Al-Quran tidaklah diturunkan tetapi untuk menjadi panduan buat kita. Ia bukanlah seperti kitab-kitab yang lain tetapi penuh dengan kemurahan daripada Allah kerana ia sendiri adalah merupakan mukjizat untuk Nabi Muhammad S.A.W.
8 Kelebihan Surah Ar-Rahman Untuk Pembaca Dan Pengamalnya
Memandangnya sahaja sudah diberikan pahala oleh Allah, apatah lagi jika membaca dan mentadabburinya. Antara surah dalam Al-Quran yang sering menjadi amalan bacaan adalah Surah Ar-Rahman yang membawa erti sifat Allah S.W.T. yang Maha Pemurah.
Dikatakan amalan bacaan surah ini dapat mendatangkan pelbagai manfaat buat pembacanya. Ia bukanlah merupakan dalil atau dinyatakan secara jelas dalam hadis tetapi merupakan amalan mereka yang soleh terdahulu daripada kita.
Semoga dengan usaha kita untuk membaca dan melazimi amalan bacaan surah ini, Allah Yang Maha Pemurah akan membimbing kita ke jalan yang benar.
#1. Mendekatkan diri kita kepada Allah
Ketika membaca surah ini, Mommy akan perlahan-lahan merasakan kedekatan dengan Allah. Bukan sahaja kerana ia adalah kalamullah tetapi surah ini, mengetengahkan sifat-sifat Allah yang tiada cela dan kurniaannya kepada kita, di dunia dan di akhirat kelak.
#2. Memberi ketenangan hati dan fikiran
Dalam menjalani kehidupan yang penuh dengan kepura-puraan dan sarat dengan tipu daya, hati dan fikiran kita senantiasa serabut. Surah Ar-Rahman dapat mengingatkan kita tentang janji dan kemurahan Allah yang tiada tandingnya.
#3. Menghilangkan kerisauan dan rasa was-was
Cuba Mommy baca erti ayat-ayat dalam surah ini. Allah telah menceritakan kurniaanNya yang begitu banyak yang tidak terkira. Apabila kita risau dan rasa was-was dengan rezeki, percaturan hidup kita, bacalah surah ini sambil mentadabbur ayat-ayatnya.
#4. Meningkatkan rasa syukur
Allah telah mengulang berkali-kali dalam surah ini, nikmat Tuhan yang manakah yang kita dustakan? Telah diciptakan manusia dan jin, diajarkan ilmu, diciptanya matahari, bulan dan seluruh alam semesta, alam yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan, lautan dan gunung-ganang; apakah kita lupa dan tidak menyedari semua ini?
Ketika membacanya, kita akan diingatkan dengan semua nikmat yang kita terlupa dan terlepas pandang. Sekali gus, akan meningkatkan rasa syukur kita.
#5. Memperingati diri untuk taat kepada Allah
Walaupun surah ini maksudnya Maha Pemurah, Allah juga mengingatkan tentang peritnya azab seksa dariNya untuk golongan jin dan manusia yang ingkar. Sungguh, pada pemurahnya sifat Allah itu, adilnya juga benar-benar saksama.
#6. Menguatkan keimanan kepada Allah
Telah dijanjikan juga ganjaran yang tiada tanding nikmatnya buat mereka yang takut akan Allah. Akan diberikan syurga yang ada pelbagai jenis pokok dan buah, mata air yang mengalir, dihiasi sutera dan ditemani bidadari yang cantik berseri; untuk golongan ini.
Dengan mengharapkan dan menanti balasan ini, insyaAllah iman kita akan bertambah. Tidak terlihat di mata bukanlah bererti ia tiada. Bukankah Islam itu adalah ‘the religion of faith’?
#7. Menggalakkan kita untuk terus berbuat baik
Sering kali, niat dan usaha baik kita diremehkan oleh manusia. Ya, sebetulnya kita hanya perlu mengharapkan pernghargaan daripada Allah dan bukannya makhluk.
Tetapi dalam naik turunnya iman kita, kita pasti akan terasa kurang dihargai di atas usaha baik kita. Telah dijanjikan oleh Allah dalam surah ini, “Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?”
#8. Meningkatkan tawakal dan keyakinan kita
Adalah lumrah, apabila diuji kita akan goyah keyakinan kita kepada Allah. Sebagai hambaNya yang lemah dan penuh kekurangan, ini bukanlah satu kejian tetapi merupakan pendorong untuk kita bergantung dengan lebih kuat kepada Allah.
Allah telah menceritakan pedih azabnya buat mereka yang ingkar dan indahnya ganjaran buat mereka yang takut kepada Allah. Janjinya pasti dan adil saksama. InsyaAllah, dengan amalan surah ini, tawakal dan keyakinan kita kepada Allah akan meningkat.
Kelebihan Surah Ar-Rahman
Bacalah dan amalkanlah, sebaiknya jika boleh, hafallah surah ini. InsyaAllah dengan sifat Allah Yang Maha Pemurah, akan dikurniakan kepada kita ganjaran di dunia dan di akhirat.
Dapatkan panduan doa-doa dan ilmu keagamaan yang lain di SINI.