Wah, pasti seronok kalau bawa anak-anak mandi di kolam renang pada musim panas ini, kan Mommy.
Aktiviti berenang adalah satu aktiviti yang sangat menyeronokkan untuk kanak-kanak mahupun orang dewasa.
Aktiviti ini dapat memberi kegembiraan dan keseronokan kepada kanak-kanak kerana air bersifat terapeutik yang menjadi terapi ketenangan, menghilangkan tekanan serta kebosanan dalam kalangan kanak-kanak.
Dalam pada seronok, Mommy juga harus mementingkan keselamatan anak dahulu sebelum membenarkan mereka turun ke dalam kolam renang.
Apabila anak sedang berada di dalam kolam renang, Mommy perlu memberikan sepenuh tumpuan kepada mereka untuk langkah berjaga-jaga.
7 Tips Keselamatan Kolam Renang Yang Ibu Bapa Perlu Tahu
#1. Pastikan anak sentiasa dalam pemantauan orang dewasa
Elakkan membiarkan kanak-kanak bersendirian atau membiarkan mereka bermain sesama rakan sebaya tanpa pemantauan ibu bapa atau orang dewasa kerana ‘malang tidak berbau’.
Highlighted
#2. Kedalaman air yang bersesuaian
Pastikan kedalaman air yang digunakan untuk aktiviti main air perlulah cetek dan bersesuaian dengan tahap umur kanak-kanak.
Mommy tahu tak, kedalaman air yang tidak bersesuaian boleh menyebabkan risiko lemas.
#3. Sediakan pelampung
Pastikan anak-anak Mommy memakai alatan keselamatan yang lengkap sebelum masuk ke dalam kolam renang.
Gunakan pelampung leher dan pelampung lengan kepada mereka untuk membantu pembelajaran renang bagi kanak-kanak.
#4. Pakaian yang sesuai
Mommy perlu memastikan anak memakai pakaian mandi yang sesuai dan selesa semasa di dalam kolam renang.
Elakkan pakaian yang berwarna biru (ye, betul!) dan pakaian renang yang boleh menyekat pergerakan kanak-kanak semasa aktiviti main air bagi mengelak risiko kemalangan.
#5. Ambil kelas berenang
Lebih bagus jika anak Mommy dihantar ke kelas berenang pada usia kecil lagi agar mereka mempunyai kemahiran untuk berenang.
Belajar cara berenang boleh membantu mengurangkan risiko lemas, terutamanya untuk kanak-kanak yang lebih muda.
#6. Jangan mengabaikan peraturan kolam
Peraturan di kolam renang wajib dipatuhi. Tidak kira sama ada anda berada di kolam awam atau di halaman belakang, jangan melakukan perkara yang boleh membawa kepada kecederaan yang boleh membahayakan diri dan orang sekeliling.
Ibu bapa perlu awasi pergerakan anak mereka dengan sebaiknya.
#7. Ketahui kemahiran menyelamatkan nyawa
Sangat bagus jika setiap ibu bapa dapat menyertai kursus CPR (cardiopulmonary resuscitation). Kemahiran CPR dapat membantu mangsa yang lemas serta menyelamatkan nyawa seseorang.
Dapatkan rawatan perubatan dengan segera sekiranya CPR tidak membantu menyedarkan mangsa yang lemas.
Semoga perkongsian tentang tips keselamatan kolam renang ini membantu Mommy dan Daddy sebelum membawa anak-anak pergi berenang.
Pastikan keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab ibu bapa bersama!
Dapatkan lebih banyak tips dan nasihat tentang keibubapaan yang lebih bermanfaat di SINI.
Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.