Selepas melahirkan, rutin harian para ibu akan menjadi padat dengan proses penyusuan dan penjagaan si manja.
Oleh itu, amatlah disarankan untuk para ibu agar melakukan persiapan barangan keperluan bayi anda dalam tempoh kehamilan lagi.
Jika anda merancang untuk melakukannya lebih awal, sebaiknya adalah selepas mengetahui jantina bayi anda.
Berbincanglah dengan pasangan anda dalam mencapai kata sepakat dan sokongan moral. Untuk memudahkan urusan, catat lah hasil perbincangan dan senarai barangan bayi anda.
Usahlah merasakan ianya satu beban dan tanggungjawab yang terpaksa dipikul, malah nikmatilah saat-saat indah membeli belah keperluan si comel anda bersama pasangan.
Peralatan dan Keperluan Bayi
Barangan keperluan bayi secara umumnya boleh dikategorikan dalam lima kumpulan iaitu pakaian, keperluan tempat tidur, keperluan mandian, keperluan menyusu dan keperluan asas.
Pakaian
1. Pakaian di siang hari – para ibu hendaklah memilih pakaian bayi yang sesuai di siang hari terutamanya ketika cuaca panas iaitu pakaian yang diperbuat dari kapas lembut, nipis dan yang menyerap peluh.
Cadangan yang sesuai ialah pakaian yang tekstur fabriknya berlubang dan kuantitinya ialah 5 pasang.
2. Pakaian pada waktu malam – pada waktu malam, pakaian yang sesuai ialah yang menutupi keseluruhan badan bayi anda. Ini sesuai dengan suhu waktu malam yang dingin.
Fabriknya haruslah selesa dan lembut untuk kulit bayi agar waktu tidur bayi anda tidak terganggu. Cadangan kuantiti yang sesuai ialah 5 pasang.
3. Sarung tangan dan kaki – kebiasaannya, ia dijual sepasang bersama pakaian bayi dan para ibu tidak perlu bersusah payah untuk membeli yang lain.
Namun sekiranya anda memilih untuk membelinya secara berasingan, kuantiti yang sesuai ialah 5 pasang.
Jika para ibu mempunyai kekangan kewangan, kuantiti boleh lah dikurangkan. Namun, anda harus memastikan pakaian, sarung tangan dan sarung kaki yang bersih sentiasa tersedia.
Terutama sarung tangan, ia lebih mudah kotor kerana bayi anda mungkin akan selalu bermain dengan mulut dan menghisapnya.
Pakaian pula mungkin akan kerap ditukar kerana terkena muntah atau najis bayi anda.
Buatlah perancangan awal seperti meminjam pakaian bayi dari keluarga terdekat untuk memastikan keperluan bayi anda mencukupi dan penjagaan bayi menjadi lebih mudah.
Keperluan Tempat Tidur
1. Katil bayi – katil bayi yang sesuai ialah katil yang diperbuat dari bahan yang kukuh dan tanpa bucu yang tajam.
Pastikan reka bentuk katil bayi mementingkan keselamatan seperti mempunyai penghadang dan tiada ruang atau potongan yang boleh membuat lengan atau kaki bayi tersepit.
2. Tilam – dalam pemilihan tilam, para ibu mempunyai pelbagai pilihan seperti tilam getah, tilam fiber semula jadi dan tilam berspring.
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Foundation of the Study for Infant Deaths, tilam yang sesuai ialah tilam yang padat, tidak terlalu lembik ataupun terlalu lembut.
Para ibu tidak disarankan untuk menggunakan tilam yang terpakai kerana khuatir ini akan menjejaskan keselesaan dan keselamatan bayi. Pastikan juga tilam bayi sentiasa bersih dari debu hama dan kotoran.
3. Selimut – untuk menentukan kesesuaian selimut bagi bayi anda, faktor suhu hendaklah diutamakan.
Ketika cuaca panas, gunakanlah selimut yang nipis agar bayi anda lebih selesa dan tidak berpeluh secara berlebihan.
Manakala ketika cuaca lebih dingin, pilihlah selimut yang lebih tebal untuk memberi perlindungan yang optimum pada bayi.
Gejala seperti perut kembung akibat terdedahnya pada angin dan suhu dingin dapat dielakkan.
