Madu merupakan makanan sunnah yang penuh khasiat dan disebabkan itu ia telah menjadi amalan sejak zaman dahulu lagi.
Namun begitu, untuk dijadikan makanan bayi terdapat dalam kalangan ibu bapa mula timbul persoalan adakah pemberian madu untuk bayi adalah selamat, dibolehkan dan dikira baik untuk kesihatan dalaman mereka?
Menjengah persoalan yang selalu timbul ini, menurut American Academy of Pediatrics (AAP), madu tidak digalakkan untuk ditambah dalam makanan, minuman atau apa-apa formula bagi bayi yang umurnya di bawah 12 bulan.
Mengapa tidak boleh dan apakah kesannya jika tetap diberikan?
Untuk mengetahuinya, Mommy boleh ikuti perkongsian di bawah!
Madu Untuk Bayi – Kenapa Tidak Boleh Makan?
Sebagai seorang ibu yang prihatin, anda bertanggungjawab untuk ambil tahu apakah makanan yang boleh dan tidak boleh dimakan oleh bayi anda.
Seperti madu, anda perlu tahu bahawa madu bukanlah makanan yang selamat untuk bayi kerana ia mampu menyebabkan si manja anda berisiko untuk mengalami botulisme bayi.
Menurut CDC, madu mungkin mengandungi spora bakteria yang dipanggil Clostridium botulinum yang boleh menyebabkan botulisme iaitu keadaan serius yang menyerang saraf badan.
Lebah merupakan pendebunga yang bergerak bebas dari bunga ke bunga yang menyebabkan pergerakannya sangat sukar dikesan. Melalui pergerakannya itu, sesetengah madu mengandungi bahan yang tercemar dengan pelbagai jenis racun perosak, racun kulat, logam berat, bakteria, antibiotik, dan juga bahan radioaktif dalam persekitaran di mana lebah hidup.
Madu yang mengandungi spora Clostridium botulinum akan bercambah, menjajah, dan menghasilkan neurotoksin dalam saluran usus bayi.
Malah, lebih memburukkan keadaan apabila terdapat amalan berleluasa di kalangan para peniaga yang mencampurkan madu dengan sirap jagung ketika pemprosesan berlaku di mana dengan campuran yang dilakukan ini akan mempertingkatkan lagi keuntungan dalam penjualan madu tersebut.
Hal ini secara tak langsung, memberi kesan yang lebih buruk kepada kesihatan bayi.
Namun begitu, bakteria ini tidak mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak yang berusia lebih tua dan orang dewasa disebabkan oleh sistem penghadaman mereka adalah matang dan ia boleh memindahkan toksin melalui badan sebelum menyebabkan sebarang masalah atau kemudaratan kepada tubuh.
Botulisme bayi ini juga kebiasaannya mampu memberi kesan kepada bayi yang berumur di antara 3 minggu hingga 6 bulan dan tidak semua bayi adalah berisiko untuk mengalaminya.
Tanda dan Gejala Botulisme Bayi
Bayi dengan botulisme bayi mungkin akan menunjukkan tanda-tanda seperti di bawah:
- Sembelit yang biasanya merupakan tanda pertama yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa
- Otot muka yang lemah di mana membuatkan muka bayi kelihatan seperti “rata”
- Tangisan bayi menjadi lemah
- Otot menjadi lemah di bahagian lengan, kaki serta leher
- Mempunyai kesukaran untuk bernafas
- Mempunyai masalah untuk menelan dengan air liur yang banyak
- Bayi tidak makan dengan baik atau bergerak seperti biasa
- Lambat atau tiada refleks
- Mata tidak fokus
Rawatan Untuk Bayi
Gejala atau simptom botulisme ini biasanya akan muncul dalam masa tempoh 12 hingga 36 jam selepas makan makanan yang mengandungi neurotoksin. Tetapi terdapat juga kes yang didapati berlaku di antara 4 jam hingga 8 hari.
Untuk makluman Mommy juga, semakin awal gejala-gejala ini muncul, semakin serius penyakitnya. Individu yang dijangkiti perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan cepat serta rawatan antitoksin yang dikenali sebagai botulism immune globulin intravena (BIGIV).
Tetapi sekiranya toksin tersebut telah pun menjejaskan otot pernafasan bayi, bayi perlu menggunakan mesin pernafasan (ventilator) untuk beberapa minggu sehinggalah mereka menjadi lebih kuat.
Namun begitu, keadaan ini boleh menjejaskan otot menelan, oleh itu cecair intravena (IV) atau penyusuan melalui tiub diperlukan oleh bayi bagi mendapatkan khasiat yang diperlukan tubuh mereka.
Oleh itu, Mommy perlulah sentiasa mengawasi si manja untuk elakkan sebarang komplikasi yang lebih serius dan sebaiknya membawa bayi berjumpa dengan doktor sekiranya terdapat tanda-tanda botulisme ini.
Adalah lebih baik jika Mommy tidak memberikan madu kepada si manja tersayang sehinggalah mereka mencapai umur seperti yang disyorkan oleh pakar.
Mommy dan Daddy boleh dapatkan pelbagai lagi panduan dan tips kesihatan untuk si manja di SINI!