Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Keputihan Semasa Hamil Sebenarnya Membahayakan atau Tidak?

Ibu hamil memegang kasut bayi.

Masalah keputihan merupakan sesuatu yang normal yang sering dialami semua wanita.

Namun, tak semua yang tahu dan ambil peduli bahawa keputihan juga sebenarnya membahayakan.

Ramai hanya menganggap keputihan merupakan satu petanda lazim sebelum kitaran haid.

Bagaimana pula keputihan semasa hamil? Bahaya atau tidak?

Teruskan bacaan anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang keputihan, terutamanya semasa hamil.

Highlighted


Apa itu Keputihan?

Berdasarkan informasi yang dikongsikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), keputihan ialah lelehan lendir faraj yang berwarna putih, krim atau kelabu yang keluar daripada faraj wanita.

Wanita yang sudah berkahwin sering berhadapan dengan masalah keputihan berikutan aktiviti seksual.

Jenis-jenis Keputihan

Terdapat dua jenis keputihan, yang mana satu adalah normal dan satu lagi merupakan keputihan yang membahayakan.

  • Keputihan Fisiologis
    • Normal dan tidak menunjukkan gejala penyakit.
    • Berlaku semasa kesuburan dan sebelum haid.
    • Lelehan lendir normal: Berwarna putih atau krim, tidak berbau dan tidak gatal pada bahagian faraj. Lendir adalah sedikit dan berbentuk cecair.
  • Keputihan Patologik
    • Kronik dan menunjukkan tanda-tanda penyakit.
    • Lelehan lendir: Lendir lebih kental, berwarna kuning, kelabu atau hijau, berbau busuk dan menyebabkan kegatalan dan keradangan di bahagian faraj.
    • Berlaku disebabkan jangkitan kuman yang harus dirawat!

Di atas hanya informasi asas mengenai keputihan yang semua wanita harus tahu.

Untuk Mommy yang sedang mengandung tu, disini saya kongsikan fakta mengenai keputihan semasa hamil yang Mommy perlu ambil tahu.

  1. Mengapa berlaku keputihan semasa hamil?

Keputihan sebenarnya bertindak sebagai pembersih semula jadi vagina yang dapat membantu mencegah jangkitan dengan membuang bakteria, membuang sel mati dan juga menjaga tahap pH vagina kita.

Keputihan yang berlaku semasa hamil disebabkan serviks atau leher rahim dan dinding vagina menjadi semakin lembut dan lelehan tersebut meningkat untuk membantu mencegah jangkitan faraj ke rahim.

Selalunya masalah ini akan hilang selepas melahirkan anak.

Sama seperti keadaan biasa, keputihan yang normal semasa hamil ialah keputihan yang jernih atau berwarna putih tanpa menyebabkan rasa gatal atau tidak selesa.

Menurut Pakar Sakit Puan Hospital Columbia Asia Setapak, Dr Herbert Low yang dipetik dari Harian Metro,

Jika lelehan vagina disebabkan jangkitan, risiko kelahiran pramatang serta air ketuban pecah lebih awal daripada sepatutnya. Oleh itu, sentiasa dapatkan nasihat perubatan di fasiliti kesihatan sekiranya anda mendapati lelehan vagina yang tidak normal. Jangkitan biasanya boleh dirawat oleh doktor dengan pemberian ubatan.

Lelehan yang berlebihan hingga menyebabkan Mommy harus menukar pantiliner dengan kerap, gatal, berbau kurang menyenangkan atau bertukar warna, harus diberi perhatian.

Ia mungkin merupakan tanda jangkitan di bahagian faraj Mommy.

Risiko Penyakit Keputihan Ketika Hamil

Sumber: Shutterstock (srisakorn wonglakorn)

Mungkin ada antara kita yang menganggap keputihan tu sesuatu yang normal, tetapi keputihan yang disebabkan jangkitan berisiko membahayakan kesihatan dan kandungan.

Berikut adalah antara penyakit yang mungkin dialami sekiranya anda tidak merawat keputihan lebih awal.

#1 Kesukaran untuk Hamil

Penyakit keputihan yang tidak dirawat lebih awal boleh menyebabkan kemandulan, malah kesukaran untuk hamil.

Sekiranya anda mengalami keputihan akibat penyakit kelamin seperti chlamydia, syphilis atau gonorrhoea, ia berisiko merosakkan saluran peranakan anda!

#2 Kehamilan luar rahim

Kehamilan luar rahim akibat  keputihan berlaku kerana proses persenyawaan berlaku di ruang tiup fallopian atau bahagian luar uterus.

Hal ini kerana ovum yang telah disenyawakan tidak mampu menempel di dinding rahim.

#3 Kelahiran pramatang

Keputihan akibat penyakit chlamydia berisiko menyebabkan kelahiran pramatang kerana selaput kebutan berpotensi pecah sebelum waktunya.

