Ibu, Bayi & Kanak Kanak

7 Perkara dan Aktiviti Yang Mengimbau Kenangan Raya Zaman Dahulu 

Perkara dan Aktiviti Yang Mengimbau Kenangan Raya Zaman Dahulu 

Hari raya aidilfitri adalah hari kejayaan dan kegembiraan buat umat Islam. Berpakaian baru, masak masakan istimewa, menyambung silaturrahim; begitu banyak momen indah.

Bila zaman berubah, cara kita meraikan hari raya pun berubah. Terutamanya dengan situasi pandemik yang melanda seluruh dunia sekarang, lagi lah terasa rindu dengan cara sambutan hari raya zaman dahulu.

7 Perkara dan Aktiviti Yang Mengimbau Kenangan Raya Zaman Dahulu 

1. Kad raya

Highlighted

Kredit gambar: sinarharian.com.my

Mommy ingat tak di bulan puasa pada zaman dahulu, kita saling menghantar kad raya untuk yang tersayang? Untuk ibu bapa, adik-beradik, kawan-kawan, teman istimewa, jiran tetangga dan sanak saudara. Kalau boleh, dekat semua orang kita nak hantar. Yang menerima pun turut rasa seronok dan dihargai!

Terutamanya jika Mommy berpuasa di perantauan ataupun tak balik raya, memang wajiblah hantar kad raya untuk keluarga sebagai pengubat rindu, melepaskan rasa di jiwa.

Design kad raya ada banyak jenis, macam-macam. Ada yang ringkas, ada yang penuh dengan gambar kartun, ada yang sarat dengan pelbagai ilustrasi seperti masjid dan pelita, ada yang ada musik, ada juga yang dicetak dengan tulisan, kata-kata indah dan pantun dan bermacam lagi.

Bergantung kepada siapa kita nak bagi, pilihan kad raya untuk lain orang memang lain kan? Masa bulan puasa inilah kita saling berlumba, siapa yang dapat kad raya paling banyak. Semangat betul tunggu posmen hari-hari.

Di pagi raya, kad-kad ini digantung sebagai hiasan meraikan hari perayaan. Lepas tu disimpan sebagai kenangan yang dibaca berulang-ulang kali.

Ada lagi tak simpanan kad raya sebelum ni? Kalau sekarang, dah bertukar ke SMS dan pesanan melalui WhatsApp dah.

2. Sampul duit raya

Terutamanya di kalangan kanak-kanak, akan bertandinglah siapa yang dapat sampul duit raya paling banyak dan paling cantik. Design sampul duit raya pun penting ya.

Kalau tengok kawan kita tu dapat sampul duit raya yang unik, dia seorang je dapat, memang tak senang duduk kan? Kita pun nak juga, usaha kumpul sampul duit raya.

Sanggup tu minta dengan orang tua sampul duit raya kalau ada lebih. Bukan duit raya je yang berharga, sampulnya pun. Lebih-lebih lagi kalau ada cetakan kartun yang kita suka ke, daripada syarikat yang terkenal ke, dah habis raya pun masih simpan!

3. Pasang pelita

Kredit gambar: hmetro.com.my

Ini bukan pada malam raya je. Biasanya seminggu sebelum raya pun orang kampung dah mula memasang pelita di sekeliling rumah sebagai persiapan untuk menyambut aidilfitri.

Budak-budak nak main mercun pun senang, orang tua nak menggulai pun ada sumber api. Pemandangan di halaman rumah yang dikelilingi pelita memang kelihatan begitu indah di malam hari. Balik je dari terawih di masjid, rasa seronok je tengok.

Memang terasa sangat suasana nak raya!

4. Takbir dari rumah ke rumah

Sekarang, pada malam raya, imam di masjid akan bertakbir melaungkan keagungan Allah S.W.T. Tetapi pada zaman dahulu, orang-orang kampung akan berkumpul dan mengelilingi seluruh kampung dari rumah ke rumah, bertakbir bersama-sama.

Dalam merendahkan diri sebagai hamba, semangat raya akan membuak-buak ketika ini. Kanak-kanak pun turut sekali, melawat rakan-rakan mereka.

Tanpa disedari, kita sebenarnya sedang mengeratkan hubungan sesama orang kampung. Saling bersatu-padu dan saling mengingati.

Pada waktu inilah, sama-sama kita menyantuni orang kampung untuk datang beraya ke rumah kita kan?

5. Pengumuman raya

Kredit gambar: astroawani.com

Walaupun sudah ada anggaran tarikh hari raya, telah menjadi tradisi rakyat Malaysia untuk menunggu pengumuman hari raya di malamnya.

Memang bersorak bila mendengar esok nak raya. Lagilah bersemangat! Ada yang kalut menggosok baju raya, siapkan juadah untuk keesokkannya, kemas apa yang patut dan tak dilupakan, bermain mercun dan bergembira bersama keluarga, sanak-saudara dan jiran tetangga.

6. Pesanan raya

Bagi mereka yang berada di perantauan, ramai yang menghantar pesanan dari jauh. Ada beberapa yang akan terpilih untuk dimuatkan di surat khabar tempatan; ucapan dan gambarnya untuk yang tersayang.

Memang sedih dan pilu. Kita yang tak kenal pun terasa sayu bila baca pesanan raya di surat khabar. Tapi inilah yang lebih mengikat silaturrahim dan menjadi kenang-kenangan di masa hadapan nanti.

7. Buat ketupat

Dari zaman dahulu, ketupat adalah antara juadah wajib di hari raya. Ada yang kosong, ada yang ada kacang, ada juga yang berintikan serunding dan kelapa. Sedapnya makan bersama rendang dan gulai!

Orang dulu-dulu, akan berkumpul beramai-ramai mencari bahan dan menganyam ketupat dalam sehari dua nak raya. Walaupun meletihkan, pengalaman tu terasa begitu seronok. Sambil menganyam, sambil bersembang dan mengeratkan silaturrahim dengan orang kampung.

Kredit gambar: umminani.com

Kenangan Hari Raya Aidilfitri Pada Zaman Dahulu Kala

Segala persiapan raya pada zaman dahulu dibuat dengan sendiri beramai-ramai. Sekarang dah berbeza; banyak juadah, pakaian dan sebagainya yang boleh didapatkan di hujung jari je.

Sebenarnya pengalaman itulah yang berharga dan mengeratkan hubungan sesama kita. Moga dengan perubahan zaman kini, kita masih dapat mentautkan dan mengekalkan kembali keindahan dan kenangan raya dan silaturrahim sesama kita.