Ibu, Bayi & Kanak Kanak

10 Checklist Lengkap Untuk Majlis Aqiqah – Mommy Take Note!

majlis aqiqah

Kredit gambar: korbanaqiqah.com.my

Kebiasaannya untuk melakukan ibadah aqiqah, pihak keluarga bayi yang ingin melakukannya akan membuat majlis aqiqah tidak kira sama ada secara ringkas atau besar-besaran. Untuk membuat majlis aqiqah ini juga, Mommy perlu tahu beberapa perkara untuk memastikan ia berjalan dengan baik dan lancar.

Bagi memudahkan Mommy memahami dengan jelas apakah persediaan yang sepatutnya dilakukan, di bawah ini Motherhood telah berkongsi beberapa perkara untuk Mommy titikberatkan.

Tetapi sebelum itu, jom lihat dan faham dengan terperinci melalui perkongsian ini apakah itu aqiqah sebelum memulakan majlis untuk bayi anda.

Aqiqah dan Pelaksanaan Majlis Aqiqah

Highlighted

Kredit gambar: www.johnsonsbaby.co.id

Aqiqah dari sudut bahasa membawa maksud “Rambut yang tumbuh di atas kepala bayi semasa dilahirkan.” Manakala dari sudut hukum syarak pula, ia membawa maksud “Penyembelihan haiwan tertentu untuk kepentingan anak, di samping mencukur atau memotong rambutnya dan diberi nama untuk anak itu.”

Ia merupakan suatu bentuk ibadah apabila seseorang itu dikurniakan anak oleh Allah S.W.T sebagai tanda kesyukuran di atas pemberian rezeki tersebut.

Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W menuntut untuk dinamakan anak (yang baru lahir) pada hari ketujuh, dicukur rambutnya dan diaqiqahkannya.”

(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Melalui pandangan Imam Ahmad ibn Hanbal waktu yang paling afdal untuk melakukan penyembelihan aqiqah adalah pada hari ketujuh, tetapi jika tidak dapat maka pada hari keempat belas, jika tidak dapat juga maka lakukanlah pada hari kedua puluh satu.

Sekiranya pada hari-hari tersebut juga, ibadah aqiqah ini tidak dapat dilaksanakan kerana tidak berkemampuan, maka penyembelihan bolehlah dilakukan pada hari-hari lain yang memungkinkannya melaksanakan ibadah aqiqah tersebut.

Rasulullah S.A.W bersabda;

“Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ketujuh, dan dicukur serta diberi nama.”

(Hadis riwayat Ahmad & Tirmidzi)

Checklist Persiapan Majlis Aqiqah

Kredit gambar: www.pinterest.com

#1. Pilih Lokasi Majlis Aqiqah Yang Mudah Dan Tepat

Sebelum Mommy membuat tempahan makanan untuk hari aqiqah atau apa sahaja yang berkaitan, pastikan Mommy sudah tetapkan lokasi dan tempat majlis akan dijalankan.

Jangan nanti, Mommy dah booking semua benda dan dah setuju dengan harga dan penghantaran malah tetamu pun sudah dijemput tiba-tiba lokasi majlis diubah saat akhir pula.

Malah, kalau tempat kecil jangan pula Mommy jemput ramai orang. Cukuplah hanya kenalan dan keluarga rapat sahaja. Kalau tak nanti, mesti semua orang akan stress dan hilang mood dengan keadaan yang tak teratur dan bersesak!

#2. Tetapkan Masa dan Tarikh Majlis Aqiqah

Setelah mengetahui lokasi majlis, Mommy perlu setkan tarikh dan masa majlis akan diadakan. Sebaiknya yang paling afdal adalah selepas 7 hari kelahiran.

Tetapi kalau tidak berkemampuan, boleh teruskan pada hari yang lain. Kalau ikutkan trend waktu pula sekarang ini, ramai yang memilih majlis diadakan pada waktu malam.

Mungkin sebab nampak lebih eksklusif dan cuacanya yang tidak panas. Walau apa pun, semua terletak di atas pilihan Mommy.

