Ibu, Bayi & Kanak Kanak

Apakah Makanan Bayi Yang Terbaik Pada Usia Seawal 6 Bulan?

makanan bayi 6 bulan

Photo credit: istockphoto

Seiring dengan umur mereka, bayi akan memerlukan khasiat selain dari susu ibu untuk membantu tumbesarannya. Apabila mencecah usia 6 bulan, ibu dan bapa haruslah memperkenalkan makanan separa pejal kepada bayi anda. Namun, apakah makanan bayi 6 bulan yang sesuai untuk diberikan kepada si manja?

Apakah makanan separa pejal ya? Bagaimana ibu bapa boleh tahu yang si comel sudah pun bersedia untuk menerimanya? Macam mana menyediakan jadual pemakanan kepada bayi 6 bulan tentang pilihan makanan paling sesuai serta kuantiti yang secukupnya?

Makanan Terbaik untuk Bayi Seawal 6 Bulan

Seusia enam bulan ke bawah, sistem badan bayi masih tidak matang untuk menerima dan memproses makanan selain dari susu ibu. Namun, ketika usianya menganjak enam bulan, sistem penghadamannya sudah pun matang dan mampu untuk menghadam makanan lain iaitu makanan separa pejal.

Apakah Makanan Separa Pejal?

Makanan separa pejal adalah makanan yang terdiri daripada campuran makanan pejal dan cecair seperti air atau susu. Contoh makanan separa pejal yang paling popular adalah bubur nasi.

Apakah Tanda Bahawa Si Comel Anda Sudah Pun Bersedia untuk Menerimanya?

Apabila bayi anda sudah bersedia untuk menerima makanan bayi, mereka akan menunjukkan tanda-tanda tertentu. Antaranya adalah:

  1. Mula memasukkan tangannya dan benda di sekeliling ke dalam mulut.
  2. Menunjukkan minat kepada makanan selain dari susu. Contohnya, mereka ikut menguyah apabila melihat anda makan dan cuba untuk mengambil makanan anda.
  3. Mampu berada dalam keadaan yang baik dan tegak ketika duduk dan mengekalkannya.
  4. Mampu mengawal pergerakan dan posisi kepala dengan elok.
  5. Menunjukkan reaksi ketika disuap makanan seperti membuka mulut.
  6. Walaupun kuantiti susu yang diberikan sudah pun mencukupi, mereka masih kelihatan lapar.

Apabila bayi anda mula menunjukkan tanda-tanda di atas, itu boleh menjadi petanda bahawa mereka telah bersedia untuk menerima makanan bayi.

Makanan Terbaik untuk Bayi Seawal Usia 6 Bulan

Pengenalan makanan selain dari susu ibu hendaklah dilakukan secara berperingkat. Ini bertujuan untuk merangsang dan melatih deria si comel anda untuk menerima dan bertindak balas pada rasa yang berlainan secara optimum.

Seeloknya, pada permulaan pengenalan, anda haruslah memperkenalkan bayi dengan makanan yang tiada sebarang rasa yang kuat atau tambahan. Menu yang terbaik ketika ini adalah bubur nasi.

Mengapakah bubur nasi dikatakan yang terbaik? Selain dari berkhasiat, bubur nasi amatlah sesuai untuk sistem pencernaan bayi. Ia cukup lembut untuk dikunyah dan dihadam.

Melalui kaedah yang mudah dan ringkas, para ibu dan bapa dapat memperkenalkan menu ini kepada si comel sebagai makanan separa pejal mereka yang pertama.

5 Resepi Mudah Makanan Separa Pejal untuk Si Comel Anda

Resepi Pertama: Bubur Nasi

Highlighted

Photo credit: istockphoto

Cara penyediaan:

  1. Basuh secawan beras putih dengan bersih.
  2. Tapiskannya dalam penapis sehingga separa kering.
  3. Kemudian, sangaikannya di dalam kuali sehingga benar-benar kering.
  4. Masukkan ke dalam mesin pengisar kering dan kisar sehingga menjadi serbuk.
  5. Ambil periuk bersih dan isikan air secawan.
  6. Panaskan di atas dapur sehingga mendidih.
  7. Perlahankan api dan masukkan sesudu besar serbuk beras tadi.
  8. Kacau ia dari masa ke semasa dengan api yang perlahan sehingga campuran air dan beras tadi kelihatan pekat dan masak.
  9. Tutup api dan hidangkan di dalam mangkuk.
  10. Biarkan ia sejuk dan sedia untuk disuap kepada bayi.

