Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Kudis Buta: Simptom, Penyebab, Rawatan dan Tips Penjagaan

kudis buta

Kredit gambar : Sinar Harian

Kudis buta merupakan ruam kulit yang disebabkan oleh hama liar yang dikenali sebagai Sarcoptes Scabiei dan boleh berjangkit melalui sentuhan secara langsung.

Disebabkan ianya merebak dengan cepat, pakar kesihatan mencadangkan supaya seluruh ahli keluarga kepada pesakit turut juga dirawat supaya tidak dijangkiti penyakit ini.

Info mengenai Sarcoptes Scabiei yang dikongsikan portal MyHEALTH KKM:

  • Kutu ini mempunyai lapan kaki panjang dengan bentuk badan yang bulat.
  • Saiznya pula berukuran 0.4mm panjang.
  • Kutu betina akan mengorek masuk ke dalam kulit manusia untuk bertelur. Ianya akan mati setelah selesai bertelur.
  • Telur tersebut akan menetas dan menjadi kutu dan jangka hayatnya pula adalah selama 30 hari.

Masalah kudis buta yang juga dikenali sebagai scabies ini sangat cenderung berlaku bagi mereka yang tinggal di ruangan padat dan sesak contohnya seperti asrama dan pusat asuhan.

Tanda-tanda dan Gejala Kudis Buta

Highlighted

Kredit gambar: Utusan Tv

Berikut merupakan antara tanda-tanda yang Mommy sekeluarga perlu take note:

  • Kegatalan kulit yang melampau dan akan bertambah teruk di waktu malam selepas mandi air panas.
  • Terdapat kesan calar akibat menggaru.
  • Bintik merah seperti ruam terutama di tapak tangan dan kaki.
  • Garis hitam beralun dan pendek pada kulit iaitu tempat kutu mengorek kulit anda.

Bahagian anggota badan yang biasanya terjadi kudis buta adalah:

  • Di celah-celah jari
  • Tapak tangan
  • Bahagian dalam pergelangan tangan
  • kawasan kemaluan
  • Punggung
  • Sekitar pusat
  • Celah-celah ketiak
  • Siku
  • Kaki serta buku lali

Kudis buta merebak melalui sentuhan dari seorang ke seorang yang lain dan melalui sentuhan pada pakaian, perabot, peralatan atau cadar yang telah dijangkiti kutu.

Sebab tu penting untuk kita terus basuh pakaian yang dipakai hari-hari dan juga menukar cadar sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Kutu atau hama yang bertelur di dalam kulit akan menyebabkan kegatalan dan lantas membentuk ruam merah pada kulit tersebut. Hama ini juga boleh tinggal dalam kulit untuk tempoh beberapa bulan jika ianya tidak dirawat dengan sebaiknya. Menakutkan bukan?

Cara Merawat Penyakit Kudis 

Kredit gambar: verywell health

Doktor akan membuat pemeriksaan di kawasan kulit yang mengalami kudis dan akan mendiagnos Mommy.

Kudis buta akan dirawat menggunakan ubat-ubatan yang dipanggil sebagai scabicides. Ubatan yang berbentuk krim atau losyen ini akan disapu pada kulit yang terdapat kudis buta. Antaranya:

  • Losyen permethrin
  • Krim gamma benzene hexachloride
  • Losyen benzyl benzoate
  • Losyen malathion
  • Losyen atau krim crotamiton

Semua ubatan ini akan disapu daripada bawah dagu hingga ke hujung jari-jari kaki atau semua kawasan yang mengalami kudis buta.

Kebiasaannya ubat ini akan disapu pada waktu malam dan akan di bilas bersih keesokan paginya. Rawatan ini juga perlu diambil selama 1-3 malam secara berturut-turut mengikut nasihat daripada doktor.

Terdapat juga sesetengah kes, doktor mungkin ingin mengesahkannya dengan mengeluarkan hama dari kulit pesakit dengan menggunakan jarum.

Jika tidak menjumpainya, doktor akan mengikis sekeping kulit kecil untuk mendapatkan sampel tisu. Sampel yang diperoleh ini akan diperiksa di bawah mikroskop bagi mengesahkan kehadiran hama atau telur mereka.

Oleh disebabkan ianya mudah merebak, seluruh ahli keluarga kepada pesakit juga perlu dirawat pada masa yang sama walaupun tidak menunjukkan sebarang gejala.

Tips Penjagaan Yang Boleh Dipraktikkan

  • Pastikan Mommy sentiasa cuci pakaian, tempat tidur, tuala dan bantal dengan air panas dengan suhu 50°C dan mengeringkannya pada haba yang sangat tinggi iaitu selama 10 hingga 30 minit bagi mematikan kutu-kutu tersebut.
  • Peralatan lain yang tidak boleh dibasuh, harus divakum. Kemudian bag vakum tersebut dibasuh dengan peluntur dan air panas.
  • Amalkan penjagaan kebersihan diri setiap hari.
  • Elakkan daripada berada di tempat yang berisiko jangkitan.
  • Jangan berkongsi katil dengan orang yang mempunyai kudis.
  • Hadkan diri daripada melawati tempat atau kawasan yang sesak dengan orang ramai.
  • Jangan berkongsi tuala, pakaian dengan orang lain.

Ia akan mengambil masa yang agak lama untuk sembuh daripada penyakit ini. Oleh itu, mengamalkan kebersihan yang konsisten serta mematuhi arahan rawatan dapat membantu anda untuk pulih dengan lebih cepat.

Amalkan juga pemakanan yang sihat dan pastikan anda tidak menjadi faktor jangkitan kepada orang lain.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat yang berguna!