Kunyit memang bukan bahan asing lagi dalam dapur kebanyakan rumah di Malaysia. Kunyit adalah rempah yang berasal dari akar kunyit. Selain daripada digunakan dalam masakan, ia juga telah digunakan untuk perubatan sebagai antioksidan dan anti-radang selama beribu-ribu tahun sebelum ini.
Tapi pernah tak Mama dengar tentang air kunyit? Air kunyit kunyit adalah salah satu cara pengambilan kunyit yang popular. Ia mempunyai rasa yang unik tetapi tidak terlalu kuat. Air kunyit merupakan salah satu cara terbaik untuk meraih manfaat dan khasiat kunyit.
10 Khasiat Air Kunyit Yang Diketahui
1. Meringankan Gejala Arthritis
Sifat anti-radang kuat air kunyit boleh membantu meredakan keradangan dan bengkak pada penghidap arthritis. Ini dapat mengurangkan gejala yang menyakitkan bagi pesakit tersebut. Satu kajian mendapati bahawa sebatian aktif dalam kunyit yang dipanggil curcumin didapati berkesan dalam mengurangkan kesakitan pada pesakit dengan osteoarthritis.
2. Membantu Mencegah Alzheimer
Walaupun banyak kajian masih dijalankan dalam mencari punca penyakit Alzheimer, didapati juga bahawa curcumin yang terdapat dalam kunyit boleh membantu mencegahnya. Antioksidan daripada kunyit mampu menghalang kerosakan yang boleh membawa kepada Alzheimer. Tambahan pula, beberapa kajian telah menunjukkan bahawa kunyit boleh mengurangkan kehilangan penanda sinaptik dan pengumpulan amiloid yang dikaitkan dengan perkembangan Alzheimer.
3. Membantu Mencegah Kanser
Banyak ciri-ciri perubatan air kunyit seperti antioksidan dan anti-radang boleh menyumbang kepada pencegahan kanser. Institut Kanser Kebangsaan Amerika Syarikat juga telah mengiktiraf curcumin dari kunyit sebagai antikarsinogen yang berkesan, iaitu bahan yang dapat membantu mencegah kanser.
4. Meningkatkan Sistem Imun Badan
Ciri-ciri perubatan dalam kunyit juga dikatakan dapat meningkatkan sistem imun, termasuklah bagi individu-individu yang mengalami masalah gangguan imun. Satu kajian mendapati bahawa kunyit boleh mengawal sistem imun dengan berkesan.
5. Menurunkan Tahap Kolestrol
Kalau Mama kerap minum air kunyit, ia dikatakan berkesan untuk menurunkan tahap kolesterol LDL, atau kolestrol yang dianggap ‘kolestrol buruk’. Justeru ini boleh membantu mengurangkan risiko seseorang mengalami beberapa masalah kesihatan yang serius, termasuklah penyakit jantung dan strok. Terdapat kajian yang mendapati bahawa dos curcumin yang rendah dikaitkan dengan penurunan tahap LDL dan jumlah kolesterol.
6. Membantu Merawat ‘Uveitis‘
Masalah kesihatan ‘uveitis‘ amat jarang didengar, tapi kalau terjadi tentu Mama nak tahu bagaimana untuk mengatasinya. Uveitis adalah masalah kesihatan mata yang menyebabkan keradangan pada iris mata. Beberapa kajian awal telah menunjukkan bahawa curcumin yang terdapat dalam kunyit mungkin berkesan dalam rawatan untuk masalah ini sama kesannya seperti kortikosteroid, tetapi tanpa kesan sampingan negatif lain.
7. Membantu Mengurangkan Masalah Sistem Penghadaman
Beberapa kajian telah mendapati bahawa curcumin boleh membantu mengurangkan masalah yang berkaitan dengan sistem penghadaman atau irritable bowel syndrom (IBS). Kajian mendapati bahawa curcumin membantu mengurangkan masa yang diambil untuk makanan dikosongkan dari perut ke usus kecil, atau dikenali sebagai pengosongan gastrik.
