Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Kelebihan Surah Al-Mulk, Tengok Hadis Sahih Berkenaan Dengannya

Kredit gambar: istockphoto

Amalan bacaan surah Al-Mulk sememangnya menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita. Bukan sahaja di Malaysia, tetapi di negara-negara Islam yang lain juga.

Amalan bacaan surah ini telah menjadi rutin pelajar asrama sebelum tidur kan? Para soleh terdahulu dan orang-orang alim ternama juga ramai yang mengamalkannya.

Sampaikan, orang tua-tua dahulu ada gelaran lain buat surah Al-Mulk ini iaitu ‘surah taba’.

Kelebihan Surah Al-Mulk, Tengok Hadis Sahih Berkenaan Dengannya

Amalan-amalan orang tua biasanya akan diikuti oleh generasi muda kini. Berkenaan dengan amalan bacaan surah ini, ia adalah suatu amalan yang baik kerana terdapat banyak kelebihan surah Al-Mulk untuk pembaca, pengamal dan penghafaznya.

Sungguh, setiap satu amalan baik kita itu Allah sahajalah yang berhak memberi ganjaran yang bersesuaian. Tetapi berdasarkan hadis-hadis sahih, dapatlah kita fahami serba sedikit secara umum tentang kelebihan surah ini:

#1. Memberi syafaat (pertolongan) kepada kita

Dalam perkongsian oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, telah dinyatakan sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A. Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

إِنَّ سُورَةً فِي الْقُرْآنِ ثَلاَثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِصَاحِبِهَا حَتَّى غُفِرَ لَهُ : تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ

Maksudnya: Sesungguhnya surah dalam al-Quran padanya 30 ayat, dapat memberi syafaat kepada seorang lelaki sehingga diampunkan. Ia adalah surah al-Mulk. – Riwayat Ibn Majah (3786)

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

#2. Membantu kita mendapatkan pengampunan

Dalam hadis di atas juga, dapat kita fahami bahawa surah ini boleh membantu kita untuk mendapatkan pengampunan Allah S.W.T. di atas dosa-dosa kita.

#3. Menyelamatkan kita daripada seksa kubur

Melalui sebuah kisah dalam Riwayat Al-Tirmizi (2890), daripada Ibn Abbas R.A.:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : هِيَ الْمَانِعَةُ ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.

Maksudnya: Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca surah al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda S.A.W., surah tersebut adalah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur.

Kredit gambar: istockphoto

#4. Meningkatkan rasa syukur

Dalam surah ini, telah diceritakan tentang ciptaan Allah yang sempurna dan kurniaanNya yang tiada timbang kiranya buat kita.

Ketika kita lalai dan lupa tentang nikmat dari Allah, surah ini mampu menyentuh hati kita dan meningkatkan rasa syukur kepada Allah.

#5. Menjadi peringatan dan pelajaran buat kita

Allah itu Maha Pengasih dan Maha Pemurah. Tetapi haruslah diingat bahawa azabnya juga amat pedih. Surah ini menjadi peringatan buat mereka yang ingkar dan mendustakan Rasul yang datang memberi ingatan dan amaran.

Jika Mommy mentadabburi ayat-ayat surah ini, Mommy akan memahami pelajaran tentang bagaimana buruknya kesan daripada murka Allah yang telah Allah timpakan kepada mereka yang terdahulu.

Dalam kelalaian kehidupan di dunia, surah ini boleh menjadi peringatan buat kita.

#6. Menunjukkan kekuasaan Allah S.W.T.

Erti surah ini sendiri pun bermakna kerajaan/kekuasaan Allah. Jika dilihat pada tafsir ayat-ayat dalam surah ini, telah diceritakan tentang kekuasaan Allah yang begitu besar sehingga di luar jangkauan akal dan minda kita.

Sebagai contoh, penciptaan tujuh petala langit, setiap ceruk bumi, rezeki yang melata di muka bumi dan sekalian makhluknya. Sesungguhnya, Allah itu Maha Halus urusan PentadbiranNya dan Maha Mendalam PengetahuanNya.

Kredit gambar: istockphoto

#7. Mendapat pahala yang berganda

Telah diriwayatkan dalam sebuah hadis, daripada Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah S.A.W. telah pun bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لاَ أَقُولُ الْم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Maksudnya : “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakan yang ألم itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” – Riwayat al-Tirmizi (2910)

Kelebihan Surah Al-Mulk

Jika di dunia, bolehlah kita minta pertolongan orang kalau sakit atau diuji kan? Itu pun dengan sehabis pertolongan pun, mereka tidak boleh memikul sakit kita. Macam mana apabila di dalam kubur? Berseorangan, menghadapi soalan-soalan dari malaikat?

InsyaAllah, dengan berkat amalan bacaan surah Al-Mulk, kita akan terselamat daripada seksa kubur dan dikurniakan ganjaran istimewa daripada Allah.


Dapatkan panduan doa-doa dan ilmu keagamaan yang lain di SINI.