Ibu atau bakal ibu yang suka makan manis-manisan dan mempunyai ‘sweet tooth‘ tentu tertanya-tanya jika kuih boleh dimakan ketika pantang selepas bersalin kan? Jangan risau kerana terdapat beberapa jenis kuih yang boleh dimakan dalam pantang! Memang tempoh berpantang agak mencabar, tapi tak perlu batalkan niat untuk menjamah kuih-kuih kegemaran semasa berada dalam pantang.
Iyelah, kalau cakap pasal pantang je, tentu ramai yang terfikir tentang makanan-makanan yang bosan. Tapi sebenarnya banyak sahaja makanan dan snek-snek pantang yang menyelerakan dan boleh dimakan, bukan setakat biskut kering dan roti kosong.
Untuk kategori manisan pula, jom tengok jenis-jenis kuih yang selamat untuk dimakan ketika berpantang di bawah.
Yang penting, apabila memilih kuih untuk dimakan ketika dalam tempoh pantang, Ibu cuma perlu memastikan ia dibuat menggunakan tepung gandum atau tepung beras asli dan tidak dicampur santan dan telur. Pastikan juga ia kurang berminyak.
10 Jenis Kuih Yang Boleh Dimakan Dalam Pantang
1. Lempeng Kosong / Lempeng Oats
Lempeng kosong boleh dimakan semasa dalam pantang dan untuk menambah kemanisah, Ibu boleh tuang madu asli ke atas lempeng kosong tersebut. Jenis lempeng lain yang boleh dimakan ialah lempeng oats, diperbuat daripada bijiran oat yang amat berkhasiat dan dikatakan boleh memeriahkan susu badan. Menu lempeng oat ini juga dikatakan menjadi kegemaran Datuk Seri Siti Nur Haliza ketika beliau mengamati tempoh pantang. Kalau Ibu nak lempeng yang berasa lebih manis, bolehlah tambah bahan-bahan seperti kismis, kurma, ataupun buah kranberi kering.
2. Kuih Kaswi
Kuih kaswi yang berasa lemak manis ini kebiasaannya berwarna coklat gelap yang terjadi akibat salah satu bahannya yang menggunakan gula merah atau gula perang. Bahan-bahan lain yang digunakan untuk membuat kuih kaswi termasuklah tepung gandum dan tepung ubi, jadi ia amat sesuai untuk dimakan oleh ibu dalam berpantang. Tambahan pula, ia disediakan dengan kelapa parut, jadi kuih ini memang membuka selera sesiapa sahaja!
3. Apam Nasi
Kuih Apam Nasi menggunakan bahan-bahan asas seperti tepung gandum, tepung beras, gula, dan juga nasi sejuk atau nasi semalaman. Jadi, ia amat sesuai untuk dimakan oleh ibu dalam tempoh berpantang untuk memuaskan keinginan untuk memakan manisan. Ia juga sering digunakan dengan pewarna untuk menaikkan selera Ibu dan juga anak-anak kecil kerana warnanya yang selalu berwarna-warni.
4. Kuih Lapis
Siapa yang tak kenal dengan kuih lapis, betul tak? Kuih yang senang untuk dijumpai dimana-mana gerai sama ada ditepi jalan ataupun di pusat membeli-belah ini memang sudah menjadi kegemaran ramai! Jadi Ibu jangan risau kerana kuih ini boleh dimakan ketika berpantang. Rasanya yang sedap dengan haruman perisa ros amat lengkap dengan teksturnya yang lembut. Kebiasaannya ia dikukus dengan menggunakan bahan-bahan seperti tepung jagung, tepung ubi, dan tepung gandum.
5. Kuih Ketayap
Kuih ketayap mungkin agak rumit untuk dibuat sendiri, tapi ia tetap enak dimakan kerana teksturnya yang menarik, terutama sekali jika digulung sehinnga intinya berselang seli dengan bahagian kulit. Bahan-bahan yang digunakan juga adalah selamat untuk dimakan ketika berpantang seperti tepung gandum, gula melaka, daun pandan, dan kelapa parut.
6. Bingka Tepung Beras
Bingka tepung beras memang menjadi kuih yang sering dimakan untuk minum petang. Amat lazat dan mudah untuk dibuat, bingka tepung beras hanya menggunakan bahan-bahan seperti tepung beras, tepung jagung, santan, dan gula. Ia juga boleh diperasakan dengan ekstrak vanila untuk rasa yang lebih manis.
7. Cekodok/Cucur Manis
Kalau sebelum ini Ibu suka makan cekodok atau cucur udang atau cempedak yang mungkin perlu dielakkan ketika berpantang, cekodok manis dapat menjadi pengganti yang baik dan memuaskan juga. Enak dimakan panas-panas ketika minum petang, cekodok manis ini dibuat menggunakan bahan-bahan yang selamat ketika berpantang seperti tepung gandum, gula, dan garam sahaja.
8. Kuih Ladu
Paling popular di negeri Kelantan untuk ibu-ibu berpantang, rasa kuih ladu ini sedikit pahit-pahit manis kerana mengandungi campuran lada hitam serta halia yang elok untuk kesihatan dalaman. Ia juga dikatakan baik untuk memanskan tubuh ibu dalam pantang dan mengeluarkan angin dari badan disebabkan bahan-bahan yang digunakan. Kuih ladu amat sedap dimakan bersama teh panas.
9. Cucur Jawa
Kuih tradisional yang rasa penuh lemak manis ini sesuai untuk dimakan ketika dalam pantang kerana dibuat menggunakan bahan-bahan selamat seperti tepung gandum, tepung beras, dan gula merah. Kuih ini sedap dimakan panas-panas selepas ia digoreng dalam kuali.
10. Kuih Qasidah
Kuih tradisional yang berasal dari Kedah ini sangat istimewa kerana menggunakan kemanisan bukan sahaja dari gula, tetapi juga bawang goreng. Minyak yang digunakan untuk menggoreng bawang juga selalunya digunakan untuk disapukan keatas kuih qasidah ini untuk menaikkan lagi kemanisannya. Ia sesuai untuk dimakan ketika berpantang kerana diperbuat dari bahan-bahan asas seperti tepung gandum selain daripada bawang.
Senarai diatas menggambarkan jenis-jenis kuih yang boleh dimakan dalam pantang. Secara umumnya, kuih-kuih yang boleh dimakan diperbuat daripada bahan-bahan yang selamat untuk dimakan ketika berpantang seperti tepung gandum, tepung beras, dan tepung ubi.
Ibu disarankan untuk mengambil tahu dulu bahan-bahan yang digunakan dalam sesuatu kuih sebelum memakannya dan pastikan ia tak termasuk dalam bahan-bahan yang dilarang ketika berpantang. Walaubagaimanapun, dengan kuih-kuih yang selamat untuk dimakan ketika pantang juga, Ibu tidak digalakkan untuk memakannya secara berlebihan kerana kuih-kuih tersebut masih mengandungi kandungan gula seperti kuih lain.
Yang pasti, Ibu perlu memakan makanan yang seimbang ketika berpantang supaya mendapat tenaga yang mencukupi selepas bersalin dan juga untuk mempercepatkan penyembuhan luka bersalin.
Semoga bermanfaat.