Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Jangkitan Kutu Kucing Salah Satu Penyebab Si Bulus Mommy Kurang Aktif? Betul Ke?

kutu kucing

Kredit gambar: Lil One

Bagi pencinta kucing, Mommy dan Daddy pasti kenal kutu kucing atau nama lainnya adalah hama kucing bukan? Tetapi, adakah Mommy tahu apakah punca dan cara nak hilangkan kutu kucing ini?

Kucing ialah sejenis haiwan peliharaan yang sering menjadi pilihan disebabkan oleh kecomelannya. Tidak kira lelaki atau wanita pasti akan menyukai haiwan yang juga menjadi kesayangan baginda Rasulullah S.A.W ini.

Ada yang sanggup berhabis ribuan ringgit untuk mendapatkan jenis kucing yang digemari mereka. Tak kurang juga yang sanggup membelanjakan wang mereka untuk keperluan kucing kesayangan mereka setiap bulan.

Highlighted


Disebalik kecomelan, kucing selalu dibayangi dengan satu masalah yang sering terjadi pada kebanyakan kucing iaitu hama kucing.

Kutu kucing atau nama saintifiknya Ctenocephalides Felis ialah serangga parasit yang hinggap pada tubuh badan kucing dan menghisap darah dari perumahnya.

Hama ini boleh berada pada tubuh kucing selama 1 tahun dan boleh menjangkiti kucing yang lain juga. Jumlah hama yang terlalu banyak akan memberi kesan buruk kepada kesihatan kucing tersebut.

Punca Kutu Kucing

Masalah hama kucing ini sudah semestinya memeningkan kepala ramai pecinta-pecinta kucing kan? Apa sebenarnya punca masalah hama kucing ini?

Sebenarnya, terdapat beberapa punca yang menyebabkan masalah ini. Antaranya ialah:

  • Terjangkit dengan kucing liar ini kerana kucing liar tidak menerima sebarang rawatan atau vaksin untuk membasmi hama di badannya.
  • Rawatan hama yang tidak konsisten akan menyebabkan kucing anda mudah dijangkiti kutu.
  • Kurangnya penjagaan kebersihan kucing seperti kekerapan kucing anda dimandikan. Ini kerana kutu tidak suka dengan persekitaran yang lembap dan basah.

Tanda Kucing Dijangkiti Kutu

Bagaimana pula nak tahu yang kucing telah dijangkiti masalah hama ini?

Berikut adalah beberapa cara untuk membantu anda mengesan samada kucing anda telah dijangkiti atau tidak iaitu:

  • Jika kucing anda dilihat sering menggaru badannya berkemungkinan telah dijangkiti.
  • Gunakan sikat kutu dan alaskan kertas putih atau tisu untuk memudahkan anda melihat sekiranya terdapat kutu yang jatuh dari kucing anda.
  • Terdapat perubahan dari segi perangai kucing anda. Contohnya, tidak lagi tidur ditempat tidur atau tempat kegemarannya.
  • Kucing anda mengalami keguguran bulu yang banyak, radang kulit, menjilat badan secara berlebihan, keletihan, pucat dan hilang selera makan.

Jenis dan Jangka Hayat Kutu Kucing

Tahukah anda bahawa kutu kucing ini mempunyai pelbagai jenis dan jangka hayat yang berbeza. Antaranya ialah:

  • Ctenocephalides Felis Siklus ialah kutu kucing yang mudah dilihat kerana saiznya yang besar seakan semut kecil. Jangka hanyatnya pula adalah selama setahun.
  • Ear mites atau kutu telinga lebih kecil berbanding Ctenocephalides Felis Siklus. Kucing yang dijangkiti kutu ini akan sering menggaru telinganya.
  • Lice atau kutu bulu pula ialah kutu yang paling kecil berbanding dengan kutu yang lain. Kutu ini sering berada pada bulu kucing dan sukar dilihat. Ianya seakan seperti debu yang melekat pada bulu kucing.
  • Ticks pula ialah kutu yang beraiz seperti kumbang. Mudah dilihat kerana saiznya yang besar dan berbahaya kerana boleh menjangkiti manusia. Kutu ini menghisap darah dan sukar untuk dibunuh.
  • Scab mites ialah kutu yang hidup di bawah kulit yang dipanggil “scabies” kerana bentuk kutu kucing jenis ini kelihatan seperti kerak pada kulit kucing dan mampu menjangkiti manusia.

