Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Penjagaan Keselamatan Kanak-kanak yang Para Ibu dan Bapa Harus Peka

'Sumber: https://www.shutterstock.com/image-photo/happy-asian-male-female-sitting-on-1432325231'

Dalam proses tumbesaran kanak-kanak, mereka akan melalui beberapa fasa perubahan fizikal dan pergerakan jasmani. Secara berperingkat, kanak-kanak akan belajar berjalan, melompat, bergayut dan berlari.

Apabila mereka telah mempunyai kebolehan untuk meneroka dengan kecekapan fizikal yang optimum, ibu bapa hendaklah memberikan perhatian yang lebih kepada perkembangan dan penjagaan keselamatan kanak-kanak. Kanak-kanak yang sihat sememangnya akan sentiasa bermain dan melakukan aktiviti dari semasa ke semasa.

Jadi, ibu bapa usahlah merasa terbeban apabila persekitaran rumah anda bersepah. Akan tetapi, sentiasalah pastikan keselamatan kanak-kanak terjaga.

Di bawah akan dikongsikan beberapa aspek keselamatan kanak-kanak yang ibu bapa harus titikberatkan untuk penjagaan anak-anak yang menyeluruh.

Keselamatan Kanak-kanak di Persekitaran Umum

  • Jauhkan sebarang peralatan elektrik dan yang bervoltan dari anak-anak. Peralatan seperti ini adalah amat merbahaya dan mampu mengakibatkan maut kepada mereka. Terdapat beberapa kes kanak-kanak yang maut akibat terkena renjatan elektrik yang berpunca dari peralatan elektronik seperti pengecas telefon bimbit.
  • Para ibubapa hendaklah menggunakan peralatan ini di tempat yang selamat dari jangkauan kanak-kanak dan sentiasa memastikan anda mencabut plugnya setelah digunakan. Tidak dilupakan, elakkan juga memasang suis pada kedudukan yang rendah. Kedudukan suis dinding adalah antara aspek yang harus dititikberatkan dalam pembinaan dan pengubahsuaian rumah untuk keselamatan keluarga anda.
Highlighted

‘Sumber: https://www.shutterstock.com/image-photo/baby-play-electrical-socket-59780869’
  • Jauhi sebarang ubat-ubatan, bahan beracun dan yang bertoksik dari kanak-kanak. Sebagai contoh, penyembur serangga, minyak panas dan pil. Kanak-kanak kebiasaannya berminat dengan barangan selain dari mainan mereka dan yang kelihatan menarik secara zahirnya. Pil ubatan mungkin kelihatan seperti gula-gula dan kanak-kanak akan cenderung untuk memakannya.
‘Sumber: https://www.shutterstock.com/image-photo/small-child-alone-reaches-out-household-1047359023’
  • Jauhi sebarang alatan tajam dan berat dari kanak-kanak seperti pisau, lesung batu dan alatan berkebun. Psikologi kanak-kanak masih kurang memahami erti bahaya dan tidak peka sepenuhnya dengan bahaya di sekeliling mereka. Ibubapa hendaklah menyimpan peralatan seperti ini di tempat yang sewajarnya untuk mengelakkan sebarang kecederaan pada kanak-kanak.

Persekitaran Bilik Tidur

  • Elakkan penggunaan kelambu di bilik tidur kanak-kanak. Terutama kanak-kanak yang masih kecil, penggunaan kelambu adalah berbahaya kerana ia mungkin tertimpa dan melemaskan mereka. 
  • Pilihlah kerangka katil yang selamat rekaannya dan tanpa bucu yang tajam. Rekaan katil yang sesuai untuk kanak-kanak dapat memastikan keselamatan mereka ketika tidur dan bermain di sekitarnya.
  • Elakkan memilih perhiasan yang tidak sesuai di bilik tidur kanak-kanak. Ketika menghias bilik tidur mereka, pilihlah barangan yang diperbuat dari plastik keras dan elakkanlah barangan yang diperbuat dari kaca, besi yang tajam dan berat. Pergerakan kanak-kanak yang aktif di usia ini lebih mendedahkan mereka pada bahaya barangan di persekitaran mereka.
‘Sumber: https://www.shutterstock.com/image-photo/plush-toy-pillow-on-white-round-719919214’
  • Elakkanlah pemasangan pintu yang berkunci di bilik tidur kanak-kanak. Pastikan anda boleh keluar masuk bilik tidur mereka pada bila-bila masa sahaja. Pintu yang boleh dikunci adalah bahaya jika terkunci dari dalam ketika mereka berada di dalamnya.
‘Sumber: https://www.shutterstock.com/image-photo/asian-18-months-1-year-old-1022413102’

