Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Kutu Babi atau Tempiras – Parasit Kecil Yang Boleh Undang Komplikasi Serius!

kutu babi

Kredit gambar: www.science.org

Mommy pernah dengar dan lihat tak kutu babi atau nama popular lain yang selalu orang panggil adalah cengkenit atau ini merupakan kali pertama Mommy dengar mengenainya?

Kalau tak tahu atau hendak tahu dengan lebih dalam lagi dalam perkongsian Motherhood kali ini, kami akan terangkan apa itu kutu babi dan gejala-gejala yang dapat Mommy lihat jika ia menggigit tubuh anak-anak atau diri Mommy sendiri.

Jangan pandang ringan ye! Walaupun bersaiz kecil ia mampu mendatangkan bahaya kepada sesetengah individu! Jadi, jom lihat dengan lebih lanjut lagi mengenainya di bawah ini!

Apa Itu Kutu Babi?

Highlighted

Kredit gambar: www.swissinfo.ch

Kutu babi atau juga turut dikenali dengan pelbagai gelaran nama yang lain seperti sengkenit, tempiras, cengkenit atau pirah merupakan sejenis serangga Araknid. Ia merupakan sejenis parasit yang hidup dengan memakan darah manusia dan haiwan.

Walaupun gigitan kutu ini tidak berbahaya, namun terdapat juga beberapa kes yang menyebabkan berlakunya reaksi alahan dan membawa kepada penyakit serius yang lain.

Secara saintifiknya, kutu babi termasuk dalam kumpulan labah-labah dan ia telah wujud sejak 90 juta tahun yang lalu berdasarkan fosil yang telah ditemui.

Sehingga kini, terdapat lebih kurang 800 spesies kutu yang telah ditemui di seluruh dunia namun hanya dua keluarga kutu yang dipercayai boleh menyebarkan penyakit iaitu Ixodidae dan Argasidae.

Kebiasaannya, kutu babi atau cengkenit ini akan kerap ditemui pada bahagian tubuh yang sukar dilihat seperti kulit kepala, ketiak, pangkal paha, lipatan kulit serta kawasan berbulu yang lain.

Untuk makluman Mommy, kutu babi merupakan haiwan yang tergolong dalam keluarga Ixodidae iaitu kutu kasar dalam golongan hama.

Gejala atau Tanda Gigitan Kutu Babi

Kredit gambar: www.everlywell.com

Terdapat beberapa tanda atau gejala yang menunjukkan bahawa Mommy atau anak-anak telah digigit oleh kutu babi ini iaitu:

  • Rasa kegatalan di bahagian tubuh yang digigit
  • Rasa seperti kulit terbakar atau pedih di bahagian tersebut
  • Kulit menjadi kemerah-merahan dan berbintik
  • Keadaan yang sangat jarang berlaku kepada beberapa individu iaitu sakit teruk di bahagian tubuh yang telah digigit

Bagi anda yang mempunyai alahan kepada gigitan kutu di mana bahagian tersebut mengenai rembesan air liur kutu, anda berkemungkinan untuk menghadapi beberapa gejala iaitu:

  • Mempunyai ruam di sekeliling tempat gigitan
  • Kesukaran untuk bernafas
  • Mengalami bengkak
  • Berasa kebas atau lumpuh contohnya seperti kekakuan pada bahagian tubuh yang tertentu

Bila Perlu Jumpa Doktor?

Kredit gambar: www.health.harvard.edu

Sila ambil perhatian, walaupun gigitan kutu tidak memberi masalah atau bahaya kepada kebanyakan orang, terdapat juga beberapa kes yang sangat jarang berlaku di mana berlaku gejala terhadap segelintir individu seperti:

  • Selesema
  • Demam
  • Sesak nafas
  • Kesakitan
  • Muntah
  • Bengkak di tempat gigitan
  • Lumpuh
  • Sakit kepala
  • Keliru atau rasa berdebar-debar

Sekiranya anda mendapati terdapat gejala-gejala ini, segeralah berjumpa dengan doktor.

