Ibu, Bayi & Kanak Kanak

“Sapu air kencing boleh hilangkan kulat susu bayi kan?” Nanti Dulu Mommy! Doktor Pakar Jelaskan Dengan Lebih Lanjut

Kredit gambar: NHS

Ibu bapa mana yang tak panik bila lidah anak tiba-tiba penuh dengan keputihan kan? Lagi-lagi kalau yang baru pertama kali menimang cahaya mata dan terkejut apabila doktor mengesahkan si manja dijangkiti kulat susu.

Sewajarnya, kita perlu bergegas ke klinik terdekat untuk mendapatkan rawatan. Kalau Mommy nak tahu dengan lebih lanjut, jom kita baca serba sedikit tentang kulat susu ini dahulu.

Jangkitan mulut selalu berlaku pada bayi. Ia terjadi disebabkan oleh yis yang dipanggil Candida albicans. Candida sering dijumpai dalam mulut bayi tanpa apa-apa masalah. Tetapi disebabkan sistem imun mereka masih berkembang, kadang-kadang jumlah yis boleh membesar dan membawa kepada jangkitan.

Mujurlah ada Dr Kamarul berkongsi tentang topik ni. Ikuti penjelasan daripada Dr Kamarul tentang apa sebenarnya kulat susu ni? Betul ke ia daripada minum susu Mommy?

Pakai Air Kencing Boleh Ke? 

“Doktor, lidah anak saya ni ada tompok-tompok putih. Saya cuba letak air kencing, tapi tak hilang!”

Ada orang panggil ni “kulat susu”. Benar, ia adalah sejenis jangkitan kulat, candida albicans namanya. Namun, ia bukan disebabkan oleh susu. Susu tu merujuk kepada warna dan rupa dia.

Biasanya jangkitan kulat ini kelihatan tompok-tompok putih seperti susu basi di permukaan gusi, lidah dan dalam pipi. Bila cuba dibersihkan menggunakan kain, ia sukar ditanggalkan.

“Macam mana anak saya boleh kena, doktor?”

Candida albicans adalah kulat yang memang ada pada permukaan kulit dan mulut manusia. Namun, dalam keadaan tertentu, ia menjadi banyak dan menyebabkan jangkitan, antaranya:

Highlighted


  • Semasa hamil, ibu ada jangkitan candida di farajnya, dan ibu tidak menjalani apa-apa rawatan. Ketika proses bersalin, bayi keluar melalui faraj, kulat ini boleh menjangkiti pada bayi.
  • Kulat dari objek lain seperti puting si ibu, puting susu, botol susu, mainan, kain, dan lain-lain, boleh menjangkiti bayi. Bayi dan kanak-kanak kecil kerala masukkan objek dalam mulut.
  • Pada manusia, ada bakteria dan kulat. Bakteria halang kulat membiak, kulat halang bakteria membiak. Kalau bayi ambil antibiotik berpanjangan, bakteria mati, maka kulat ini akan membiak tak terkawal.
  • Kanak-kanak yang gunakan ubat steroid sedutan berpanjangan, juga meninggikan risiko berlaku jangkitan kulat. Contohnya pada kanak-kanak yang ada asma, dan perlu steroid sedutan.

“Jadi, macam mana nak hilangkan kulat susu ni?”

Jangkitan kulat ni tidaklah terlalu bahaya, dan ada dalam kalangan bayi pulih tanpa apa-apa rawatan khusus. Namun, jika bayi mula tidak selesa, kurang minum susu, demam panas, maka perlu jumpa doktor.

Doktor akan beri ubat antikulat untuk dititiskan dalam mulut bayi sebanyak 4 kali sehari. Seeloknya selepas titis, elakkan beri susu atau makan untuk 10 minit. Beri masa ubat itu merata di dalam mulut.

Jika doktor berpendapat bahawa jangkitan ini berlaku dari ibu kepada bayi, atau dari bayi kepada ibu semasa penyusuan, doktor akan beri krim antikulat untuk disapu pada puting si ibu.

“Sepatutnya boleh hilang kalau sapu air kencing, tak?”

Saya pernah dengar petua ini, tapi tak disarankan menyapu air kencing ke dalam mulut bayi. Tidak cukup kajian mengenai keselamatan dan keberkesanannya merawat jangkitan kulat.

“Macam Mana Nak Elakkan Terkena?”

  • Jika ada jangkitan candida semasa hamil. Dapatkan nasihat dan rawatan segera.
  • Sterilkan puting dan botol susu anak sekerapnya. Cuci kain dan mainan anak sebersihnya.
  • Jika anak perlu ambil antibiotik berpanjangan, tanya doktor sama ada perlukan ambil probiotik juga.

Jaga kebersihan diri, termasuk penjagaan puting dan payudara. OK itu sahaja. Jika ada sebarang keraguan, jemput datang berjumpa doktor.

Baru tahu! Kulat susu sebenarnya bukan disebabkan susu, cuma rupanya putih seperti susu sahaja. Sentiasa berwaspada dengan kesihatan anak menjaga kebersihan diri ya Mommy!

Macam-macam penyakit sekarang, kita pun tidak dapat elak tapi kita boleh mencegahkan sebelum terkena. Terima kasih Dr Kamarul!

Kredit: Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan