Bayi kuning, atau dikenali juga sebagai demam kuning, penyakit kuning, atau jaundis dalam istilah perubatan, ialah sesuatu keadaan yang normal bagi lebih daripada 60% bayi yang baru dilahirkan.
Penyakit bayi kuning adalah keadaan di mana kulit dan mata bayi kelihatan kuning. Bagi kebanyakan bayi, penyakit kuning ini boleh sembuh tanpa rawatan dalam satu atau dua minggu.
Kenapa Bayi Kuning?
Penyakit kuning berlaku apabila bilirubin, iaitu produk sampingan sel darah merah terbentuk di aliran darah bayi yang baru lahir lebih cepat daripada hati yang dapat memecahnya dan menyebarkannya melalui pergerakan usus.
Apabila semakin banyak sel darah merah berpecah, molekul bilirubin akan semakin bertambah.
Sebelum bayi dilahirkan, hati ibu yang akan memproses bilirubin untuk bayi tetapi selepas kelahiran, hati bayi memerlukan beberapa hari untuk memproses bilirubin dengan sendirinya kerana belum cukup matang.
Dengan penyusuan yang kerap, tubuh bayi biasanya dapat menghilangkan bilirubin yang berlebihan.
Apabila tidak ada masalah, itu bermakna hati bayi sedang bekerja keras untuk membuang bilirubin dari aliran darah. Daripada ditinggalkan di badan bayi anda yang menyebabkan kulit dan mata kelihatan kuning, bilirubin akan keluar apabila bayi membuang air besar.
Penyakit kuning bayi kebiasaannya dapat dirawat dengan menggunakan fototerapi. Rawatan ini menggunakan lampu khas untuk mengubah bilirubin menjadi lumirubin, yang kemudiannya dapat dikeluarkan ke saluran hempedu atau air kencing bayi.
Dalam kebanyakan kes, penyakit kuning akan muncul pada hari kedua atau ketiga kehidupan bayi anda dan akan hilang dengan sendirinya. Sebagai ibu, anda boleh membantu menyembuh penyakit kuning bayi dengan memilih diet yang berkualiti tinggi.
Anda tentu tahu bahawa penjagaan diet yang sihat dapat menyembuhkan tubuh badan kita, kan? Jika anda memberikan usu badan, diet anda pun tentu dapat membantu menyembuhkan kebanyakan penyakit yang sedang dialami oleh si manja.
Apa yang anda makan boleh memberi kesan kepada susu badan. Sebagai ibu menyusu, penting bagi anda untuk memilih makanan berkhasiat untuk membantu perkembangan bayi menyusu yang baru lahir.
Makanan Yang Digalakkan Untuk Ibu Jika Bayi Kuning
Beberapa jenis makanan boleh diambil oleh anda untuk membantu memeriahkan susu badan, justeru bayi boleh mendapat kuantiti susu yang mencukupi untuk mengurangkan kuning. Tambahan pula, diet yang berkhasiat dapat memberikan bayi kualiti susu yang tinggi juga!
Makanan seimbang yang terdiri daripada kelima-lima kumpulan makanan dapat membantu menyokong kesihatan hati dan mengurangkan penyakit kuning.
Terdapat beberapa makanan dan minuman tertentu yang mempunyai kesan baik yang terbukti terhadap kesihatan hati. Jadi anda boleh menambah jenis-jenis makanan tersebut ke dalam diet anda dan berikhtiar ia dapat membantu kuning bayi juga. Ini termasuk:
1. Kurma Dan Susu Kambing
Gabungan kurma dan susu kambing memang biasa didengar dan diamalkan oleh ibu mengandung dan ibu menyusu.
Pengambilan kurma dan susu kambing dikatakan dapat meningkatkan pengeluaran susu badan, jadi anda boleh mengamalkan pengambilan kedua-dua jenis makanan ini.
Anda juga boleh ambilnya secara berasingan, atau campurkan kurma yang sudah dikisar dengan susu kambing.
2. Teh herba milk thistle
Herba milk thistle bukan sahaja tinggi dengan antioksidan, tetapi ia juga mengandung silymarin.
Silymarin membantu memperbaiki sel hati yang rosak.
Untuk mendapatkan faedah herba ini, anda boleh tambahkannya ke dalam salad, panggang bijinya untuk jadikan makanan ringan, atau sediakannya dalam bentuk teh herba.
Walaupun herba ini secara umumnya selamat digunakan, adalah lebih baik jika anda mendapat kelulusan doktor dahulu sebelum mengambilnya.
3. Buah-buahan Yang Mengandungi Enzim Pencernaan
Enzim pencernaan yang berlaku secara semula jadi dapat membantu mengurangkan bilirubin.
