Ibu, Bayi & Kanak Kanak

8 Cara Hilangkan Kerak Kepala Bayi Yang Paling Senang Dan Berkesan

kerak kepala bayi

Kredit gambar: jihandavincka.com

Kelahiran cahaya mata adalah satu perkara yang paling ditunggu-tunggu oleh pasangan yang mendirikan rumah tangga. Oleh itu, perkara pertama yang perlu dititikberatkan sejurus kelahiran si manja ini ialah penjagaan bayi baru lahir.

Ini termasuklah penjagaan kesihatan dan kebersihan bayi. Antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam penjagaan kebersihan bayi baru lahir ini ialah kebersihan kepala bayi terutamanya kerak kepala bayi yang mana ibu bapa di luar sana sering terlepas pandang.

Tetapi apakah kerak kepala dan tips atau cara untuk menghilangkan kerak kepala bayi? Ketahui dengan lebih lanjut mengenai apakah kerak kepala bayi dan bagaimana cara untuk menghilangkan kerak kepala bayi melalui perkongsian di bawah ini.

Jom lihat!

Apa Itu Kerak Kepala Bayi?

Kerak kepala bayi atau cradle cap atau nama saintifiknya seborrheic dermatitis ini ialah keadaan kulit kepala bayi yang kering dan teksturnya menyerupai kelemumur orang dewasa.

Cradle cap ini jika dilihat seperti bersisik, sedikit berbau dan terjadi secara berkelompok. Kerak kepala bayi ini sering terjadi kepada kebanyakan bayi yang baru lahir.

Bagaimana Kerak Kepala Bayi Ini Terjadi?

Ianya terjadi disebabkan oleh penghasilan minyak yang berlebihan pada bahagian kepala bayi yang kemudiannya mengering dan mengelupas.

Selain itu, terdapat juga pendapat yang berpendapat cradle cap ini hadir disebabkan oleh hormon berlebihan yang diterima oleh bayi dari ibu semasa dalam kandungan.

Adakah Kerak Kepala Bayi Ini Berbahaya dan Boleh Mengganggu Kesihatan Bayi?

Kerak kepala bayi ini sebetulnya adalah normal berlaku kepada bayi baru lahir namun jika dibiarkan dan tidak dibersihkan dengan sebaiknya boleh menyebabkan jangkitan kepada mereka.

Kerak yang nipis boleh menjadi semakin menebal sekiranya tidak kerak tersebut tidak dibersihkan dengan betul.

Ini antara lain boleh menyebabkan rasa yang tidak selesa kepada bayi, gatal, menyebabkan bau yang kurang menyenangkan dan perkara yang lebih teruk boleh terjadi iaitu jangkitan atau radang.

Tips Hilangkan Kerak Kepala Bayi

Highlighted

Kredit gambar: nakita.grid.id

#1. Cukur atau Pendekkan Rambut Bayi

Cara yang pertama yang boleh digunakan oleh Mommy dan Daddy untuk menghilangkan kerak kepala si manja adalah dengan mencukur atau memendekkan rambut bayi.

Sekiranya si comel anda mempunyai rambut yang tebal ini menyukarkan penjagaan kulit kepala kerana rambut yang tebal menghalang pandangan dan sukar untuk dibersihkan.

Dengan cara mencukur dan memendekkan rambut akan membantu Mommy dan Daddy untuk mengurus dan membersihkan kerak kepala pada bayi anda menjadi lebih mudah.

#2. Gunakan Minyak

Kredit gambar: www.medicalnewstoday.com

Selain itu, Mommy dan Daddy juga boleh menggunakan minyak rambut bayi untuk mencuci kerak kepala bayi anda. Antara minyak yang boleh digunakan ialah minyak rambut bayi apa-apa jenama atau anda juga boleh gunakan minyak kelapa dara.

Caranya adalah dengan letakkan minyak pada kulit kepala si manja anda lalu gosok dengan lembut menggunakan tuala lembut. Biarkan selama 20 ke 60 minit. Kemudian, berus dengan lembut menggunakan berus bayi.

Pastikan Mommy dan Daddy melakukannya dengan perlahan dan lemah lembut bagi mengelakkan bayi anda merasa sakit. Tidak dinafikan kita akan merasa geram apabila melihat kerak yang banyak, tetapi sekiranya anda melakukannya dengan kasar risau bayi anda berasa tidak selesa.

Elakkan dari menggunakan minyak yang mengandungi kekacang kerana dikhuatiri anak anda mempunyai alahan terhadap kacang.

#3. Cuci Rambut Bayi Dengan Syampu

Kredit gambar: id.theasianparent.com

Antara kaedah lain yang boleh digunakan adalah dengan mencuci rambut bayi dengan menggunakan syampu. Semasa memandikan bayi anda jangan lupa untuk mencuci rambut mereka dengan syampu bayi. Jangan pula anda guna syampu anda.

