Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Kelebihan Membaca Surah Al-Kahfi Setiap Hari Jumaat, Beruntunglah Sesiapa Yang Mendapatkannya!

kelebihan surah al-kahfi

Kredit gambar: istockphoto

Al-Quran merupakan satu petunjuk yang jelas dan nyata. Jika kita berpegang kepadanya, insyaAllah Allah S.W.T. akan membimbing kita ke jalan yang benar menuju redhaNya.

Dalam kalamullah itu, setiap ayat dan surah sebenarnya mempunyai kelebihan yang tersendiri. Termasuklah surah Al-Kahfi yang terkenal dengan surah yang menceritakan perihal Nabi Musa dan Nabi Khidir A.S.

Kelebihan Surah Al-Kahfi

Ini kerana di dalam kalamullah ini, adanya rahsia-rahsia Allah yang tersembunyi daripada pengetahuan umum. Tetapi, ada juga yang dikhabarkan kepada kita kelebihannya melalui hadis kekasihNya, Rasulullah S.A.W..

Marilah kita melihat beberapa kelebihan surah Al-Kahfi ini:

#1. Memberi ketenangan

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

Menurut Aku Muslim, dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim, terdapatnya sebuah hadis yang membicarakan tentang kisah seorang lelaki yang membaca surah Al-Kahfi.

Ketika lelaki ini sedang membacanya, dia melihat ada awan yang sedang melindunginya. Pada ketika itu, di sisinya terdapat seekor kuda yang diikat dengan dua tali. Kerana awan yang semakin menghampirinya itu, kuda itu meronta ingin lari dan menjauhinya.

Lelaki itu kemudiannya berjumpa dengan Rasulullah S.A.W. dan menceritakan kejadian yang dialaminya. Rasulullah S.A.W. berkata, itu adalah ketenangan (as-sakinah) yang turun disebabkan bacaan Al-Quran.

#2. Dipelihara daripada fitnah Dajjal

Sungguh, antara fitnah terbesar yang akan menimpa umat Islam adalah fitnah Dajjal. Kita yang lemah iman ini bukanlah kuat untuk berhadapan dan berlawan dengan fitnahnya.

Ia amat dahsyat dan kerana itulah, kita mesti berusaha untuk menguatkan takwa dan pegangan agama kita.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Darda’, Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

“Sesiapa yang memelihara (iaitu memelihara bacaan dengan sentiasa membaca) 10 ayat pertama surah al-Kahfi, dia akan dilindungi daripada fitnah Dajjal.” – HR Muslim, Abu Daud, An-Nasaie dan At-Tirmizi

Manakala dalam hadis yang lain daripada Abu Darda’ juga, telah diriwayatkan sabda Rasulullah S.A.W.

“Sesiapa yang membaca 10 ayat terakhir surah al-Kahfi, dia akan dipelihara daripada fitnah Dajjal.” – HR Muslim dan An-Nasaie. At-Tirmizi

#3. Disinari cahaya antara dua Jumaat

Kredit gambar: istockphoto

Rasulullah S.A.W. telah pun bersabda:

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah akan menyinarinya dengan cahaya di antara dua Jumaat.” – HR Darimi, An-Nasaie dan al-Hakim

Dalam hadis lain pula:

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, dia akan disinari cahaya antara dia dan Baitul ‘atiq.” – HR al-Hakim dalam al-Mustadrak dan al-Baihaqi dalam Sunan al-Baihaqi

Demikian bukankah merupakan satu penghormatan yang besar buat kita?

#4. Dilindungi daripada penyakit

Bukan itu sahaja, dengan membaca surah Al-Kahfi juga, Allah akan melindungi kita daripada penyakit. Sabda Rasulullah S.A.W.:

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada malam atau siang jumaat, maka diampunkan dosanya hingga Jumaat akan datang; dan 70 ribu malaikat memohon rahmat kepada Allah hingga waktu Subuh; dan dijauhkan Allah dari terkena wabak penyakit demam panas atau taun; penyakit sopak; dan dijauhkan dari fitnah Dajjal.”

#5. Mendapat rahmat Allah S.W.T.

Kredit gambar: istockphoto

Menurut hadis yang dikongsikan di atas juga, kita akan dipohonkan oleh malaikat kepada rahmat Allah sehingga waktu Subuh.

Kelebihan Surah Al-Kahfi

Yang dikongsikan di atas hanyalah antara beberapa kelebihan surah Al-Kahfi yang dikhabarkan kepada kita sahaja. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.

Dengan rahmat dan kasih sayangNya, Dia boleh berikan apa sahaja ganjaran yang Dia mahukan kepada mana-mana hamba yang dikehendakiNya.

Adalah merupakan tanggungjawab kita untuk berusaha menggapai redhaNya ini dan moga-moga dengan mengamalkan dan menghafal surah Al-Kahfi, redha Allah bersama dengan kita. InsyaAllah.


Rujuk panduan solat, zikir, doa dan ibadah-ibadah lain DI SINI.