Jaundis ataupun demam kuning ini sering berlaku pada kanak-kanak yang baru lahir biasanya muncul antara hari kedua dan keempat selepas kelahiran. Ada cara untuk memeriksa kuning bayi ni.
Tekan perlahan-lahan pada dahi atau hidung bayi Mommy. Jika kulit kelihatan kuning di tempat Mommy tekan, kemungkinan anak Mommy mengalami jaundis ringan.
Banyak mitos turun-temurun yang dibincangkan tentang kuning bayi ni.
Ikuti perkongsian Dr Samhan tentang bagaimana demam kuning bayi terjadi dan apa langkah-langkah yang wajar untuk ibu-ibu.
Mitos Atau Fakta?
“Doktor, saya beli baju kuning untuk anak saya. Orang tua-tua pesan bayi jangan pakai baju kuning nanti kuning makin tinggi. Betul ke?” “Erm..”
“Kalau kuning makin tinggi, seeloknya jemur bayi bawah matahari atau pakai bengkung. Ada juga yang pesan mandikan bayi dengan air ginseng la, air bunga la, air anggur hitam la, air rebusan peria hantu la. Betul ke?”
“Baik puan, saya terangkan bagaimana anak puan jadi kuning”
Bayi yang baru lahir kebiasaannya akan mengalami kuning atau juga dikenali sebagai “jaundice”. Itu normal! Kebanyakan, ianya boleh pulih dengan sendiri tanpa apa-apa rawatan. Tetapi, ada bayi yang mengalami kuning yang teruk hingga perlu rawatan hospital.
Tanda-tanda Jaundice biasanya jelas kelihatan antara hari kedua dan keempat setelah lahir. Kebiasaannya kita akan melihat Jaundice pertama kali adalah di wajah bayi. Jika keadaan berterusan, kita mungkin melihat warna kuning di matanya, dada, perut, lengan dan kaki.
Apa Punca Kuning?
Kuning atau “Jaundice” adalah disebabkan oleh kehadiran pigmen BILIRUBIN yang berlebihan dalam darah.
Pigmen ini akan mendap di kulit dan memberikan warna kekuningan pada bayi. Pigmen ini adalah hasil pemecahan sel darah merah bayi.
Kenapa Sel Darah Merah Bayi Pecah?
Highlighted
Semasa di dalam alam rahim, darah bayi dan ibu berhubung melalui placenta(uri). Sel darah merah bayi hanya sesuai untuk kegunaan dalam alam rahim.
Apabila lahir, penukaran sel darah merah perlu berlaku bagi memastikan cukup oksigen dibawa oleh sel-sel darah merah itu. Penukaran ini melibatkan pemecahan sel darah merah bayi tersebut. Ia dipanggil HEMOLYSIS.
Hasil pecahan sel darah merah itu menghasilkan bilirubin. Bilirubin yang banyak dalam darah akan menyebabkan kuning. Proses ini akan berterusan mencapai kemuncak pada hari kelima bayi dan semakin berkurang selepas itu. Kesannya, kuning juga akan turun sendiri.
Kenapa Sesetengah Bayi, Kuningnya Tak Turun-turun?
Bilirubin akan diproses di HATI (liver) dan singkirkan melalui berak dan kencing. Secara mudah kita bahagikan penyebab kuning tinggi kepada 3:
1. PENGHASILAN BILIRUBIN BERLEBIHAN
Ini boleh disebabkan oleh pemecahan sel darah merah bayi yang keterlaluan. Kes ini kebiasaannya berlaku dalam ibu berdarah O, ibu berdarah jenis rhesus negatif, bayi menghidapi G6PD (sejenis masalah kekurangan enzim dalam sel darah merah) atau jangkitan yang membuat sel darah merah bayi pecah terlalu banyak.
2. KEGAGALAN HATI MEMPROSES BILIRUBIN
Hati bayi tidak sematang hati orang besar. Jika ibu mengambil suplemen/jamu, ia akan pergi melalui susu ibu ke hati bayi, seterusnya menyebabkan hati bayi bengkak. Ini mengurangkan fungsi hati & menyebabkan kuning susah disingkirkan. Apatah lgi kalau bayi diberi terus ubat-ubatan/suplemen secara terus tanpa konsultasi.
3. BAYI KURANG BERAK DAN KENCING
Apabila susu kurang diberikan,bayi kurang berak dan kencing. Jadi, bilirubin susah untuk disingkirkan. Logiknya, tak makan dan minum, kuranglah berak dan kencing. Betul tak?
Bahaya Ke Kalau Kuning Tinggi Sangat?
Bahaya! Pigmen bilirubin yang tinggi akan pergi menembusi selaput otak bayi yang tidak matang lantas menyebabkan keradangan pada otak dan saraf tunjang.
Ini akan menyebabkan bayi berpotensi TERENCAT AKAL kelak dan juga PEKAK! Sebab itu kuning ini perlu dirawat dengan betul.
Apa Rawatan Yang Betul?
Teruskan penyusuan dengan kerap (1-2jam sekali) dan JANGAN AMBIL APA-APA suplemen, jamu atau ubat tanpa nasihat doktor. Ini membantu penyingkiran pigmen bilirubin melalui air kencing dan najis.
Jika kuning dikesan terlalu tinggi, rawatan fototerapi.
Fototerapi menggunakan sinar ultraviolet bagi menukarkan pigmen bilirubin yang termendap di kulit menjadi sebatian yang larut air dan mudah disingkirkan melalui kencing dan berak.
Pendek kata, fototerapi memudahkan tugas hati dalam metabolisma bilirubin.
Jika kuning terlampau tinggi, penukaran darah (exchange transfusion) akan dilakukan bagi memastikan pigmen bilirubin tidak mencacatkan otak dan pendengaran bayi.
Berikut merupakan beberapa cara untuk merawat kuning bayi. Mommy juga boleh baca artikel INI untuk rawatan yang lain.
- Kerap menyusu setiap 1- 2 jam
- Jangan makan jamu dan supplemen tanpa nasihat doktor
- Pastikan bayi kerap berak dan kencing
- Tak perlu mandikan bayi dengan air herba dan sebagainya
- Ikut nasihat doktor dan misi untuk pastikan darah bayi sentiasa dibawah photo level.
Banyak input yang diberikan oleh Dr Samhan. Ingat pesan-pesan doktor ni ya Mommy! Semoga bermanfaat untuk Mommy dan si manja~
Kredit: Dr Ahmad Samhan