Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Daun Ketumbar Bukan Sekadar Hiasan Juadah! Ketahui Khasiat Rempah Yang Popular Ini

khasiat daun ketumbar

Sumber: Adobe Stock

Penggunaan rempah yang terbaik dalam sesuatu juadah makanan dapat menyerlahkan kesedapan juadah tersebut. Banyak budaya dan tradisi di seluruh pelosok dunia mengetahui tentang khasiat daun ketumbar dan menggunakannya dalam pelbagai hidangan. Khasiat daun ketumbar terdapat pada kedua-dua daunnya dan juga bijinya.

Di negara kita, daun ketumbar kerap digunakan sebagai hiasan di atas juadah dan juga sebagai bahan tumbuk pelbagai jenis masakan. Kalau Mama mahu cari daun ketumbar di pasar raya, ia juga sering dipanggil coriander, cilantro, ataupun pasli Cina (Chinese parsley).

Daun ketumbar berasal dari tumbuhan Coriandrum sativum dan adalah sekeluarga dengan daun pasli, lobak merah dan saderi. Daun ketumbar selalunya digunakan secara keseluruhan, manakala bijinya digunakan selepas dikeringkan atau dikisar.
Highlighted

Sumber: Adobe Stock

7 Khasiat Daun Ketumbar Serta Biji Ketumbar

1. Kaya Dengan Antioksidan Yang Dapat Meningkatkan Sistem Imun Badan

Salah satu khasiat daun ketumbar yang paling penting ialah ia kaya dengan beberapa antioksidan yang mampu menghalang kerosakan selular yang disebabkan oleh radikal bebas. Antioksidan dari daun ketumbar telah dibuktikan dapat melawan keradangan dalam badan individu yang memakannya.

Sebatian antioksidan ini termasuklah terpinene, quercetin, dan tocopherols yang dikatakan mungkin mempunyai kesan antikanser, dapat meningkatkan sistem imun dan neuroprotektif menurut kajian yang telah dilakukan.

Satu kajian tabung uji lagi mendapati bahawa antioksidan dalam ekstrak biji ketumbar mampu merendahkan keradangan dan melambatkan pertumbuhan sel-sel kanser paru-paru, prostat, payudara dan kolon. Siapa sangka rempah yang ringkas ini mempunyai kesan yang sangat hebat untuk kesihatan kita!

2. Bermanfaat Untuk Kesihatan Jantung

Sumber: Adobe Stock

Selain daripada sistem imun badan secara menyeluruh, kajian juga menunjukkan daun dan biji ketumbar mampu menurunkan faktor risiko penyakit jantung, seperti tekanan darah tinggi dan paras kolesterol LDL yang buruk.

Ada juga kajian yang  menunjukkan bahawa ketumbar boleh membantu menurunkan kolesterol. Satu kajian mendapati tikus yang diberi biji ketumbar mengalami penurunan ketara dalam kolesterol LDL yang buruk dan peningkatan kolesterol HDL yang baik.

Selain itu, ramai orang mendapati bahawa pemakanan herba dan rempah ratus seperti daun dan biji ketumbar mampu membantu mereka mengurangkan pengambilan natrium, justeru meningkatkan kesihatan jantung.

Dalam populasi yang mengambil ketumbar dalam jumlah yang besar berbanding dengan rempah-rempah lain, kadar penyakit jantung populasi tersebut cenderung untuk menunjukkan lebih rendah, terutamanya berbanding mereka yang mengamalkan diet yang mengandungi lebih banyak garam dan gula.

3. Membantu Menurunkan Gula Dalam Darah

Gula darah tinggi adalah faktor risiko diabetes jenis 2 (type 2). Ekstrak dan minyak dari biji ketumbar mampu membantu menurunkan gula darah. Malah, individu yang mempunyai gula darah rendah atau sedang mengambil ubat diabetes sebenarnya harus berhati-hati dengan ketumbar kerana ia sangat berkesan dalam menurunkan gula darah!

Kajian yang telah dilakukan menunjukkan bahawa biji ketumbar dapat mengurangkan gula darah dengan menggalakkan aktiviti enzim yang membantu mengeluarkan gula daripada darah.

Terdapat kajian terhadap tikus yang mempunyai obesiti dan gula darah tinggi mendapati bahawa satu dos ekstrak biji ketumbar dapat menurunkan gula darah dalam masa 6 jam, sama kesannya seperti ubat gula darah yang digunakan secara berleluasa.

Lagi satu kajian yang serupa mendapati bahawa dos ekstrak biji ketumbar yang sama bukan sahaja menurunkan gula darah, malah meningkatkan pelepasan insulin pada tikus yang menghidap diabetes.

4. Melindungi Kesihatan Otak

Sumber: Adobe Stock

Terdapat beberapa penyakit berkaitan dengan otak dan saraf otak seperti Parkinson, Alzheimer, dan multiple sclerosis yang telah dikaitkan dengan keradangan di kawasan otak. Sifat anti-radang dari tumbuhan ketumbar mampu melindungi daripada penyakit-penyakit seperti yang disebutkan tadi.