8. Membantu Mengelakkan Kerosakan Hati Dan Batu Karang
Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa curcumin boleh melindungi daripada kerosakan hati. Selain itu, meminum air kunyit juga dapat meningkatkan pengeluaran hempedu cecair penghadaman sementara melindungi sel hati daripada kerosakan daripada bahan kimia yang berkaitan dengan hempedu.
9. Membantu Merawat dan Melegekan Masalah Paru-Paru
Penyelidik telah membuat teori bahawa sifat anti-radang dan antioksidan curcumin boleh membantu mengurangkan gejala masalah paru-paru yang kronik atau berpanjangan. Kajian perubatan baru-baru ini menyimpulkan bahawa walaupun bukti klinikal adalah terhad, curcumin mungkin mampu membantu merawat asma, fibrosis pulmonari dan sistik, kanser paru-paru, dan penyakit paru-paru obstruktif kronik.
10. Mencerahkan Kulit Dan Menaikkan Seri
Kalau diminum setiap hari, menurut petua orang dulu-dulu, minuman ini mampu menaikkan seri wajah dengan mencerahkan kulit dan merawat jeragat. Ia juga dikatakan mampu merawat masalah kulit lain seperti bintik hitam, membasmi kuman jerawat, dan juga melambatkan penimbulan garis halus di wajah.
Cara Menyediakan Air Kunyit
Hebat betul khasiat-khasiat kunyit kan? Siapa sangka bahan yang selalu digunakan dalam masakan seperti sotong goreng kunyit dan gulai masak lemak ini sebenarnya boleh juga diminum begitu sahaja jika dibancuh dengan air.
Air kunyit boleh disediakan sama ada daripada serbuk kunyit tulen atau kunyit kering yang diparut atau dikisar. Terdapat juga produk yang dijual sebagai air atau teh kunyit yand dikatakan mempunyai kepekatan curcumin yang dapat diserap dengan lebih tinggi.
Jika ingin membuat sendiri, jom tengok cara yang mudah untuk menyediakan air atau teh kunyit yang Mama boleh nikmati setiap hari.
Untuk menyediakan air kunyit asas:
- Rebus 4 cawan air.
- Masukkan 1 atau 2 sudu teh kunyit yang dikisar, diparut, ataupun serbuk kunyit asli.
- Biarkan air rebusan mendidih dalam 10 minit.
- Tapis kedalam teko dan biarkan sejuk sedikit sebelum dihidangkan.
Untuk menambah perasa kedalam minuman ini, Mama boleh cuba tambah beberapa jenis bahan seperti berikut:
- Madu untuk memaniskan air kunyit dan juga meraih manfaat madu.
- Susu, krim, susu kacang badam, santan, atau 1 sudu besar minyak kelapa atau minyak sapi untuk membantu penyerapan, kerana curcumin memerlukan lemak sihat untuk larut dengan betul.
- Lada hitam kerana ia mengandungi piperine, iaitu bahan kimia yang membantu menggalakkan penyerapan curcumin dan menambah rasa rempah dalam air kunyit.
- Lemon, limau, atau halia, untuk meningkatkan sifat antioksidan dan antimikrob dalam air kunyit dan juga menaikkan rasanya.
- Asam jawa dan gula merah untuk menambah rasa pada air kunyit.
Air atau teh kunyit secara amnya selamat untuk diambil jika dalam kuantiti yang sederhana. Pengambilan yang terlalu banyak pula mungkin boleh mendatangkan masalah lain, terutamanya jika mempunyai masalah kesihatan yang kronik. Jadi pastikan Mama cuba sedikit dahulu dan pantau kesan sampingannya jika ada, dan dapatkan kelulusan dari doktor jika mempunyai masalah kesihatan tertentu. Semoga bermanfaat.