Ibu, Bayi & Kanak Kanak

11 Khasiat Barli Yang Mengagumkan Untuk Kesihatan Badan Luaran Dan Dalaman

barli

Kredit: Adobe Stock

Bagi sebilangan daripada kita, barli adalah bijirin asas yang sentiasa ada di dalam pantri atau dapur kita.

Ingat tak, bila-bila kita sakit atau demam kecil-kecil dulu, mak atau nenek kita mesti akan sediakan air barli dan mereka akan kata air barli bagus untuk hilangkan demam, kan?

Agak-agak penyataan yang mereka tuntut tu berasas tak, memandangkan Google tidak lagi wujud pada zaman dulu untuk mengesahkannya?

Berasas atau tak, ternyata nenek moyang kita mempunyai firasat tentang kebaikan barli untuk tubuh badan kita.

Jom tengok apa lagi khasiat barli selain baik untuk menyejukkan badan yang demam.

11 Khasiat Barli Untuk Tubuh Badan Anda

#1 Barli Lebih Tinggi Nutrisi Berbanding Bijirin Lain

Barli boleh didapati dalam pelbagai bentuk termasuk biji barli, tepung barli, dan serpihan barli.

Barli mempunyai kalori yang rendah, serat yang tinggi, dan ia penuh dengan vitamin, zat, dan nutrisi penting.

Bagi ibu yang mengandung atau yang merancang untuk mengandung semua ni memang diperlukan sangat untuk kesihatan kedua-dua ibu dan bayi dalam kandungan kan?

Untuk yang menyusu pun memang diperlukan sangat, bukan saja untuk kebaikan bayi, tapi Mommy pun kena top-up balik nutrisi tersebut untuk diri sendiri.

Barli yang bertindak sebagai serat makanan yang sangat efektif mempunyai tahap beta glucan yang lebih tinggi daripada oat, dan kalsium yang lebih tinggi dari beras perang.

Antara bijirin-bijirin lain yang popular, barli juga mempunyai nilai fungsi tertinggi, dengan GI rendah dan beta glucan tinggi, dan mempunyai ciri-ciri antioksidan yang lebih tinggi berbanding bijirin lain.

#2 Barli Boleh Melindungi Daripada Penyakit Kronik

Menurut kajian, barli ada potensi untuk mengurangkan risiko penyakit tertentu, jadi ia amat sesuai untuk individu yang mempunyai masalah kesihatan atau penyakit kronik.

Barli mengandungi flavounoid, iaitu zat dalam bijirin yang dianggap dapat melindungi dari penyakit jantung dan juga kanser.

Barli juga adalah salah satu sumber fitokimia tocols yang mempunyai sifat antioksidan yang berpotensi untuk mengurangkan risiko strok dan fitokimia phystosterols yang dapat mengurangkan kolestrol.

Penyelidik Harvard pula membuat kajian dan mendapati individu yang mengambil bijirin seperti barli untuk sarapan pagi dalam tempoh 19 tahun mempunyai risiko sakit jantung yang lebih rendah.

Nampak tak betapa pentingnya barli sampai banyak betul kajian dah dibuat oleh penyelidik universiti terunggul.

Highlighted


#3 Barli Dapat Membantu Menurunkan Berat Badan

Mommy mesti mencari-cari ada tak khasiat barli yang ini bukan? Ye lah, berat badan memang menjadi isu lepas dah bersalin, bukan untuk nampak cantik saja, tapi berat badan kan berkait rapat dengan kesihatan badan kita.

Siapa yang taknak badan yang sihat supaya senang nak menjaga anak-anak?

Oleh kerana barli mempunyai serat yang tinggi dan beberapa jenis asid amino yang penting, barli dapat memodulasikan kadar gula dalam darah, justeru itu mengelakkan penyimpanan lemak yang berlebihan.

Sekali lagi, berbanding dengan bijirin lain, barli mempunyai kalori yang rendah, dan dapat dijadikan makanan yang mengenyangkan dan membantu Mommy merasa kenyang dengan lebih lama, justeru mengelakkan memakan secara berlebihan.

Barli juga dapat membantu sistem penghadaman dan pencernaan, dan meningkatkan metabolisme. Ia sangat bermanfaat bagi individu yang selalu merasa kembung perut.