Komplikasi Akibat Jangkitan Kutu Babi

Kredit gambar: www.goodrx.com

Antara komplikasi yang boleh berlaku akibat dari gigitan serangga parasit ini adalah seperti berikut:

  • Lyme Disease
  • Facial Palsy (Lumpuh di bahagian muka)
  • Hepatomegaly (Bengkak hati)
  • Kematian

Cara Mudah Elak Dari Gigitan Kutu Babi

Mommy boleh amalkan panduan di bawah untuk mengelakkan diri serta keluarga dari terkena gigitan kutu iaitu:

  • Elakkan dari menghampiri kawasan berumput dan pokok-pokok renek yang menjadi tempat populasi serangga berkenaan.
  • Jika ingin memasuki kawasan hutan, berumput tebal atau mengunjungi ladang ternakan dan mana-mana kawasan yang menjadi tempat tinggal kutu, pakai pakaian yang berwarna terang agar anda mudah melihat kutu yang mungkin akan menghinggap di pakaian.
  • Masukkan seluar ke dalam kasut atau stokin untuk elakkan kutu dari merangkak ke bahagian kaki anda.
  • Anda juga boleh menggunakan penghalau serangga yang dicipta khas untuk kutu. Tetapi harus diingat, anda perlu ikut arahan pada label dan elakkan penggunaan penghalau serangga yang mengandungi DEET pada kanak-kanak.
  • Sentiasa periksa diri, keluarga dan haiwan peliharaan setelah anda mengunjungi kawasan persekitaran yang berisiko menjadi tempat kutu ditemui.

Cara Mudah Cabut Kutu Babi Di Tubuh

Nak cabut kutu atau tempiras yang tengah gigit bukan mudah ye! Tambah-tambah lagi kalau si cengkenit tersebut gigit di celah-celah mata dan ia pula bersaiz sangat kecil memang lagi renyahlah nak cabutnya dan lagi bertambah payah kalau duduk dalam telinga, memang ketahuanlah nak membuangnya!

Jadi, untuk mudahkan Mommy di bawah ini kami kongsikan bagaimana cara yang paling terbaik untuk mencabut si parasit tersebut. Jom lihat!

#1. Guna tembakau

Kredit gambar: www.goodnewsfromindonesia.id

Caranya adalah dengan mengambil sedikit tembakau dan rendamkannya di dalam air. Kemudian titiskan air tembakau tersebut di atas badan cengkenit dan biarkan sehingga ia tertanggal dan mati.

#2. Minyak cap kapak

Kredit gambar: www.blibli.com

Mommy ambil minyak cap kapak lalu disapu di atas badan cengkenit tersebut. Ia akan tanggalkan gigitannya kerana tidak tahan dengan minyak yang panas. Sama juga kalau cengkenit tersebut berada di dalam telinga, Mommy sapu minyak cap kapak di keliling telinga, ia akan segera keluar.

#3. Penyembur serangga

Cara yang lain pula adalah dengan menggunakan penyembur serangga. Mommy sembur racun serangga di atas kapas lalu sapu di atas badan cengkenit tersebut.

#4. Minyak tanah

Kredit gambar: azwan082.my

Seterusnya adalah minyak tanah. Mommy sapukan minyak tanah pada cengkenit tersebut dan tunggu sehingga ia tanggalkan gigitan.

#5. Cuka makan

Caranya dengan menyapu cuka pada cengkenit sehingga ia tertanggal sendiri.

#6. Air garam

Cara ini adalah yang paling mudah didapati iaitu dengan hanya mengambil garam dan rendamkannya di dalam air. Ambil air garam tersebut dan titiskannya di atas badan cengkenit. Mommy boleh juga rendamkan bahagian yang digigit di dalam air garam jika boleh.

#7. Minyak gamat

Kredit gambar: www.carousell.com.my

Selain minyak cap kapak, Mommy boleh juga gunakan minyak gamat. Caranya sama seperti minyak cap kapak iaitu dengan menyapu minyak tersebut pada badan cengkenit.

#8. Kapur sireh

Ambil kapur sireh dan sapukan ia di atas badan dan tempat gigitan cengkenit.

#9. Tweezer atau penyepit kecil

Kredit gambar: www.daraz.pk

Kalau cengkenit menggigit di tempat yang mudah diambil dan dilihat, Mommy boleh gunakan tweezer untuk mencabutnya. Cara ini agak menyakitkan tambah-tambah lagi jika ia sudah kenyang menghisap darah.

#10. Jumpa doktor

Jika cengkenit menggigit di kawasan yang sulit untuk dicapai seperti dalam telinga dan Mommy tidak mahu merisikokan diri, cara yang paling selamat adalah dengan berjumpa doktor. Doktor pakar akan memberi rawatan yang sewajarnya.

Semoga dengan perkongsian ini, Mommy lebih faham mengenai serangga parasit ini dan tahu bagaimana cara untuk merawatnya!


Terdapat pelbagai lagi tips dan info menarik berkaitan kesihatan yang Mommy boleh dapatkan di SINI!


Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.