Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Khasiat Ikan Tongkol Hitam Dan Apa Perbezaannya Dengan Ikan Tongkol Putih

Sumber: Nekmat e-Shop

Orang-orang tua dan veteran di dapur tentu boleh bezakan antara ikan tongkol hitam dan putih, kan? Tapi bagi yang baru nak berjinak-jinak di dapur atau yang baru berkahwin, masih banyak perkara tentang memasak yang perlu dipelajari!

Mommy jangan khuatir kerana terdapat banyak informasi yang sering dikongsi secara berleluasa. Tak lama lagi, tentu pelbagai pengetahuan tentang perkara rumahtangga akan berada di hujung jari Mommy! Jangan lupa untuk baca artikel-artikel lain yang bermanfaat di Motherhood seperti jenis-jenis ikan yang boleh didapati di pasaran tempatan.

Kali ini Motherhood ingin berkongsi tentang khasiat ikan tongkol hitam dan bagaimana nak bezakannya dengan ikan tongkol putih. Kenapa kena tahu perbezaannya? Kerana kedua-dua jenis ikan ini nampak seolah-olah serupa tapi ada sedikit perbezaannya jika Mommy ingin mencari jenis ikan untuk dimasak bagi resepi dan rasa tertentu.

Highlighted


Perbezaan Ikan Tongkol Hitam Dengan Putih

Ikan Tongkol

Ikan tongkol adalah sumber makanan protein yang digemari ramai untuk hidangan seisi keluarga. Ikan tongkol sebenarnya adalah sejenis spesis ikan tuna.

Ikan tuna pula adalah sejenis keluarga ikan yang mempunyai banyak spesis; ada yang jenis mahal dan ada yang jenis murah. Ikan tongkol termasuk dalam kategori ikan tuna jenis murah.

Di negeri pantai timur, ikan tongkol juga dikenali sebagai ikan ayor. Pelbagai jenis masakan yang menyelerakan boleh dimasak menggunakan ikan tongkol.

Ikan tongkol hitam dikatakan lebih sedap dari ikan tongkol putih kerana isinya yang rasa manis dan berlemak.

Ikan Tongkol Hitam vs. Putih

Jadi bagaimana nak bezakan ikan tongkol putih dan hitam kalau ia nampak serupa dari segi luarannya? Sebenarnya perbezaan luaran yang ketara boleh dinampak dari saiz siripnya.

Ikan tongkol hitam mempunyai sirip yang panjang, manakala ikan tongkol putih mempunyai sirip yang pendek.

Sumber: Cari Infonet

Senang saja kan? Lepas ni, kalau encik suami kena pergi beli ikan tongkol dekat pasar pun boleh kenalpasti perbezaannya dengan ikan tongkol putih! Taklah Mommy kecewa tak dapat buat masakan yang dah dirancang!

Selain itu, ikan tongkol putih mempunyai jalur di bahagian atas badan manakala tongkol hitam tidak mempunyai jalur tersebut.

Ikan tongkol hitam juga selalunya adalah lebih mahal sedikit dari ikan tongkol putih dalam RM1-RM2 perbezaan.

Ikan tongkol putih juga dikatakan boleh membuat badan dan hidung individu yang sensitif menjadi agak gatal. Kalau Mommy sedang berpantang, pastikan ikan yang dibeli boleh dimakan waktu berpantang.

Sumber: Saidilia Lifestyle

Khasiat Ikan Tongkol Hitam

Secara umumnya, ikan sebagai sumber makanan memang penuh berkhasiat dengan gizi dan nutrisi yang hebat. Selain menjadi sumber protein yang unggul, ikan tongkol mempunyai beberapa khasiat khusus seperti berikut.

1. Meningkatkan Kesihatan Jantung

Ikan tongkol bersifat rendah kolestrol selain mengandungi asid lemak omega-3 yang dapat mengurangkan risiko penyakit jantung koroner. Ia juga dapat menurunkan tahap kolestrol pada pembuluh darah.

2. Boleh Mengurangkan Tekanan Darah

Kandungan tinggi asid lemak omega-3 berserta potassium dalam ikan tongkol juga mampu menurunkan tekanan darah tinggi dan mengurangkan risiko serangan jantung.

3. Agen Anti-Keradangan

Ikan tongkol mempunyai anti-inflamasi, jadi ia dapat mencegah keradangan pada tubuh badan.

4. Mencegah Anemia

Bagi individu yang kekurangan sel darah merah, memakan ikan tongkol mungkin dapat membantu mencegah anemia dan mengelakkan rasa lemah badan. Ikan tongkol juga mengandungi zat besi dan vitamin B yang membantu pembentukan sel darah merah dalam tubuh badan.

Sumber: Getty Images

5. Makanan Yang Sesuai Untuk Diet

Ikan tongkol mempunyai kalori yang rendah jadi ia sesuai untuk dimakan oleh individu yang sedang memantau pengambilan makanan tertentu. Ikan tongkol juga mengandungi hormon leptin yang dapat membantu pembakaran kalori. Cara terbaik untuk memasak ikan tongkol jika sedang diet ialah dengan merebus atau memanggangnya.

6. Mampu Membersih Pembuluh Darah

Kandungan lemak tidak tepu dan air di dalam ikan tongkol dapat membersihkan kotoran dalam pembuluh darah jika ikan ini dijadikan makanan rutin.

7. Meningkatkan Jisim Otot

Jika dimakan dengan kerap, ikan tongkol yang mempunyai kandungan protein yang tinggi dapat membantu membentuk dan meningkatkan jisim otot serta membaiki dan memulihkan sel-sel dalam badan.


Hebat kan khasiat ikan tongkol yang tidak mahal dan senang untuk didapati di pasar ini? Bukan sahaja murah, ia juga penuh dengan zat dan nutrisi yang penting dan dapat membantu meningkatkan kesihatan tubuh badan bila dimakan secara rutin.

Sumber: rasa.my

Lepas ni dah tak perlu risau kalau tersalah beli jenis ikan tongkol di pasar sebab Mommy dah boleh bezakan ikan tongkol hitam dan putih kan? Kalau dapat masak gulai ikan tongkol yang dah lama Mommy rancang tu mesti syok! Pastikan pemakanan yang diambil adalah sentiasa seimbang untuk kesihatan tubuh badan optimum.