Harus diingatkan, sama ada tebal atau pun nipis, selimut tersebut hendaklah diperbuat dari fabrik yang selesa dan menyerap peluh.
4. Pelapik tilam – para ibu hendaklah membeli sekurang-kurangnya sehelai pelapik tilam yang diperbuat dari getah.
Tujuannya ialah untuk melindungi tilam dari terkena najis dan muntah bayi.
Pelapik tilam yang kalis air akan memudahkan pembersihan dan penyeliaan tempat tidur bayi anda.
5. Kelambu – untuk mengelakkan gigitan nyamuk dan serangga, penggunaan kelambu adalah amat disarankan.
Namun, pemasangan dan penggunaannya haruslah dipantau rapi untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Pilihlah kelambu yang nipis supaya tidak menyekat pengudaraan dan kuat fabriknya agar tidak mudah terkoyak dan tahan lama.
Keperluan Mandian
1. Besen – pilihlah reka bentuk besen yang sesuai dengan saiz badan bayi anda. Ia hendaklah diperbuat dari plastik yang kukuh dan tahan panas.
2. Sabun mandian – selain menjimatkan, sabun mandian yang boleh juga digunakan sebagai syampu akan memudahkan proses mandian bayi.
Hanya dengan dua tiga picit, anda dapat membersihkan seluruh badan bayi anda dari kepala hingga kaki. Sabun ini biasanya dilabel ‘head to toe’ pada pembungkusannya.
3. Tuala bayi – untuk mengeringkan badan bayi, pilihlah tuala bayi yang lembut dan cepat menyerap air.
Agar tidak timbul sebarang tindak balas negatif pada kulit bayi, tuala bayi haruslah sentiasa ditukar dan dijaga kebersihannya. Cadangan kuantiti yang sesuai ialah 3 helai.
Keperluan Menyusu
1. Botol susu – walaupun anda merancang untuk menyusu bayi anda secara terus, anda hendaklah membeli sekurang-kurangnya 3 botol susu, sebaiknya anti kolik dan BPA free.
Walaupun tidak digunakan untuk penyusuan susu formula, anda boleh menggunakannya untuk penyusuan susu perahan dada anda.
2. Puting – pilihlah puting yang sesuai berdasarkan saiz dan kadar alirannya. Semakin meningkat usia bayi, semakin meningkat saiz dan kadar alirannya.
3. Berus botol – untuk membersihkan botol dan puting dengan baik, para ibu haruslah menggunakan pemberus botol yang efektif. Pilihlah yang mana dirasakan cocok dengan saiz dan bentuk botol susu bayi anda.
4. Pam susu – jika para ibu bercadang untuk memberikan susu perahan pada bayi, terutamanya para ibu yang bekerjaya, anda harus mempunyai sekurang-kurangnya satu pam susu.
5. Alat steril – mungkin dalam kekerapan seminggu sekali, para ibu perlu mensteril barangan penyusuan bayi untuk kebersihan menyeluruh.
Pilihlah kaedah mensteril yang sesuai dengan cara anda dan sediakanlah alatan sterilnya.
Jika para ibu memilih untuk mensteril dengan merebus sehingga mendidih, alatan steril yang perlu disediakan hanya lah sebuah periuk.
Keperluan Asas
1. Pampers – pampers yang sesuai bergantung pada saiz badan bayi anda.
Di pasaran, terdapat lampin pakai buang yang terdiri dari pelbagai saiz seperti XS, S, M, L dan XL.
Kebiasaannya, bayi yang baru lahir sesuai dengan saiz XS dan saiz ini akan meningkat seiring dengan berat dan usia bayi anda.
2. Bengkung bayi – untuk mengelakkan kembung perut akibat terdedah kepada angin, pemakaian bengkung bayi adalah penting.
Pilihlah bengkung yang diperbuat dari kapas dan saiz yang sesuai supaya ia tidak mengganggu keselesaan, penghadaman dan pernafasan bayi.
3. Kain lampin – dalam proses penjagaan bayi, kain lampin amatlah diperlukan. Ia mempunyai pelbagai kegunaan seperti untuk membedung bayi, mengelap muntah susu dan sebagai selimut alternatif.
Cadangan yang sesuai ialah 10 helai.