Terdapat satu kajian tikus yang mendapati bahawa ekstrak ketumbar melindungi tikus tersebut daripada kerosakan sel saraf berikutan sawan yang disebabkan oleh dadah. Ini berkemungkinan besar disebabkan oleh sifat antioksidan ekstrak ketumbar tersebut.

Ada juga kajian haiwan yang menunjukkan daun ketumbar mampu meningkatkan daya ingatan, menunjukkan tumbuhan ini mungkin boleh digunakan untuk penyakit Alzheimer.

Daun ketumbar juga dikatakan mampu membantu menguruskan keresahan (anxiety). Kajian haiwan menunjukkan bahawa ekstrak ketumbar hampir sama keberkesanannya dengan sejenis ubat gangguan keresahan (anxiety disorder) dalam mengurangkan gejala gangguan ini.

Walaubagaimanapun, kajian dan penyelidikan terhadap manusia masih diperlukan.

5. Mampu Melawan Jangkitan Tertentu

Ketumbar mengandungi sebatian antimikrob yang boleh membantu melawan jangkitan tertentu termasuklah jangkitan dari makanan.

Sebatian dalam ketumbar yang dipanggil dodecenal mungkin mampu melawan bakteria seperti Salmonella yang boleh menyebabkan keracunan makanan dan mengancam nyawa.

Selain itu, satu kajian tabung uji mendedahkan bahawa biji ketumbar adalah salah satu jenis rempah Asia yang boleh melawan bakteria yang bertanggungjawab untuk jangkitan saluran kencing yang sering dipanggil urinary tract infection (UTI).

Kajian lain mencadangkan bahawa minyak ketumbar boleh digunakan dalam formulasi antibakteria kerana keupayaannya untuk melawan penyakit yang datang dari makanan dan jangkitan yang sering diperolehi di hospital.

6. Menggalakkan Pencernaan Dan Meningkatkan Kesihatan Usus

Sumber: Adobe Stock

Minyak yang diekstrak daripada biji ketumbar boleh mempercepatkan dan menggalakkan sistem pencernaan yang sihat, terutamanya bagi individu yang mengalami sindrom atau gangguan usus seperti irritable bowel syndrome (IBS).

Satu kajian selama 8 minggu terhadap 32 orang yang mengalami IBS mendapati bahawa 30 titis ubat herba yang mengandungi ketumbar yang diambil tiga kali sehari dapat mengurangkan sakit perut, kembung perut, dan juga ketidakselesaan dalam usus dengan ketara. Kumpulan ini dibandingkan dengan kumpulan yang diberi plasebo.

Ekstrak ketumbar telah digunakan sebagai perangsang atau pembuka selera dalam perubatan tradisional Iran. Satu kajian tikus menunjukkan ekstrak ketumbar mampu meningkatkan selera makan. Kalau juadah tempatan, daun ketumbar yang ditaburkan atas bubur kosong pun dah boleh menaikkan selera makan kita, betul tak?

7. Khasiat Daun Ketumbar Melindungi Kulit

Sumber: Getty Images

Ketumbar mungkin mempunyai beberapa khasiat untuk kulit, seperti untuk ruam ringan yang dipanggil dermatitis. Dalam satu kajian, walaupun ekstrak daun ketumbar gagal merawat ruam lampin pada bayi, ia masih boleh digunakan bersama bahan lain untuk menenangkan keadaan kulit sebagai rawatan alternatif.

Kajian lain menunjukkan bahawa antioksidan dalam ekstrak ketumbar boleh membantu mencegah kerosakan sel yang boleh menyebabkan penuaan kulit dan juga kerosakan kulit daripada sinaran ultraungu.

Tambahan pula, ramai orang menggunakan jus daun ketumbar untuk masalah kulit seperti jerawat, pigmentasi, dan kulit berminyak atau kering. Namun begitu, kajian tentang kegunaan ini masih kurang dan Mama masih perlu memakai krim pelindung matahari untuk penjagaan kulit yang efektif!


Ketumbar adalah herba yang wangi dan kaya dengan antioksidan yang mempunyai banyak kegunaan dalam masakan dan memberi manfaat kesihatan.

Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian yang disebutkan tadi menggunakan ekstrak daun atau biji ketumbar yang pekat, jadi sebenarnya ia masih susah untuk dikenalpasti seberapa banyak seseorang individu perlu mengambil daun dan biji ketumbar untuk meraih manfaatnya.

Sumber: Adobe Stock

Yang pasti, Mama masih boleh menggunakan daun dan biji ketumbar dalam masakan seperti biasa kerana terdapat pelbagai resepi tempatan dan antarabangsa yang menggunakan kedua-dua daun dan biji ketumbar.

Semoga bermanfaat.