Serbuk beras yang telah dikeringkan, disangai dan dikisar sehingga hancur boleh disimpan untuk tempoh yang lama. Lebih-lebih lagi jika disimpan di dalam peti sejuk.

Jika para ibu dan bapa ingin membuat stok, tambahkanlah kuantiti beras mengikut kesesuaian. Ini akan memudahkan penyediaan makanan bayi anda di kemudian hari. Apabila diperlukan, anda tidak perlu lagi mengulangi langkah 1 hingga 4. Hanya ambil sahaja dari simpanan anda.

Kadang-kadang, anda mungkin risau akan teksturnya. Adakah terlalu kasar untuk si comel anda? Mampu ke mereka kunyah dan hadam dengan sempurna? Para ibu dan bapa usahlah risau.

Kerana ia telah dijadikan serbuk, bubur nasi ini amatlah lembut dan sesuai untuk bayi anda.

Resepi Kedua: Bubur Nasi dan Brokoli

Photo credit: istockphoto

Cara penyediaan:

  1. Basuh setengah cawan brokoli dengan bersih. Seeloknya, basuhlah dengan menggunakan pencuci sayur yang selamat agar segala kekotoran dan racun sayur dibersihkan dengan sempurna.
  2. Letakkan di dalam periuk dan isikan air sehingga ia tenggelam.
  3. Letakkan di atas dapur dan rebus ia sehingga masak.
  4. Masukkan brokoli yang telah masak ke dalam pengisar bersama dengan air rebusannya sedikit.
  5. Kisar ia sampai hancur.
  6. Buka api dan panaskan air rebusan tadi dalam kuantiti secawan air. Jika amaunnya kurang, tambahkanlah secukupnya.
  7. Apabila mendidih, perlahankan api dan masukkan sesudu besar serbuk beras tadi.
  8. Kacau ia dari masa ke semasa dengan api yang perlahan sehingga campuran air rebusan dan beras tadi kelihatan pekat dan masak.
  9. Tutup api dan hidangkan di dalam mangkuk.
  10. Masukkan brokoli yang telah dikisar hancur ke dalam mangkuk dan gaulkan sebati.
  11. Biarkan ia sejuk dan sedia untuk disuap kepada bayi.

Apabila si comel telah pun menunjukkan reaksi dan penerimaan positif kepada pengenalan bubur nasi sebagai makanan separa pejalnya yang pertama, anda bolehlah menambahkan makanan yang lain seperti sayur.

Dalam resipi ini, brokoli adalah sayur pilihan yang sesuai untuk bayi. Jika anda mahu, bolehlah menukarkannya dengan sayur hijau yang lain seperti sayur sawi.

Adalah penting untuk ibu dan bapa ketahui bahawa sesetengah bayi sukar untuk menerima puri sayur sahaja sebagai hidangan utama. Maka dalam resepi ini, puri sayur telah pun dicampur dengan bubur nasi supaya si comel anda dapat mengenali dan menerimanya secara berperingkat dengan baik.

Resepi Ketiga: Bubur Nasi dan Lobak Merah

Photo credit: istockphoto

Cara penyediaan:

  1. Basuh setengah cawan lobak merah yang telah dikupas kulitnya dan dipotong kecil dengan bersih.
  2. Letakkan di dalam periuk dan isikan air sehingga ia tenggelam.
  3. Letakkan periuk di atas dapur dan rebus ia sehingga masak.
  4. Masukkan lobak merah yang telah masak ke dalam pengisar bersama dengan air rebusannya sedikit.
  5. Kisar ia sehingga hancur.
  6. Buka api dan panaskan air rebusan tadi dalam kuantiti secawan air. Jika amaunnya kurang, tambahkanlah secukupnya.
  7. Apabila mendidih, perlahankan api dan masukkan sesudu besar serbuk beras.
  8. Kacau ia dari masa ke semasa dengan api yang perlahan sehingga campuran air rebusan dan beras tadi kelihatan pekat dan masak.
  9. Tutup api dan hidangkan di dalam mangkuk.
  10. Masukkan lobak merah yang telah dikisar hancur ke dalam mangkuk dan gaulkan sebati.
  11. Biarkan ia sejuk dan sedia untuk disuap kepada bayi.

