Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Kelebihan Surah Yasin – Apakah Status Hadis Mengenainya?

Kelebihan Surah Yasin

Kredit gambar: istockphoto

Dalam pembelajaran, kuliah agama dan perkongsian agama, kita sering didengarkan beberapa hadis mengenai surah Yasin. Ia menceritakan kelebihannnya yang tiada pada surah lain dan fadhilat-fadhilatnya yang tersendiri.

Apakah sebenarnya status hadis-hadis mengenai surah Yasin ni? Apakah sahih? Atau hasan? Ataupun, dhoif dan palsu?

Jom, kita tengok penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai isu ini.

Kelebihan Surah Yasin – Apakah Status Hadis Mengenainya?

Terlebih dahulu, kita singkapkan beberapa hadis yang sering dikongsikan mengenai surah Yasin ini:

Highlighted

Kredit gambar: istockphoto

#1. Hadis pertama

Hadis ini adalah daripada Jundub bin Abdillah R.A., sabda Rasulullah S.A.W.:

مَنْ قَرَأَ يس فِي لَيْلَةٍ ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ غُفِرَ لَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca surah Yasin pada malam hari untuk mencari redha Allah maka akan diampunkan dosanya”. – Riwayat Ibn Hibban, no. hadith 2574

#2. Hadis kedua

Seterusnya, hadis daripada Anas bin Malik R.A.:

إنَّ لِكُلِّ شيءٍ قَلْبًا ، وَإنَّ قَلْبَ الْقُرْآنِ ( يس ) ، مَنْ قَرَأَهَا فَكَأنَّما قَرَأَ القُرْآنَ عَشرَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: “Setiap sesuatu itu mempunyai hati, dan sesungguhnya hati Al-Quran adalah surah Yasin. Barangsiapa yang membacanya maka pahalanya seumpama membaca sepuluh kali al-Quran”.  – Riwayat al-Tirmizi, kitab keutamaan al-Quran, bab keutamaan surah Yasin, no. hadith 2812 dan riwayat al-Darimi, kitab keutamaan al-Quran, bab keutamaan surah Yasin, no. hadith 3282

#3. Hadis ketiga

Daripada Ubaiy bin Ka’ab, dikatakan Rasulullah S.A.W. telah pun bersabda:

مَنْ قَرَأَ يَس يُرِيدُ بِهَا اللهَ ؛ غَفَرَ اللهُ لهُ ، وأُعْطِيَ مِن الأَجْرِ كَأنَّما قَرَأَ القُرآنَ اثْنَتَي عَشرَةَ مرَّةٍ . وأيُّما مَرِيضٍ قُرِئَ عِنْدَه سُورَةُ يس ؛ نَزَلَ عَلَيهِ بِعَدَدِ كُلِّ حَرْفٍ عَشرةُ أَمْلَاكٍ ، يَقُومُونَ بَيْنَ يَدَيْهِ صُفُوفًا ؛ فَيُصَلُّونَ ويَسْتَغْفِرُونَ لهُ ، وَيَشْهَدُونَ قَبْضَهُ وَغَسلَهُ ، وَيتَّبِعُونَ جَنَازَتَهُ ويُصَلُّونَ عَلَيهِ ، ويَشْهَدُونَ دَفنَهُ . وأيُّما مَرِيضٍ قَرَأَ سُورَةَ يس وَهُوُ فِيْ سَكَرَاتِ الموتِ ؛ لَمْ يَقبِضْ مَلكُ الموتِ رُوحَهُ حَتَّى يَجيئَهُ رِضْوَانُ خازِنُ الجنَانِ بِشَربَةٍ مِنَ الجنَّةِ ؛ فَيَشْربُها وَهُوَ عَلَى فِرَاشِهِ ، فَيَمُوتُ وَهُوَ رَيَّانُ ، وَلَا يَحْتَاجُ إِلَى حَوْضٍ مِنْ حِيَاضِ الأَنْبِيَاءِ ؛ حَتَّى يَدْخُلَ الَجنَّةَ وَهُوَ رَيَّانُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca surah Yasin kerana Allah SWT akan diampunkan oleh Allah SWT akan dosanya, akan diberi ganjaran pahala seperti membaca al-Quran sebanyak 12 kali. Begitu juga, apabila dibacakan surah Yasin pada orang yang sakit, akan turun kepadanya setiap satu huruf sepuluh orang malaikat yang akan berdiri di sisinya dalam keadaan berbaris dan para malaikat tersebut akan selawat dan beristighfar kepadanya serta menyaksikan ketika nyawanya diambil dan akan memandikannya. Tambahan pula, akan mengikut jenazahnya serta sembahnyang ke atasnya dan menyaksikannya ketika ditanam. Selain itu juga, apabila dibacakan surah Yasin ke atas orang yang sakit ketika dalam keadaan sakaratul maut tidak akan diambil nyawanya oleh malaikat maut sehingga datang malaikat Ridhuan iaitu penjaga syurga dengan membawa minuman daripada syurga maka orang tersebut akan meminumnya ketika berada di atas katil maka dia pun meninggal dalam keadaan tenang dan orang tersebut tidak mengharapkan lagi telaga daripada telaga nabi-nabi sehingga dimasukkan ke dalam syurga dalam keadaan tenang (bahagia)”.

Kredit gambar: istockphoto

#4. Hadis keempat

Dalam hadis lainnya:

“Sesiapa bersembahyang sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama surah Yasin dan rakaat kedua surah al-Mulk. Allah SWT jadikan setiap huruf cahaya di hadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima buku amalannya di tangan kanannya dan diberi kesempatan untuk membela 70 orang daripada ahli keluarganya tetapi sesiapa yang meragui keterangan ini, dia adalah orang-orang yang munafik”.

Kelebihan Surah Yasin – Pandangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Setelah menilai hadis-hadis yang menceritakan mengenai kelebihan-kelebihan surah Yasin, pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan cenderung dengan pendapat bahawa kebanyakkan hadis ini adalah berstatus dhoif (iaitu lemah) ataupun, palsu.

Namun, hadis yang pertama iaitu hadis daripada Jundub bin Abdillah R.A., dikatakan sahih oleh Ibn Hibban meskipun ia masih berada di dalam perdebatan antara ahli-ahli hadis.

Adalah penting dan sangat dianjurkan untuk kita beramal dan berpegang kepada kelebihan-kelebihan surah-surah dalam Al-Quran.

Tetapi, tidaklah boleh kita berdusta di atas nama Rasulullah dan mestilah kita jelas tentang status-status hadis-hadis mengenainya.

Kredit gambar: istockphoto

Walau bagaimanapun, amatlah dianjurkan untuk kita membaca surah dalam Al-Quran seperti surah Yasin ini. Selain daripada untuk mendapatkan redha Allah, Allah juga telah menjanjikan ganjaran yang begitu banyak kepada pembaca Al-Quran, insyaAllah:

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A., Rasulullah S.A.W. telah pun bersabda:

مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam Al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم ” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. – Riwayat al-Tirmizi, no. hadith 2835

Jom baca kelebihan Surah Ar-Rahman pula!