Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Jenis Mainan Yang Seronok Dan Juga Berfaedah Untuk Kanak-Kanak

Sumber: Adobe Stock

Sebagai ibu bapa, memilih mainan kanak-kanak boleh jadi satu tugasan yang memberi sedikit tekanan! Iyelah, kadang-kala anak-anak mahu mainan yang bukan-bukan dan tidak berfaedah. Bukan senang untuk terangkan kepada mereka kenapa sesetengah mainan boleh dibeli dan sesetengah lagi tidak sesuai untuk mereka.

Selalunya, ini juga bergantung kepada prinsip Mama dan Papa, sama ada tak kisah untuk memberi apa sahaja mainan atau mainan tersebut perlu mempunyai ciri-ciri tertentu.

Contohnya, ada sesetengah ibu bapa yang hanya mahu anak-anak bermain dengan mainan yang diperbuat daripada kayu, atau ada sesetengah ibu bapa yang tak mahu membeli mainan yang boleh buat sepah yang terlampau.

Jom tengok beberapa jenis mainan yang bukan sahaja seronok untuk dimain oleh kanak-kanak, tetapi juga berfaedah dan tidak memeningkan kepala Mama dan Papa!

10 Mainan Kanak-Kanak Yang Sesuai, Seronok, Dan Berfaedah

1. Mainan Gambar Dan Ejaan

Highlighted


Mainan gambar dan ejaan seperti HABY Matching Letter Game ini menggunakan petak-petak huruf abjad yang boleh disusun untuk mengeja nama seperti yang ditunjukkan dalam kad-kad yang memaparkan gambar-gambar tertentu. Set mainan ini selalunya merangkumi beberapa perkataan yang mempunyai tiga atau empat huruf yang senang untuk dieja oleh kanak-kanak seperti BEG, IKAN, dan BAS. Kanak-kanak dapat mempelajari tentang pembinaan kosa kata, ejaan, dan kemahiran motor halus sekaligus.

2. Mainan Kayu Susunan Bentuk

Dengan hanya beberapa bentuk asas seperti segi empat sama, segi tiga, bintang, dan bulat, mainan jenis susunan bentuk atau ‘shapre sorter’ seperti Wonder World Natural Shape Sorter ini dapat membantu kanak-kanak untuk belajar tentang bentuk dan menyelesaikan masalah ketika berusaha untuk memasukkan bentuk ke dalam lubang yang sepadan dengannya. Tambahana pula, ia sesuai untuk mengembangkan kemahiran motor halus anak anda.

3. Blok Binaan Kayu

Blok atau bongkah binaan seperti Wonder World Color From Nature Blocks ini telah menjadi mainan kanak-kanak yang popular kerana pelbagai benda boleh dibina menggunainya. Blok binaan yang diperbuat daripada kayu akan berasa lebih sedap untuk dipegang oleh bayi dan kanak-kanak kecil dan boleh mengembangkan sensori mereka. Anak-anak di pelbagai peringkat perkembangan dapat menggunakannya untuk meningkatkan pelbagai kemahiran.

4. Pikler Triangle (Rangka Memanjat)

Kalau anak Mama dan Papa jenis yang aktif dan tak boleh duduk diam, rangka memanjat yang lebih dikenali sebagai Pikler Triangle ini sesuai untuk kanak-kanak kecil dan juga bayi yang sudah pandai duduk dan merangkak. Dengan pengawasan Mama dan Papa untuk bayi yang kecil, anak-anak dapat berlatih pada rangka memanjat ini dan mengembangkan kemahiran motor kasar yang penting seperti keseimbangan, koordinasi, dan kekuatan otot. Mereka juga dapat meningkatkan keyakinan dalam melakukan perkara yang sukar. Terdapat banyak tukang kayu di Malaysia yang sudah mula menjual rangka memanjat ini semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan anak-anak tidak dapat bermain diluar.