#4 Jangkitan mata

Keputihan yang disebabkan oleh penyakit Gonorea boleh menyebabkan jangkitan mata pada bayi dan boleh mengakibatkan buta.

Penyakit Gonorea adalah penyakit kelamin yang disebabkan oleh bakteria Neisseria Gonorrhoea.

Penyakit ini boleh merebak dari si ibu ke bayi ketika proses kelahiran.

#5 Mengganggu pernafasan bayi

Keputihan yang disebabkan oleh HPV berpotensi untuk menyebabkan gangguan pernafasan dan pencernaan bayi sehingga boleh menyebabkan kematian.

Faktor-faktor Yang Menyebabkan Keputihan

  • Kebersihan

Kebersihan di bahagian sulit wanita harus sentiasa diberi perhatian.

Anda digalakkan untuk mencuci bahagian faraj dengan air bersih dan pastikan ia kering selepas membuang air kecil mahupun selepas aktiviti seksual.

Kelembapan yang ada di bahagian faraj kita boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria dan kulat.

  • Hormon

Ketidakseimbangan hormon dalam badan kita juga boleh menyebabkan keputihan.

Pengambilan ubat, pil perancang keluarga, dan pil pencegah kehamilan juga antara sebab yang menyumbang kepada ketidakseimbangan hormon dalam darah, seterusnya menyebabkan berlaku keputihan.

  • Gaya Hidup

Gaya hidup wanita yang aktif dalam melakukan aktiviti seksual yang tidak sihat juga berisiko untuk mendapat jangkitan pada faraj.

  • Kesihatan

Mereka yang mempunyai penyakit kencing manis, lebih mudah mendapat penyakit keputihan kerana kandungan gula yang tinggi dalam rembesan faraj.

Ini berisiko tinggi dalam meningkatkan pertumbuhan bakteria di bahagian alat sulit kita.

Selain itu, wanita yang mempunyai sistem imunisasi badan yang lemah atau terjejas juga berpotensi untuk mendapat jangkitan faraj.

Untuk mencegah daripada terkena penyakit akibat keputihan, Mommy boleh cuba tips-tips dibawah ini.

Cara-cara Mengubati Keputihan Semasa Hamil

Sumber: Shutterstock (La corneja artesana)
  1. Bersihkan bahagian alat intim kita dengan menggunakan air yang bersih sahaja. Gunakan tuala lembut untuk keringkan bahagian faraj.
  2. Elakkan daripada menggunakan sabun mahupun pembersih faraj yang boleh mengganggu kestabilan pH.
  3. Elakkan daripada memakai seluar dalam yang ketat dan diperbuat daripada kain satin. Sebaliknya, pilih seluar dalam yang diperbuat daripada kapas.
  4. Makan makanan yang segar dan berkhasiat. Kurangkan makan di kedai dan cuba untuk masak di rumah agar kebersihan dan kesegaran makanan terjamin.
  5. Kurangkan pengambilan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.
  6. Minum banyak air putih.
  7. Kerapkan pengambilan yogurt kerana yogurt mempunyai bakteria baik yang membantu mengawal jangkitan dalaman.
  8. Sentiasa tukar tuala wanita semasa haid. Disarankan untuk tukar tuala wanita setiap 2 jam terutamanya ketika darah kotor masih banyak.
  9. Gunakan pantiliner bila perlu sahaja. Bukan setiap hari ya!
  10. Jangan sesekali menggunakan atau meletakkan produk wangian seperti bedak atau semburan di kawasan alat sulit atau celah peha.
  11. Cuba untuk sentiasa lakukan aktiviti yang mengurangkan tekanan dan menenangkan fikiran.
  12. Segera berjumpa doktor sekiranya keputihan anda kelihatan luar biasa atau berlaku tanda-tanda di atas.

Keputihan adalah normal dan berlaku pada semua wanita. Namun, gejala dan komplikasi penyakit keputihan kerana jangkitan adalah berbeza bergantung kepada individu dan tahap hormon.

Ramai yang tidak sedar keputihan boleh menyebabkan penyakit pada bahagian alat sulit kita.

Sumber: Google (Reader’s Digest)

Sebagai wanita, kita harus lebih peka dan sentiasa menjaga kebersihan dan gaya pemakanan.

Sentiasa bersihkan pakaian, tuala, dan tempat tidur. Makan makanan yang sihat dan berkhasiat.

Jangan sesekali cuba untuk makan makanan yang pelik semasa mengandung.

Makanan tambahan pun harus rujuk pada yang pakar dahulu sebelum mengambilnya kerana kita tak tahu kesannya pada kandungan dan diri sendiri.

Amalkan gaya hidup yang lebih sihat dan selamat agar kurang keputihan semasa hamil demi kehidupan yang bahagia dan harmoni.