Beberapa jenis buah-buahan adalah kaya dengan enzim pencernaan tersebut dan mungkin dapat membantu bayi kuning melalui penyusuan.
Beberapa jenis buah-buahan tersebut termasuk nanas, betik, mangga, dan juga makanan lain seperti madu dan kulit buah oren.
4. Sayur-sayuran
Walaupun buah-buahan yang mengandungi enzim pencernaan adalah yang terbaik, anda juga perlu perbanyakkan pengambilan sayur-sayuran.
Pilihan sayur-sayuran yang terbaik untuk penjagaan hati adalah seperti sayur sawi, kubis Brussel sprout, tomato, dan lobak merah.
Selain itu, anda juga perlu perbanyakkan pengambilan air dan juga makanan yang mengandungi kandungan serat yang tinggi.
Makanan Yang Ibu Perlu Elakkan Jika Bayi Kuning
Sama seperti ada makanan yang boleh anda makan untuk membantu menyembuhkan penyakit kuning bayi, ada juga makanan yang berfungsi untuk melawan fungsi hati yang optimal.
Makanan tidak sihat yang perlu dihindari untuk mengelakkan daripada disebarkan kepada bayi melalui susu badan, adalah termasuk beberapa jenis makanan berikut:
1. Makanan Berminyak
Makanan berminyak termasuklah makanan segera seperti French fries dan nugget perlu dielakkan sama sekali kerana mengandungi pelbagai bahan-bahan tiruan yang boleh memudaratkan kesihatan si ibu dan bayi.
Makanan jenis ini juga kebanyakannya mengandungi kandungan garam yang tinggi dan perlu dielakkan.
2. Jamu
Sesetengah jamu mungkin baik untuk kesihatan dalaman semasa berpantang, tetapi ada yang boleh memudaratkan kesihatan bayi yang hatinya masih belum matang.
Pada peringkat awal selepas kelahiran bayi sehingga seminggu atau dua minggu, anda disarankan untuk tunggu dan lihat dulu keadaan bayi sebelum mengambil jamu. Adalah lebih baik jika anda membincangkannya dengan doktor pakar sakit puan terlebih dahulu.
3. Halia
Halia merupakan salah satu makanan yang banyak digunakan dalam masakan berpantang jika anda mengamalkan pantang.
Tetapi jika bayi sedang mengalami demam kuning, anda disarankan untuk mengelakkan dahulu pengambilan halia kerana ia dikatakan boleh meningkatkan kandungan bilirubin, justeru melambatkan penyembuhan kuning bayi.
Selain itu, anda juga harus mengelakkan pengambilan makanan yang pedas, bergas, makanan yang telah diproses, makanan yang mengandungi lemak tak tepu, dan juga makanan ringan tidak berkhasiat atau junk food.
Tips-tips Menurunkan Bacaan Kuning Bayi
Jika kuning si manja tidak memudaratkan dan doktor pun tidak mengesyorkan penggunaan rawatan foto atau fototerapi, anda boleh cuba tips-tips berikut untuk menurunkan bacaan kuning bayi:
- Mulakan penyusuan secepat mungkin. Kajian menunjukkan bahawa penyusuan awal dikaitkan dengan masalah yang lebih sedikit dan kadar penyembuhan kuning yang lebih tinggi.
- Perbanyakkan minum air kosong. Jangan teguk satu gelas cawan yang besar sekaligus, sebaliknya, anda disarankan untuk kerap minum sedikit demi sedikit sepanjang hari.
- Jangan gunakan gula, terutamanya gula yang telah diproses jika anda mengambil teh herba. Sebaliknya, boleh gunakan pemanis semula jadi seperti madu.
- Pastikan semasa menyusukan bayi, bayi menyusu sehingga payudara tersebut berasa ‘kosong’ sebelum menukar posisi ke payudara lagi satu.
- Kejutkan bayi untuk menyusu setiap satu atau dua jam supaya bayi mendapat susu yang mencukupi dan dapat membuang air.
Secara umumnya, penyakit kuning bagi bayi baru lahir bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan. Ini adalah keadaan yang normal dan dapat diatasi kaedah yang betul dan pemantauan yang teliti.
Walaupun bayi mungkin mengalami kesukaran untuk menurunkan kadar bilirubinnya, bayi masih boleh menerima rawatan yang diperlukan untuk menghilangkan keadaan tersebut.
Penyusuan susu ibu adalah salah satu kaedah terbaik untuk membantu penyakit kuning, jadi pastikan anda lengkapkan diri dengan pengetahuan tentang penyusuan dengan mencukupi dan ambil makanan yang berkhasiat.