Pastikan syampu yang digunakan selamat dan sesuai untuk bayi. Hal ini kerana, ianya boleh membantu untuk kerak-kerak tersebut menjadi longgar dan mudah untuk dibersihkan. Sebolehnya, selalulah basuh rambut anak anda dengan menggunakan syampu bagi membantu masalah kerak kepala

#4. Gunakan Sikat atau Berus

Kredit gambar: review.bukalapak.com

Selain itu, cara lain yang boleh digunakan ialah dengan menggunakan sikat atau berus lembut untuk menanggalkan kuping kerak tersebut.

Namun, harus diingat supaya sentiasa berlemah lembut semasa menggunakan sikat atau berus ini risau ianya boleh mencederakan bayi atau mendatangkan ketidakselesaan kepada bayi.

Bagaimana nak gunakan sikat atau berus ini? Sebelum anda boleh menyikat atau memberus kepala bayi anda pastikan kuping-kuping tersebut telah longgar setelah meletakkan minyak pada kepala bayi.

Ini kerana, jika tidak kerak sukar untuk ditanggalkan. Pastikan berus yang anda gunakan itu mempunyai berus yang halus dan lembut.

#5. Elakkan Pemakaian Topi

Kredit gambar: 30seconds.com

Tidak dinafikan bayi akan terlihat sangat comel semasa memakai topi namun, memakaikan bayi anda dengan semasa mereka mempunyai masalah cradle cap ini adalah sesuatu yang salah. Ini kerana, semasa memakai topi kepala bayi anda akan menjadi lembap dan berpeluh.

Hal ini boleh menyebabkan kulit kepala menjadi gatal serta menimbulkan keradangan. Sebolehnya, buat sementara waktu jangan pakaikan topi kepada anak anda dan biarkan kulit kepalanya sentiasa kering dengan suhu bilik.

#6. Jangan Letakkan Bedak

Kredit gambar: honeypicks.co

Cara lain yang boleh Mommy dan Daddy lakukan untuk menghilangkan kerak ialah jangan letakkan bedak di kepala atau kawasan berhampiran dengan kawasan yang mempunyai masalah kerak kepala. Contohnya, di bahagian kening atau telinga.

Hal ini kerana, ianya boleh menyebabkan bedak terkumpul pada kawasan berkerak.

#7. Jangan Korek/Menggaru Kuping atau Kerak Kepala Bayi

Semasa proses memandikan atau membersihkan kulit kepala si manja, terdapat satu perkara yang harus diingat oleh Mommy dan Daddy iaitu jangan sesekali mengorek kuping atau kerak tersebut. Hal ini kerana, kulit bayi sangat lembut tidak seperti orang dewasa.

Perbuatan mengopek dan menggaru kerak kepala adalah sangat bahaya. Ianya bukan sahaja akan menyebabkan anak anda tidak selesa malah akan membuatkan kulit kepala mereka luka yang kemudiannya boleh mendapat jangkitan. Kesian bayi anda.

Apatah lagi jika menggunakan kuku. Jadi, ibu-ibu harus tahan rasa geram yang membuak tu tau!

#8. Dapatkan Krim Khusus

Kredit gambar: gaiaskinnaturals.com

Cara terakhir yang boleh digunakan ialah dengan mendapatkan krim khusus. Tetapi, krim ini tidak boleh didapati dengan sesuka hati.

Seeloknya dapatkan pendapat atau pandangan dari doktor anda terlebih dahulu sebelum membeli krim untuk cradle cap bayi anda.

Doktor akan membantu dari segi memberi nasihat untuk rawatan atau memberi krim yang bersesuaian sekiranya perlu.

Selalunya, doktor hanya akan mempreskripsikan krim anti-fungus untuk membantu masalah ini bagi kes-kes yang teruk sahaja di mana kerak kepala telah menjadi radang atau telah mendapat jangkitan.

Kerak kepala bayi ini nampak seperti perkara yang remeh namun mampu menjadi satu perkara yang besar sekiranya tidak dijaga dengan betul.

Biarpun kerak kepala bayi ini mampu untuk hilang dengan sendirinya dalam tempoh beberapa bulan akan datang namun sebagai ibu dan bapa tidak seharusnya membiarkan cahaya mata yang ditunggu selama ini berada dalam keadaan yang tidak selesa disebabkan hal ini.

Bagi Mommy dan Daddy yang sedang menghadapi masalah kerak kepala bayi ini bolehlah cuba cara yang disebutkan di atas. Semoga membantu!


Dapatkan juga panduan dan tips penjagaan kesihatan yang lain dengan klik di SINI!