Cara Nak Hilangkan Kutu Kucing

Jika si gebu anda dijangkiti salah satu hama seperti di atas, anda boleh cuba 7 jenis cara di bawah untuk hilangkan hama pada kucing. Caranya ialah:

#1. Pemeriksaan Terperinci Pada Kucing

Pemeriksaan dilakukan untuk mengenalpasti tempat kutu-kutu berkumpul iaitu tempat-tempat yang sukar dibersihkan seperti di bawah leher, atas kepala dan bawah perut.

Sediakan sikat kutu, tisu lembap dan bekas berisi air dan sabun. Sikat bulu kucing anda dari badan hingga ke ekor dan ulangi berulang kali selama beberapa hari.

#2. Hilangkan Kutu Kucing dengan Bersihkan Tempat Tidur

Jangan lupa untuk membersihkan tempat tidur si bulus anda. Selalunya, kutu akan berkumpul pada selimut, bantal dan tilam mereka.

#3. Bersihkan Bahagian Dalam Rumah yang Lain

Jangan lupa juga untuk membersihkan bahagian dalam rumah yang lain juga seperti katil, sofa dan perabot yang lain. Ini kerana kucing anda bukan bermain dan tidur ditempat tidurnya sahaja malah satu rumah adalah tempat bermain dan tidurnya.

#4. Hilangkan Kutu Kucing dengan Sapu Ubat Anti Kutu

Sapu ubat anti kutu yang boleh didapati di kedai atau klinik haiwan. Ubat ini boleh didapati dalam 3 jenis iaitu jenis bedak, ubat titis atau jenis semburan.

#5. Asingkan Kucing

Anda perlu asingkan si bulus yang telah dijangkiti dengan kucing yang belum dijangkiti.

Selain itu, kawal pergerakan kucing anda dengan membataskan pergerakannya di luar dan dalam rumah.

Ini kerana, dikhuatiri hama tersebut boleh tersebar ke perabot lain dan sebabkan jangkitan kepada kucing yang lain.

#6. Gunakan Syampu Khas

Gunakan syampu khas semasa memandikan kucing anda. Syampu ini boleh didapati di kedai haiwan atau klinik. Syampu ini akan membantu untuk membersihkan hama dan telurnya dari bulu kucing.

#7. Vakum Rumah

Jadikan aktiviti vakum seluruh kawasan rumah sebagai aktiviti mingguan mommy. Ini kerana tanpa sedar kawasan yang berhabuk dan kotor akan menjadi perumah bagi kutu.

Tambahan lagi kucing anda sering bermain di luar rumah dan membawa kotoran bersama semasa pulang.

Langkah pencegahan untuk mengelakkan kucing dijangkiti hama harus dilakukan. Ini kerana, jika kucing anda telah pun dijangkiti boleh membahayakan nyawa kucing anda.

Cara-cara di atas hanyalah sebagai langkah awal jika dijangkiti. Jika semakin teruk jangan berlengah lagi dan dapat rawatan lanjut dengan berjumpa dengan doktor. Semoga membantu!


Dapatkan juga tips-tips dan info menarik berkaitan kesihatan dan perubatan di SINI!


Penafian: Maklumat yang dikongsikan dalam artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat perubatan daripada pihak Motherhood. Untuk sebarang kebimbangan berkaitan kesihatan, adalah dinasihatkan untuk berunding dengan pakar kesihatan atau pengamal perubatan yang berkelayakan.