Persekitaran Bilik Air

  • Hindarkan dari menadah air di dalam baldi atau besen di bilik air. Kanak-kanak yang masih kecil terutamanya tidak dapat lagi untuk mengimbang dan mengawal badan mereka dengan stabil. Terdapat sudah beberapa kes kematian yang terjadi pada kanak-kanak kerana lemas terjatuh di dalam baldi/besen berisi air.
  • Pastikan lantai di bilik air tidak bersabun dan tiada takungan air. Kebiasaannya, kanak-kanak gemar bermain air dan lantai bilik air yang bersabun dan bertakung air adalah merbahaya untuk keselamatan mereka. 
  • Hindari dari membiarkan anak-anak anda berada di bilik air bersendirian. Sehinggalah mereka mampu mandiri, para ibu dan bapa hendaklah sentiasa menemani dan membantu anak-anak ketika menguruskan diri mereka di bilik air untuk mengelakkan sebarang kecelakaan. 
‘Sumber: https://www.shutterstock.com/image-photo/father-training-sleepy-son-use-toilet-1126927298’

Keselamatan Seksual

Harus diingatkan, bukan sahaja keselamatan fizikal kanak-kanak yang penting. Akan tetapi, aspek keselamatan yang lain seperti keselamatan seksual adalah turut sama penting dalam memastikan penjagaan keselamatan kanak-kanak yang komprehensif. 

  • Ajarkanlah pembelajaran seks pada kanak-kanak. Para ibu dan bapa serta pendidik harus memberi kesedaran kepada kanak-kanak tentang kepentingan pembelajaran seks dalam kehidupan mereka. Penyampaian yang menyeluruh tentang pendidikan seks dapat mempersiapkan mereka untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan membantu mengelakkan kanak-kanak dari menjadi mangsa seksual. Antaranya:1. Menjelaskan dengan terperinci tentang perkembangan tubuh mereka dan fungsinya. Ajarkanlah nama sebenar alat sulit mereka dan bukannya memberi nama samaran seperti ‘burung’ dan sebagainya. Sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku, kanak-kanak dapat berkomunikasi dengan efektif dalam menjelaskan sesuatu peristiwa.
    2. Menjelaskan kepada kanak-kanak tentang anggota badan mereka yang eksklusif. Amat penting untuk kanak-kanak memahami bahawa orang asing selain dari ibu dan bapa mereka tidak boleh menyentuh mereka sesuka hati terutamanya di bahagian sulit. Walaupun ibu dan bapa mereka sendiri, hak mereka tetap terbatas. Sebagai contoh, para ibu dan bapa tidak boleh mencium mulut kanak-kanak dan hendaklah mengajar mereka bahawa ianya penting untuk orang di sekelilingnya menghormati dan menjaga batas dengan mereka walaupun masih kecil.
    3. Mengajarkan kanak-kanak perbuatan yang sewajarnya dilakukan jika berlaku perkara yang tidak diingini. Sebagai contoh, jika terdapat sesiapa yang cuba memegang mereka dan berkeras, ajarkan anak-anak anda untuk menjerit memanggil nama anda. Beberapa pergerakan untuk mempertahankan diri juga merupakan antara yang seharusnya diperkenalkan kepada mereka. 
  • Ajarkan pemakaian fesyen yang sesuai dan sopan kepada kanak-kanak. Golongan yang bernafsu kepada kanak-kanak teramat menyukai kanak-kanak yang berpakaian mendedahkan anggota badan mereka. Meskipun bagi manusia kebiasaan, hal yang sedemikian kelihatan comel, tetapi ianya merbahaya pada mereka. 
  • Elakkan mendedahkan maklumat dan gambar kanak-kanak di media sosial. Ini hanya akan memberi kesempatan dan meningkatkan kemungkinan berlakunya penganiayaan seksual kanak-kanak. Para ibu dan bapa hendaklah berpada-pada dalam berkongsi kegembiraan anda untuk keselamatan keluarga anda. 
  • Berikanlah perhatian lebih kepada kanak-kanak ketika di tempat awam. Di keramaian sebagai contohnya, para ibu dan bapa haruslah menjaga anak-anak dengan pemerhatian yang rapi. Terdedahnya mereka dengan pelbagai golongan manusia, penjagaan keselamatan mereka haruslah diperketatkan.

Penjagaan keselamatan kanak-kanak bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng oleh para ibu, bapa dan pendidik. Kanak-kanak masih tidak mempunyai kemahiran untuk menjaga diri mereka dengan sebaiknya dan memerlukan bantuan dari orang dewasa. Bekalkanlah ilmu dan kemahiran yang secukup dan sewajarnya kepada kanak-kanak untuk kebaikan bersama. 

Dapatkan barang keperluan ‘safety kit’ untuk anak-anak anda di Motherhood.com.my.