#4 Makanan Yang Sesuai Untuk Pesakit Buah Pinggang dan Diabetes

Bagi individu yang mempunyai masalah buah pinggang dan diabetes, barli adalah makanan yang amat sesuai kerana ia melancarkan fungsi buah pinggang dengan berkesan.

Diabetes adalah penyebab utama kerosakan buah pinggang dan penyakit buah pinggang kronik.

Tahap gula darah tinggi dalam jangka panjang menyebabkan kerosakan ginjal dan menjadi punca kreatinin yang tinggi, dan pengambilan barli dapat menurunkan tahap kreatinin tersebut untuk mengawal diabetes dan kerosakan buah pinggang.

Untuk Mommies yang mengandung pula, barli sangat sesuai untuk mengelakkan kencing manis semasa mengandung, atau lebih dikenali sebagai gestational diabetes.

#5 Barli Dapat Meningkatkan Immuniti

Barli  sangat kaya dengan lignan tumbuhan yang baik untuk flora dalam usus, justeru menyokong dan meningkatkan imuniti anda.

Tambahan pula, barli kaya dengan vitamin C yang dapat membantu meningkatkan sistem imun badan kita. Selain itu, barli juga kaya dengan zink yang dapat membantu pemulihan badan.

#6 Kelebihan Zat Besi Dan Tembaga Dalam Barli

Barli mempunyai zat gizi tembaga (copper) yang dapat membantu mengurangkan simptom Rheumatoid arthritis.

Zat gizi tembaga mampu melemahkan free radicals, justeru membantu pertumbuhan semula sel. Zat gizi tembaga juga penting untuk perhubungan kolagen dan elastin yang dapat membantu geseran tulang dan sendi supaya lebih lancar.

Zat besi yang terkandung dalam barli pula dapat meningkatkan jumlah darah, lalu mencegah anemia dan keletihan.

Bagi Mommies yang struggle dengan masalah ni boleh lah consider mengambil barli waktu mengandung atau bila-bila masa sahaja.

#7 Barli Untuk Kecantikan Kulit

Barli yang penuh dengan vitamin C, antioksidan, dan mineral adalah sangat diperlukan untuk kulit yang sihat dan cerah.

Bijirin yang kaya dengan sumber nutrisi penting ini juga terbukti dapat mengurangkan keradangan di dalam badan.

Bukan itu sahaja, barli sangat kaya dengan selenium yang dapat membantu mengekalkan dan memperbaiki keanjalan kulit untuk selalu tampak awet muda.

Siapa yang tak mahu kulit bersih, sihat, dan youthful walaupun usia semakin meningkat, kan? Antioksidan dalam barli juga membantu menghilangkan toksin dari badan, justeru menaikkan seri wajah Mommy.

#8 Dalam Islam, Barli Merupakan Makanan Sunnah

Barli dikatakan telah disebut sebanyak 21 kali dalam hadis-hadis sahih.

Diet Rasulullah SAW dikatakan mengandungi barli, atau nama lainnya dalam Bahasa Arab, talbinah. Sekiranya barli menjadi salah satu sunnah Rasulullah SAW, tentu banyak kebaikannya kan?

Dalam satu riwayat dalam dari Imam Ahmad yang bermaksud:

Aisyah RA telah berkata, “Adalah Nabi SAW apabila diberitahu kepadanya bahawa seseorang telah sakit dan tidak memakan makanan, lalu bersabda Rasulullah SAW ‘hendaklah kamu menyediakan talbinah dan berilah minum talbinah itu kepadanya,””

(diriwayatkan oleh Imam Ahmad)

Mungkin dari situlah mak-mak dan nenek moyang kita ketahui tentang kebaikan barli untuk menyejukkan badan bila demam. Boleh tahan juga dapat informasi bernas dan sahih tanpa Google dulu-dulu ya?

#9 Barli Mampu Merawat Jangkitan Saluran Kencing atau UTI

Jangkitan saluran kencing, atau lebih dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai UTI (Urinary Tract Infection) adalah sangat biasa didapati kaum wanita.

Nak tahu macam mana barli dapat membantu?

