lagi untuk pemberi sedekah.
Begitu banyak kelebihannya, di dunia dan di akhirat tidak terkira:
#1. Mengubati penyakit
Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W., amalan sedekah dikatakan dapat menyembuhkan penyakit dan mengurangkan derita yang dialami:
“Ubatilah orang yang sakit di antara kalian dengan sedekah.” – HR. Abu Dawud, At Thabarani dan Al Baihaqi
#2. Dimuliakan oleh Allah
Menurut perkongsian oleh Majlis Agama Islam Selangor, Allah S.W.T. memberi keutamaan buat mereka yang sering bersedekah:
“Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.” – Riwayat al-Bukhari
#3. Digandakan pahala
Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261:
مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.
#4. Dihapuskan dosa
Bukan sahaja mengurangkan rasa sakit, malah, antara kelebihan sedekah ini adalah ia turut dikatakan akan menghapus dosa-dosa kita yang telah disertai dengan taubat.
“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” – Riwayat al-Tirmizi
#5. Mendapat naungan di akhirat
Tidaklah ada situasi yang lebih getir tetapi di akhirat kelak. Mereka yang bersedekah adalah antara 7 golongan yang akan mendapat naungan Allah di sana nanti.
“Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.” – Riwayat al-Bukhari
#6. Ada pintu syurga khas untuk orang yang bersedekah
Mulianya amalan ini, Allah telah menciptakan pintu syurga yang khas untuk orang yang suka bersedekah:
“Jika dari golongan yang gemar bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.” (Riwayat al-Bukhari)
#7. Dijauhkan daripada api neraka
Semakin banyak kita bersedekah, insyaAllah semakin kita dijauhkan daripada api neraka:
“Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma.” – Riwayat Ahmad
#8. Mengangkat musibah
Dalam perkongsian oleh Sinar Harian, telah dinyatakan sebuah sabda Rasulullah S.A.W.:
“Bersegeralah bersedekah sebab bala bencana tidak pernah mampu mendahului sedekah. Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala dan bencana dan yang paling ringan ialah penyakit kusta dan sopak.” – Riwayat al-Baihaqi dan al-Tabarani
#9. Pelaburan yang menguntungkan di dunia dan akhirat
Apa yang telah disedekahkan, akan menjadi pelaburan yang menguntungkan buat kita di dunia dan di akhirat. Ia tidaklah akan berkurang tetapi semakin bertambah.
“Dan apa sahaja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki.” – Surah al-Saba, ayat 39
#10. Membersihkan jiwa
Dalam Surah Al-Imraan, ayat 92, Allah S.W.T. telah berfirman:
“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”
#11. Sebagai amalan untuk dimakbulkan doa
Ada sebuah kisah sahih mengenai tiga orang yang mengalami kesulitan untuk keluar daripada gua kerana laluannya ditutupi oleh batu yang besar.
Mereka berdoa meminta pertolongan kepada Allah dengan menyebutkan amalan-amalan terbaik mereka. InsyaAllah, jika di dalam situasi yang sama, sedekah boleh dijadikan antara amalan dimakbulkan doa itu.
#12. Membawa kebaikan kepada masyarakat
Sedekah ini, ia bukan sahaja melalui wang ringgit tetapi melalui pelbagai bentuk:
“Kamu menyingkirkan batu, duri dan tulang dari tengah jalan itu adalah sedekah bagimu.” – Hadis Riwayat Bukhari
Walaupun sekecil-kecil perbuatan baik, ia tetap memberi kebaikan untuk masyarakat.
#13. Cara untuk mendapatkan pahala selepas mati
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, sedekah jariah adalah amalan yang akan memberikan pahala yang berterusan walaupun selepas meninggal dunia.
Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” – Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)
#14. Diangkat darjatnya
Dengan bersedekah, tidaklah akan kurang harta kita tetapi Allah akan mengembalikan yang lebih baik dan mengangkat darjat kita kerananya.
“Tidak akan berkurang harta dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya.” (Riwayat Muslim)
#15. Memudahkan kesukaran hidup
Kesulitan yang dihadapi dalam hidup juga akan dipermudahkan dengan berkatnya amalan sedekah.
Kelebihan Sedekah di Dunia dan di Akhirat
Begitu banyak kelebihan bersedekah kan? Ini hanyalah yang kita diberitahu. Tentunya rahmat Allah itu amat luas, tiada tandingnya.
Jom amalkan untuk bersedekah setiap hari supaya Allah mengurniakan beribu kebaikan buat kita semua.
Rujuk panduan solat, zikir, doa dan ibadah-ibadah lain DI SINI.