5. Mainan Dapur

Credit: Tender Leaf Toys Canada

Anak-anak kecil memang suka meneroka pelbagai ruang dirumah, terutamanya dapur, betul tak? Setiap kali nak masak, mesti anak tanya Mama sedang buat apa, jadi Mama boleh dapatkan set asas dapur untuk anak kecil meneroka, belajar, dan main masak-masak di dapur mereka sendiri! Pelbagai jenis ‘dapur’ kanak-kanak yang boleh didapati dari kedai mainan dan juga dari IKEA yang senang untuk dipasang sendiri. Selain itu, Mama juga boleh dapatkan barang-barang pelengkap dapur seperti perkakas dapur mainan dan pembakar roti mainan.

6. Mainan Sampan Belon

Kalau anak Mama suka main air pula, mainan sampan belon seperti Little B House Waterwheel Boat Balloon ini tentu akan membuat anak teruja! Mainan yang tak memerlukan tenaga elektrik atau bateri ini amat mudah untuk dimain, cuma tiup belon dari belakang sampan untuk menggerakkan sampan! Ia sesuai untuk dimain ketika mandi ataupun Mama boleh isi air dalam besen cetek diluar rumah untuk anak bermain.

7. Mainan Muzik

Anak-anak memang suka dengan irama dan lagu, jadi tidak hairanlah jika mereka suka meneroka bunyi-bunyi yang baru. Bermain dengan alat muzik dapat menggalakkan mereka untuk belajar tentang nota muzik dan juga meningkatkan kemahiran kognitif kanak-kanak. Ia juga akan mengajar anak untuk menjadi kreatif dan juga penyabar kerana bukan senang untuk menggubah muzik! Alat muzik yang sesuai adalah seperti mainan keyboard, gendang, ataupun xylophone.

8. Mainan Rumah Anak Patung

Sumber: Business Insider

Mainan rumah anak patung walaupun sering dimain oleh kanak-kanak perempuan sebenarnya sesuai untuk dimain oleh kanak-kanak lelaki juga. Bermain dengan rumah anak patung dapat meningkatkan imaginasi dan kreativiti anak-anak serta kemahiran motor halus. Selain itu, ia juga dapat membantu kanak-kanak tentang kemahiran hidup dan cara berkomunikasi, sebab itu ia bukan sahaja untuk kanak-kanak perempuan, tapi semua kanak-kanak supaya dapat meraih manfaat-manfaat tersebut.

9. Mainan ‘Puzzle

Terdapat pelbagai mainan kanak-kanak jenis puzzle atau ‘teka-teki’ dimana kanak-kanak perlu menggunakan pemikiran yang tinggi untuk menyelesaikan masalah. Puzzle paling popular dan mudah ialah seperti jigsaw puzzle dan terdapat pelbagai jenis mainan ini yang sesuai mengikut peringkat umur anak Mama. Jigsaw puzzle dapat mengajar kanak-kanak mengenai konsep ‘keseluruhan’ dan setiap bahagian adalah sebahagian kecil daripada gambaran yang lebih besar. Ia juga membantu membangunkan kemahiran asas seperti pengecaman bentuk, tumpuan, penetapan matlamat, dan kesabaran.

10. Mainan Sukan

Anak Mama suka bermain dengan bola? Mainan Vtech 2-in-1 Sports Centre untuk kanak-kanak kecil ini mempunyai tiang gol dan juga gelung bola keranjang untuk anak Mama menerokai permainan bola kegemaran mereka. Tambahan pula, mainan ini cukup kecil dan sesuai untuk diletakkan di dalam rumah kalau Mama tiada ruang di luar rumah! Ia juga mempunyai papan skor LED yang amat menyeronokkan dan menggalak anak Mama untuk bermain secara berdaya saing. Sesuai untuk kanak-kanak kecil dalam lingkungan umur dua ke tiga tahun.

Kalau Mama bermain dengan anak-anak kecil, pastikan mainan yang dipilih tidak merbahayakan dari segi saiz mainan yang anak boleh masukkan dalam mulut. Pastikan juga Mama mengajar anak menggunakan permainan dengan betul supaya anak-anak kecil dapat bermain dengan permainan tersebut dengan efektif. Semoga bermanfaat.