Barli adalah diuretik, di mana ia dapat meningkatkan kadar penghasilan air kencing. Jika barli selalu diambil dan dijadikan regimen yang diminum setiap hari, Mommy dapat mencegah atau merawat UTI.

Pengambilan air barli juga adalah sangat bermanfaat jika Mommy kurang gemar minum air kosong sahaja, dimana kekurang meminum air itu akan meningkatkan risiko mendapat UTI.

#10 Barli Boleh Dimakan atau Diminum Oleh Kanak-Kanak

Bukan orang dewasa saja yang dapat memanfaatkan peminuman air barli ni, malah bayi yang dah boleh makan makanan separa pejal atau solids juga boleh mencuba keenakan barli seperti resipi yang boleh dijumpai disini sebagai salah satu makanan pertama bayi.

Kanak-kanak yang lebih besar juga boleh menikmati barli dengan pelbagai cara yang boleh dihidangkan seperti dimasukkan ke dalam sup atau salad, atau pun stick to basic dengan resepi air barli mudah dan sedap yang boleh didapati disini.

Bayangkan anak-anak dihidangkan dengan segelas air barli sejuk waktu panas terik…terliur rasa! Tepung barli juga boleh digunakan untuk buat makanan manisan seperti kek dan biskut.

#11 Barli Amat Diperlukan Oleh Kaum Wanita

Penyelidik di negara Barat telah membuat kajian terhadap pengambilan serat oleh wanita-wanita pra-menopaus dan mendapati bahawa diet yang kaya dengan serat dari bijirin seperti barli yang mempunyai serat yang sangat tinggi menunjukkan pengurangan sehingga 50% dalam kanser payudara!

Satu lagi kajian pula dijalankan atas wanita-wanita post-menopaus dan menunjukkan pengurangan risiko kanser payu dara sebanyak 34%.

Barli juga tergolong sebagai salah satu makanan yang dikategorikan sebagai laktogenik, dimana ia dapat meningkatkan dan menggalak penghasilan susu badan.

Daripada mengambil suplemen yang was-was, lebih baiklah bagi Mommy yang menyusu untuk mengambil milk booster semulajadi, kan?

Bagaimana Pula Dengan Kesan Sampingan Barli?

Memang tidak boleh disangkal lagi yang barli sangat baik untuk tubuh badan kita luaran dan dalaman dan penuh dengan zat dan galian.

Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan khasiat barli pada tahap yang optimum, seperti juga dengan perkara-perkara lain, pengambilan barli perlulah diambil dengan bersederhana.

Selain daripada khasiat barli di atas, Mommy harus tahu bahawa pengambilan barli yang melampau boleh menyebabkan gas, perut kembung, atau sembelit.

Jika tidak membuat air barli sendiri tetapi mengambil atau membeli barli yang telah diproses, ada pula risiko pengambilan pemanis atau gula tiruan dan additive lain yang tinggi.

Barli juga mengandungi gluten, jadi ia mungkin tidak sesuai dan perlu dielakkan bagi individu yang mempunyai Celiac disease atau intoleransi gluten.

Barli yang dikategorikan sebagai ancient grain oleh negara Barat jelas mengandungi banyak zat dan galian yang diperlukan oleh tubuh badan kita sejak zaman dahulu kala lagi.

Ia adalah sejenis bijirin yang dapat dinikmati oleh seluruh ahli keluarga, biarpun yang muda atau yang tua, untuk kesihatan, mencegah kesakitan, atau merawat kebanyakan penyakit.

Barli juga amat mudah didapati di pasaran dan senang untuk di masak atau direbus, dan boleh di simpan di dalam pantri dengan lama.

Jadi tidak hairan lagi banyak keluarga di Malaysia pasti menyimpan stok barli di dapur, sama ada untuk dinikmati dengan pelbagai cara hidangan, atau melegakan sakit demam. Banyak bukan khasiat barli ini?

Air barli yang sudah direbus pula memang senang sahaja untuk di simpan di dalam peti sejuk kalau tak habis. Bila nak minum balik, cuma panaskan atau minumlah secara sejuk kalau disukai begitu.

InsyaAllah, dengan pengambilan air barli, kita dapat meraih manfaatnya secara fizikal dan juga mendapat pahala dari mengikuti sunnah Rasulullah SAW.