Orang tua-tua selalu berpesan, setiap hari jangan lupa baca surah Al-Waqiah. Jangan tinggal, jadikan amalan harian supaya rezeki lancar.
Hidup senang dan menjemput kekayaan, kena rajin-rajin baca surah Al-Waqiah.
Kelebihan Surah Al-Waqiah – Benarkah Akan Membawa Kekayaan Buat Pembacanya?
Ini adalah berdasarkan kepada beberapa hadis nabi yang Motherhood percaya, memang terkenal dan pernah kita terbaca beberapa kali.
Merupakan salah satu surah dalam Al-Quran, tentunya surah Al-Waqiah ini istimewa dan bagus jika dijadikan amalan:
#1. Mengelakkan kepapaan
Antara hadis terkenal yang membicarakan tentang kelebihan surah Al-Waqiah ialah:
مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَداً
Maksudnya: Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya. – Lihat al-Jamie’ al-Soghir, al-Suyuti (12546)
Hadis ini telah diceritakan oleh Ibnu Mas’ud R.A. Namun hendaklah kita jelas pada statusnya yang dhoif iaitu lemah. Walaupun begitu, telah dijelaskan juga pandangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang cenderung kepada pendapat bahawa adalah harus untuk beramal dan berhajat kepada sesuatu dengan menggunakan ayat Al-Quran sebagai perantara.
#2. Menjemput kekayaan
Ia juga dikenali sebagai ‘surah kekayaan’. Dalam sebuah hadis yang lain, sabda Rasulullah S.A.W.:
سورة الواقعة سورة الغنى، فاقرؤوها، وَعَلِّمُوهَا أَوْلَادَكُمْ
Maksudnya: Surah al-Waqiah merupakan surah kekayaan, maka bacalah ia, dan ajarilah ia kepada anak-anak kamu. – Lihat Fathu al-Qadir li Syaukani, 5/176
#3. Menyedarkan kita daripada kelalaian
Dalam kesibukan hidup di dunia ini, bukankah sering kali kita lupa tentang tujuan asal kita diciptakan iaitu untuk beribadah kepada Allah? Kerana itu, kita telah melupakan yang lain-lainnya seperti janji Allah tentang akan berlakunya hari kiamat.
Dalam surah Al-Waqiah ini, kita akan memahami dengan lebih mendalam tentang dahsyatnya hari itu dan dapat menyedarkan kita yang dalam kelalaian.
#4. Memandu kita untuk berusaha menjadi hamba terbaik di sisi Allah
Telah diceritakan bagaimana bezanya tiga golongan manusia kelak. Yang manakah diberi kemuliaan dan keutamaan dan yang manakah diberi kehinaan? Yang manakan beruntung dan yang manakah di pihak yang rugi?
Dengan nikmat-nikmat dan azab yang dijanjikan, insyaAllah dengan mentadabburi ayat-ayat daripada surah ini, kita akan lebih bersemangat untuk berusaha menjadi hamba yang terbaik di sisi Allah S.W.T.
#5. Meningkatkan keimanan kepada Allah
Ya, memang kita percaya dan beriman kepada hari kiamat dan hari pembalasan Allah. Tetapi apabila dijelaskan secara terperinci dalam surah ini; bagaimana nasib mereka yang beruntung dan bagaimana pula nasib mereka yang dihinakan, sungguh, keimanan kita kepada Allah akan bertambah.
#6. Menunjukkan kekuasaan Allah
Telah diceritakan juga tentang bagaimana besarnya kuasa Allah dalam mencipta yang ghaib dan nyata secara sempurna. Telitilah makna surah ini daripada ayat ke ayat dan Mommy pasti akan merasakan bahawa kekuasaan Allah itu teramat besar yang tidak akan terjangkau oleh akal fikiran kita.
Contohnya, penciptaan syurga, manusia, bumi, tumbuh-tumbuhan, makanan, air dan api.
Kelebihan Surah Al-Waqiah
Yang paling penting dalam mengamalkan dan membaca ayat Al-Quran adalah kesungguhan kita untuk ikhlas dalam melakukannya.
Dalam surah ini juga diceritakan tentang kemuliaan Al-Quran sebagai kitab suci yang diturunkan daripada Luh Mahfuz.
Setakat manakah kita memuliakan dan meyakini kalamullah ini?
Dapatkan panduan doa-doa dan ilmu keagamaan yang lain di SINI.