Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Tips-tips Untuk Menghalau Lipan dan Cara Merawat Gigitannya

Ada sesetengah orang yang minat dan terpukau dengan semua jenis haiwan dan serangga. Bagi yang lain pula, tentu rasa geli-geleman bila dengar nama serangga seperti lipan!

Lipan bukan sahaja nampak tidak menyenangkan, malah ia amat berbisa. Ia boleh dijumpai merayap dikawasan rumah seperti celah-celah rak almari, kasut, dan pakaian.

Sebelum lipan yang berbisa ini merayap di badan Mommy atau anak-anak, jom tengok beberapa tips untuk menghalau lipan secara efektif.

10 Tips/Petua Menghalau Lipan Yang Berkesan

1. Hapuskan Sumber Makanan Lipan

Highlighted


Untuk pengetahuan Mommy, lipan adalah sejenis serangga karnivor. Sumber makanannya pula adalah serangga kecil lain seperti lipas, semut, dan anai-anai.

Jadi untuk menghalau lipan, hapuskan dahulu serangga-serangga seperti yang disebutkan tadi. Langkah ini dapat mencegah lipan daripada tertarik untuk merayap di kawasan rumah Mommy.

2. Selenggara Kebersihan Kawasan Rumah Dengan Kerap

Satu lagi petua untuk menghalau lipan dengan cara pencegahan ialah dengan menyelenggara kebersihan kawasan rumah dengan kerap.

Ini termasuklah kawasan luar dan kawasan dalam rumah. Kawasan yang lembap seperti timbunan daun kering yang lama boleh menjadi tempat persembunyian lipan. Air yang bertakung pun boleh turut mengundang kehadiran lipan.

3. Baiki Rekahan Dinding Rumah

Jika terdapat rekahan dimana-mana sudut dinding di rumah, cepat-cepat baiki rekahan itu. Ini kerana lipan boleh masuk melalui rekahan tersebut.

Selidik setiap sudut, terutamanya di bahagian yang kecil dan gelap. Langkah ini dapat mengurangkan risiko lipan memasuki rumah tanpa disedari.

4. Taburkan Garam

Selain dalam masakan, garam juga amat bermanfaat dalam mencegah lipan. Ini kerana garam dapat menyerap kelembapan di sesuatu kawasan, terutamanya yang mempunyai rekahan.

Taburkan sahaja garam tersebut di kawasan yang lembap atau di kawasan rekahan. Petua tradisional ini mampu menghalau lipan daripada memasuki rumah.

5. Gunakan Daun Pandan

Hmmm bau daun pandan memang harum untuk manusia kan? Tapi bukan untuk lipan tau! Petua tradisional ini yang menggunakan daun pandan mampu menghalau lipan kerana aromanya yang tidak disukai oleh lipan.

Mommy cuma perlu hiriskan daun pandan halus-halus supaya minyak dan aromanya dapat dikeluarkan, dan isikan dalam bekas yang boleh diletakkan di sudut-sudut rumah yang disyaki menjadi tempat tumpuan lipan.

6. Gunakan Serai Wangi

Satu lagi petua tradisional alternatif ialah dengan menggunakan serai wangi. Sama juga kesannya seperti daun pandan, walaupun harum buat manusia, tetapi jijik bagi lipan.

Ini adalah kerana serai wangi juga mengeluarkan bau yang kuat dan tidak menyenangkan bagi serangga perosak. Sebab itulah banyak penyembur yang mempunyai aroma serai wangi di pasaran! Tapi Mommy boleh cuba dahulu cara semula jadi ini untuk menghalau lipan.

7. Menggunakan Minyak Pati (Essential Oil)

Lipan mempunyai antena yang sangat sensitif kepada bau, jadi selain daripada kaedah semulajadi yang disebutkan tadi, Mommy juga boleh menggunakan minyak pati.

Minyak pati yang mempunyai aroma yang kuat akan menghindari lipan daripada merayap di kawasan yang terdapat minyak pati itu. Jadi Mommy boleh gunakan minyak ini dengan menitiskan beberapa titisan di kawasan yang seperti celahan tingkap, pintu, dan almari.

8. Menggunakan Ubat Gegat (Naphtalene Balls)

Sumber: Vanilla Kismis

Kalau kaedah tradisional tidak meyakinkan, bolehlah cuba cara yang lebih moden seperti menggunakan ubat gegat.

Cara dan kesannya sama seperti menggunakan kaedah tradisional yang disebutkan tadi, iaitu dengan meletakkan ubat gegat ini di kawasan yang menjadi tumpuan lipan.

Ubat gegat ini akan mengeluarkan gas naphtalene yang beracun buat serangga ini.

9. Menggunakan Serbuk Diatomaceous Earth

Serbuk Diatomaceous Earth adalah sejenis racun serangga yang menyebabkan serangga menjadi kering dan mati. Ia bertindak dengan menyerap minyak dan lemak daripada kutikula eksoskeleton serangga.

Taburkan sahaja serbuk ini di kawasan yang menjadi tumpuan lipan. Pastikan Mommy dapatkan serbuk bergred makanan (food grade) kerana serbuk yang jenis ‘filter grade‘ boleh memberi kesan bahaya kepada haiwan peliharaan.

10. Menggunakan Semburan Racun Serangga Perosak

Alternatif yang terakhir untuk menghalau lipan ialah dengan menggunakan semburan racun serangga perosak khas untuk lipan.

Jika menggunakan cara ini, Mommy perlu berhati-hati dalam mengendalikannya kerana ia bukan sahaja berkesan untuk serangga itu, tapi juga boleh membahayakan kesihatan diri.

Seeloknya, dapatkan perkhidmatan profesional yang boleh menjalankan kaedah ini dengan selamat.

Kesan Gigitan Lipan dan Rawatan Yang Boleh Digunakan

Lipan sebenarnya tidak ‘menggigit’. Sebaliknya, ia menggunakan dua kaki depannya yang dikenali sebagai Forcipules untuk menyepit dan menyuntik bisa.

Untuk tujuan artikel ini, istilah ‘gigitan’ digunakan untuk memudahkan pemahaman pembaca.

Gigitan lipan sebenarnya nampak seolah-olah gigitan ular. Jika digigit serangga ini, Mommy akan nampak dua bintik halus yang kemerahan pada kawasan yang digigit.

Kalau Mommy mengesyaki Mommy digigit lipan, anda disarankan untuk membunuh serangga tersebut jika ia masih ada di kawasan tersebut.

Ini kerana lipan boleh menyerang dan menyengat beberapa kali jika ia rasa terancam.

Kemudian rawat gigitan lipan itu seperti berikut:

  • Basuh kawasan sengatan dengan sabun antibakteria supaya dapat membasmi kuman dalam bisa itu.
  • Bilas dengan air yang banyak.
  • Rendam kawasan gigitan di dalam air panas (dalam 35°C – 45°C) untuk meleraikan protein bisa lipan itu.
  • Jika masih rasa sakit yang teruk atau mempunyai alahan, segera berjumpa dengan doktor untuk dapatkan rawatan selanjutnya.

Gigitan lipan adalah sesuatu perkara yang serius, dan sebaiknya anda perlu terus berjumpa dengan doktor, tidak kira sama ada gigitan itu tidak nampak memudaratkan.

Semoga perkongsian ini dapat mendorong anda untuk sentiasa menjaga kebersihan rumah untuk mengelakkan kedatangan lipaN yang boleh memudaratkan.