Dalam memperkenalkan makanan bayi secara berperingkat, adalah disarankan untuk mempelbagaikan rasa dan warna. Bayi anda akan dapat mengenali bau, rasa, warna dan tekstur makanan itu dengan caranya tersendiri dan mengklasifikasikannya satu persatu dengan mudah.

Resepi Keempat: Bubur Nasi dan Labu

Photo credit: istockphoto

Cara penyediaan:

  1. Basuh setengah cawan labu yang telah dikupas dan dipotong kecil dengan bersih.
  2. Letakkan di dalam periuk dan isikan air sehingga ia tenggelam.
  3. Letakkan periuk di atas dapur dan rebus ia sehingga masak.
  4. Keluarkan labu dan lenyekkannya di dalam mangkuk.
  5. Pastikan air rebusan labu di dalam periuk tadi adalah dalam kuantiti secawan air. Jika amaunnya lebih, kurangkanlah sekadarnya.
  6. Panaskannya sehingga mendidih.
  7. Kemudian, perlahankan api dan masukkan sesudu besar serbuk beras.
  8. Kacau ia dari masa ke semasa dengan api yang perlahan sehingga campuran air rebusan dan beras tadi kelihatan pekat dan masak.
  9. Tutup api dan hidangkannya ke dalam mangkuk bersama dengan labu yang dilenyek tadi.
  10. Gaulkannya sebati.
  11. Biarkan ia sejuk dan sedia untuk disuap kepada bayi.

Labu adalah antara sayur yang sangat lembut teksturnya. Oleh itu, apabila ia telah dimasak dengan sempurna, anda tidak perlu lagi mengisarnya tetapi cukup dengan sekadar melenyeknya dengan sudu sehingga hancur.

Resepi Kelima: Bubur Nasi dan Pisang

Photo credit: istockphoto

Cara penyediaan:

  1. Lenyekkan separuh pisang yang telah dibuang kulit di dalam mangkuk.
  2. Ambil periuk bersih dan isikan air secawan.
  3. Panaskan di atas dapur sehingga mendidih.
  4. Perlahankan api dan masukkan sesudu besar serbuk beras tadi.
  5. Kacau ia dari masa ke semasa dengan api yang perlahan sehingga campuran air dan beras tadi kelihatan pekat dan masak.
  6. Tutup api dan hidangkannya ke dalam mangkuk bersama dengan pisang yang dilenyek tadi.
  7. Gaulkannya sebati.
  8. Biarkan ia sejuk dan sedia untuk disuap kepada bayi.

Apabila anda telah memperkenalkan satu persatu jenis makanan dan kepelbagaiannya, untuk menu seterusnya, bolehlah jika anda mahu memberikan puri sayur sebagai contohnya, sebagai menu utama.

Contohnya, jika bayi anda telah pun dapat menerima makanan separa pejal dengan elok, anda bolehlah memberikannya puri pisang sebagai menu utama. Dengan itu, bayi anda tidaklah keliru kerana mereka telah mengenali rasa dan bau pisang itu.

Apabila bayi anda mula menunjukkan reaksi positif terhadap makanan lain selain susu, perkenalkanlah makanan separa pejal kepada mereka mengikut penerimaannya.

Seeloknya, biasakan si comel anda dengan bubur nasi terlebih dahulu berbanding dengan makanan yang rasa dan baunya lebih kuat kerana bagi sesetengah bayi, apabila mereka telah pun merasa kemanisan buah pisang sebagai contohnya, mereka tidak lagi mahukan bubur nasi yang rasanya lebih tawar.

Harus diingatkan, dalam penyediaan makanan bayi, antara faktor penting yang harus dititikberatkan ialah kebersihan. Pastikan peralatan memasak dan persekitaran tempat duduk bayi adalah bersih dan selamat untuk kebaikan bersama.