#3. Kad Jemputan Majlis Aqiqah

Seterusnya adalah dengan menempah kad jemputan. Ramai yang memilih kad jemputan digital sebagai cara untuk menjemput tetamu. Tetapi kalau Mommy lebih sukakan gaya lama, boleh tempah ikut rekaan mana yang Mommy nak.

#4. Pengurusan Majlis dan Penyediaan Makanan

Kredit gambar: mamatisya.blogspot.com

Bila dah sepakat dekat mana majlis aqiqah nak diadakan dan bilakah tarikhnya, perkara seterusnya yang Mommy kena plan adalah makanan dan pengurusan majlis pada hari tersebut. Adakah makanan untuk tetamu nanti secara katering atau dibuat secara gotong-royong.

Kalau secara gotong-royong, ketua rumah kena panggil orang-orang yang terlibat untuk bermesyuarat pembahagian tugas memasak pada hari tersebut supaya nanti tak kelam-kabut dan semua orang tahu tugas masing-masing dan berapa tenaga kerja yang sudi berkhidmat pada hari majlis berjalan.

Tetapi sekiranya Mommy lebih gemar untuk membuat tempahan katering, sila listkan bajet yang Mommy inginkan dan makanan tambahan apa yang patut dihidangkan. Pastikan pihak katering yang Mommy pilih adalah jujur, amanah dan bertanggungjawab.

Cuma nak ingatkan kepada Mommy, daging aqiqah ini ada pembahagiannya yang tersendiri yang perlu diberi secara betul dan kebiasaannya:

  • 1/3 bahagian untuk dimakan sendiri
  • 1/3 bahagian untuk sahabat atau kenalan
  • 1/3 bahagian untuk saudara muslim yang memerlukan

#5. Pemilihan Tema

Kemudian, pilih pula tema untuk majlis tersebut. Apakah tema yang Mommy rasa sesuai dengan kehendak dan minat Mommy. Kebiasaannya, orang akan upah perancang majlis untuk lengkapkan segala persiapan majlis.

Tetapi kalau Mommy nak buat dengan hasil air tangan Mommy sendiri, ia adalah lebih menarik dan penuh nostalgia untuk dikenang nanti.

#6. Pemilihan Baju

Setelah menetapkan tema majlis, perlu sedondonkan dengan baju untuk dipakai nanti pula. Kalau tema warnanya biru, takkanlah Mommy nak pakai baju berwarna koko!

Tentu tak menarik kan? Jadi pilih warna baju yang sepadan dan sedap mata memandang.

#7. Cenderahati Majlis Aqiqah

Raikan tetamu yang hadir dengan door gift yang comel dan menarik. Bukan sahaja untuk menyerlahkan majlis, tetapi sebagai satu cara untuk buat tetamu tersenyum gembira tatkala menerimanya dan sebagai simbolik kenangan.

#8. Kumpulan Marhaban

Mommy boleh naikkan lagi seri majlis aqiqah dengan menjemput kumpulan marhaban datang memeriahkan majlis. Tetapi kalau tiada kumpulan marhaban di kawasan Mommy tinggal atau terlalu jauh, Mommy boleh ja panggil orang-orang masjid datang membacakan doa.

#9. Jurufoto

Bila dah rancang semua benda, takkanlah tak ada kenangan untuk disimpan kan? Jadi, Mommy boleh lah tempah mana-mana jurufoto yang menghasilkan gambar berkualiti. Tapi kalau nak tangkap gambar pakai telefon boleh, janji gambar tu tetap elok dilihat.

#10. Pelamin dan Buaian Berendoi

Kredit gambar: says.com

Paling penting sekali, tempat bayi duduk! Buat pelamin dan buaian berendoi yang cantik dan menarik untuk hari bersejarahnya itu. Pasti lagi meriah.

Semoga dengan perkongsian ini, Mommy sudah tahu apa yang patut dilakukan ketika hendak melangsungkan majlis buat si manja tersayang. Ketika majlis aqiqah berlangsung nanti, Mommy boleh selitkan bacaan doa kesyukuran ini untuk mensyukuri anugerah pemberian Allah S.W.T.