4. Tikar pelapik getah – ketika penukaran lampin bayi, para ibu memerlukan tikar pelapik getah.
Jika bayi anda kencing atau membuang najis pada waktu ini, kerja pembersihan akan menjadi lebih senang.
5. Bedak, losyen dan minyak bayi – kesemua ini diperlukan untuk memberi keselesaan lebih pada bayi. Penggunaan bedak dan losyen akan memberi rasa nyaman dan bau harum pada bayi anda.
Sebelum memakai bengkung bayi, sapulah beberapa titis minyak bayi seperti minyak telon atau minyak kayu putih pada perut dan bahagian belakang badan bayi untuk memanaskannya.
6. Bebola kapas, tisu dan putik kapas bayi – barangan ini diperlukan untuk memudahkan penjagaan bayi.
Sebagai contoh, para ibu akan memerlukan bebola kapas untuk mencuci pusat bayi, tisu untuk mengelap sebarang kekotoran dan putik kapas bayi untuk membersih rongga-rongga bayi.
7. Topi – ketika melakukan aktiviti di luar rumah seperti berjalan di taman, topi bayi diperlukan untuk melindungi kepala bayi anda yang masih lembut dari terdedahnya pada cahaya matahari dan sebarang bahaya.
8. Stokin dan kasut bayi – jika para ibu dan bapa mempunyai peruntukan yang lebih, anda bolehlah membeli stokin dan kasut bayi untuk memberi gaya lebih pada bayi anda.
9. Kain sandang – kain sandang diperlukan untuk menyenangkan aktiviti di luar rumah. Pilihlah kain sandang yang mampu menampung berat bayi anda dengan elok dan juga yang memberikan keselesaan kepada anda.
10. Kereta sorong – selain kain sandang, dengan menggunakan kereta sorong, anda tidak lagi perlu untuk mendukung bayi anda sepanjang masa.
Pilihlah kereta sorong yang kukuh secara keseluruhannya dan yang memberikan keselesaan ideal pada bayi anda.
11. Beg keperluan bayi – para ibu memerlukan sebuah beg untuk meletakkan segala barangan bayi ketika berada di luar rumah. Beg yang mempunyai banyak poket dan ruangan pelbagai saiz adalah disarankan.
12. Kerusi keselamatan bayi – untuk para ibu dan bapa yang kerap menaiki kereta bersama bayi, kerusi keselamatan bayi adalah amat penting.
Selain untuk menjaga keselamatan bayi anda, ia juga dapat memberikan keselesaan pada bayi ketika berada di dalam kereta. Pilihlah yang sesuai dengan umur dan saiz badan bayi anda.
13. Bakul penyimpanan – segala keperluan bayi perlu disimpan dengan elok untuk memastikan kebersihannya.
Penyimpanan barangan kelengkapan bayi dalam bakul atau kotak penyimpanan (storage box) akan lebih memudahkan urusan para ibu.
Anda tidak lagi perlu untuk menghabiskan masa mencari barangan bayi kerana kesemuanya disimpan di tempat yang sama.
Keperluan Emosi dan Mental Bayi
Dalam menyediakan kelengkapan bayi anda, bukan sahaja keperluan fizikal yang penting.
Para ibu dan bapa haruslah sentiasa memberikan belaian, perhatian dan kasih sayang sebanyak yang boleh pada bayi supaya keperluan emosi mereka mencukupi.
Bayi yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang kebiasaannya akan membesar menjadi seorang yang stabil mentalnya.
Sentiasalah membacakan surah-surah al-quran dan doa-doa yang sesuai pada bayi anda sejak awal kelahiran lagi.
Dalam menyediakan kelengkapan barangan bayi anda, faktor utama yang harus diutamakan ialah keselesaan dan kesesuaian barangan pada bayi.
Barangan yang mahal sebagai contoh, tidak semestinya terjamin mutunya. Reka bentuk yang menarik juga tidak semestinya mampu memberikan keselesaan kepada bayi.
Lakukanlah pemerhatian dan kajian terhadap barangan bayi dan pilihlah yang mana anda rasa yang terbaik untuk si comel anda.
Dapatkan keperluan bayi pada harga termurah hanya di Motherhood.com.my!